fbpx

Hyperloop – Sistem Pengangkutan Masa Hadapan

0 887

Dalam satu artikel sebelumnya, salah satu impian Elon Musk ialah merealisasikan penciptaan Hyperloop. Hyperloop ialah sejenis sistem pengangkutan yang menggunakan kuasa magnet untuk mengangkut penumpang atau kargo. Ketika ini, ia masih dalam peringkat percubaan membabitkan beberapa syarikat tetapi ia semakin hampir menjadi realiti.

Salah satu syarikat yang sibuk menambahbaik Hyperloop mereka ialah Virgin Hyperloop. Syarikat ini diasaskan oleh Josh Giegel dan mendapat sokongan kewangan dan teknikal daripada ramai pihak termasuk Virgin Group yang dimiliki oleh Sir Richard Branson.

Advertisement

Rajah 1: Josh Giegel

Hyperloop akan membawa pod-pod penumpang melalui terowong-terowong vakum menggunakan daya angkatan magnet dan bergerak pada kelajuan 750 km sejam. Giegel yang kini bergelar CEO Virgin Hyperloop menggambarkan apabila Hyperloop berlepas, ia seperti kapal terbang yang berlepas dan terbang pada kelajuan sama seperti pesawat.

Selain itu, Hyperloop juga dijangka tidak berdepan masalah pergolakan udara seperti dihadapi pesawat semasa bergerak. Ini kerana sistem dapat mengatasi semua bentuk pergolakan yang dinyatakan sekaligus menjamin perjalanan yang lancar. Penggunaan bahan-bahan berwarna putih dan cermin pada bahagian belakang pod turut menjadikan ia lebih besar dan membuatkan penumpang merasa selesa berada di dalamnya.

Rajah 2: Tiub percubaan Hyperloop milik Virgin Hyperloop berhampiran Las Vegas, Nevada. Sumber: Mike Blake/Reuters.

Setiap pod boleh memuatkan 28 orang penumpang dan pod-pod ini boleh diubahsuai mengikut keperluan perjalanan jarak dekat atau jarak jauh serta untuk pengangkutan kargo. Walaupun ini masih di peringkat awal, Giegel percaya Hyperloop akan mula beroperasi seawal tahun 2027. Dan beliau percaya bila ia diperkenalkan kepada khalayak, ia merupakan bentuk pengangkutan pertama dalam tempoh seabad yang mengubah pergerakan manusia seperti mana kereta, keretapi dan pesawat.

Mungkin ada menyangka idea Hyperloop ini merupakan idea Musk sahaja. Hakikatnya, ia merupakan cetusan buah fikiran saintis roket Robert Goddard menerusi keretapi vakum (vactrain) pada awal abad ke-20. Perancis cuba merealisasikan idea ini pada 60-an dan 70-an tetapi terpaksa membatalkannya atas sebab kekurangan dana.

Rajah 3: Robert Goddard

Hyperloop mula menjadi sebutan apabila Musk menunjukkan bagaimana Hyperloop moden dapat direalisasikan. Giegel yang pernah bekerja di SpaceX percaya teknologi yang ada ketika ini dilihat cukup sebagai batu asas untuk merealisasikan sistem pengangkutan baru itu.

Ketika ini, Virgin Hyperloop sedang membangunkan sistem berkenaan untuk dua negara iaitu India dan Arab Saudi. India melihat Hyperloop sebagai solusi kepada sistem pengangkutannya yang tidak mampu menampung permintaan penumpang yang terlalu ramai. Sementara Saudi pula berdepan isu ketiadaan infrastruktur diperlukan untuk mengangkut warganya dengan lebih berkesan.

Yang pasti bagi Giegel, masa hadapan Hyperloop amat cerah. Mungkin ia hanya dapat mengangkut dua orang penumpang ketika ini. Tetapi beliau percaya pada akhir dekad ini, jutaan orang akan dapat menikmati sistem pengangkutan yang dibayangkan oleh Goddard dan Musk.

RUJUKAN:

Ross, Rollo. (2021). Virgin Hyperloop shows off the future: mass transport in floating magnetic pods. Reuters. https://www.reuters.com/lifestyle/science/virgin-hyperloop-shows-off-future-mass-transport-floating-magnetic-pods-2021-05-06/

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.