fbpx

iFlix Kini Milik Tencent

0 24

Baru-baru ini, gergasi media sosial dan hiburan China, Tencent mengumumkan pembelian firma penyiaran digital iFlix yang beroperasi di 13 buah negara.

 

Tindakan Tencent ini dilihat satu cara mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemain utama industri penyiaran digital Asia.

 

Advertisement

Perjanjian tersebut tidak mendedahkan nilai jualan tetapi dianggarkan mencecahkan puluhan juta dolar.

Kredit: Chinainternetwatch

Harga tersebut dianggap satu diskaun memandangkan nilai iFlix lebih mahal sekiranya berjaya mengapungkan saham mereka di bursa saham dan jumlah modal yang diraih oleh rakan kongsi antarabangsa mereka.

 

iFlix yang diasaskan oleh Captcha Group yang berpangkalan di Malaysia turut mendapat suntikan modal daripada firma-firma media gergasi seperti Hearst Corporation, Sky dan Liberty Global.

 

Ketiga-tiga syarikat ini menyediakan modal berjumlah AS$348 juta. Menerusi pengambilalihan ini, mereka hanya akan mendapat pulangan minimum.

 

Bagi iFlix, pengambilalihan ini dilihat satu kelegaan kepada mereka. Pada tahun 2018, mereka mencatat kerugian sebanyak AS$158 juta dan kerugian tersebut bertambah sebanyak 30% pada tahun 2019. Begitu juga dengan nilai kerugian terkumpul iFlix sebanyak AS$379 juta.

 

Ya, bagi mana-mana eksekutif, terlalu banyak angka merah seharusnya diambil sebagai isyarat pengambilalihan sebegini bersifat sia-sia.

 

Namun bagi Tencent, nilai tersebut kecil saja jika dibandingkan dengan kedudukan mereka sebagai antara 10 syarikat paling berharga di dunia. Tencent juga dikhabarkan berusaha mendapatkan pegangan majoriti dalam pesaing utamanya, IQIYI.

 

Misi asal iFlix ialah membawa operasi video untuk permintaan (VOD) di Asia Tenggara dengan harapan dapat menyaingi Netflix.

 

Bagaimanapun, strategi tersebut terpaksa diubah selepas Netflix terus menguasai kandungan Bahasa Inggeris. Manakala pesaingnya Viu pula memfokuskan kepada kandungan berorientasikan Asia.

 

Selain itu, usahanya mengembangkan operasi di Timur Tengah dan Afrika juga berakhir dengan kegagalan. Ketika ini, iFlix beroperasi di Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand, Brunei, Myanmar, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka, Maldives, Nepal, Bangladesh dan Pakistan dengan lebih 25 juta pengguna aktif perkhidmatan berkenaan.

 

Pada tahun ini, syarikat turut digegarkan dengan beberapa keputusan mengejutkan. April menyaksikan lebih 50 staf diberhentikan kerja dengan dua pengasasnya, Patrick Grove dan Luke Elliot meletak jawatan dari lembaga pengarah iFlix.

 

Kedudukan mereka diisi oleh eksekutif-eksekutif dari firma Mandala. Ketua kandungan iFlix Mark Francis turut mengumumkan pemergiannya berkuatkuasa bulan Jun.

 

Di sebalik semua ini, iFlix tidak mahu mengalami nasib sama seperti pesaing mereka, Hooq. Hooq yang disokong oleh Sony Television dan WarnerMedia ditutup serta-merta pada Mac lalu oleh pemegang saham utama mereka, SingTel.

 

Seperti iFlix, Hooq juga bermula dengan langkah kiri menerusi strategi pemasaran dan harga yang salah. Dari situ, ia terus bergelut untuk menyusun kembali langkah sebelum dipintas oleh pemain-pemain penyiar digital lain dan kehabisan wang.

 

iFlix juga turut menanggung kesan kegagalan IPO mereka di Bursa Saham Australia. IPO iFlix dijangka diapungkan dalam tempoh dua bulan sebelum pandemik Covid-19 menyaksikan kejatuhan harga saham sebanyak 30%. Kejatuhan ini mencetuskan klausa perubahan yang signifikan dengan pembiaya kewangan mereka.

Disebabkan itulah sebelum ia diambil alih oleh Tencent, iFlix dikatakan menjemput bidaan dari tiga pemain utama industri digital China iaitu Youku (Alibaba), IQIYI (disokong Baidu dan disenaraikan di NASDAQ) dan Tencent sendiri. Bagaimanapun semasa cerita itu timbul, pengurusan iFlix enggan mengulas perkhabaran tersebut.

 

Ketiga-tiga gergasi ini turut berdepan tekanan masing-masing di China. Selain perlu bersaing dengan gergasi-gergasi teknologi baru seperti TikTok (Douyin di China) dan Bilibili, mereka juga berdepan kerugian menerbitkan program-program original untuk saluran mereka.

 

Hal ini mendorong mereka untuk mengembangkan operasi dan mengukuhkan kembali syarikat dengan meneroka pasaran luar negara yang belum diakses.

 

Seperti IQIYI, Tencent juga sudah mula mengembangkan operasi mereka di Asia menerusi perlancaran di Thailand tetapi belum membuahkan hasil.

 

Manakala IQIYI pula mempunyai aplikasi yang boleh diakses di seluruh Asia tetapi hanya disokong untuk pasaran tertentu. IQIYI juga dilihat mempunyai sedikit pengaruh di Taiwan dan mengadakan kerjasama dengan ASTRO di Malaysia.

 

Dengan pengambilalihan iFlix ini, Tencent dilihat akan menekankan kandungan program Bahasa Cina dan Asia sebagai strategi yang lebih menguntungkan berbanding mengejar kedudukan Netflix.

 

Sebagai permulaan, Tencent mengumumkan jenama iFlix akan dikekalkan antara enam hingga 12 bulan dan majoriti staf mereka termasuk CEO Marc Barnett dikekalkan buat masa ini.

Source Frater, P. (2020). China’s Tencent Video to Buy Southeast Asian Streamer Iflix. Variety.
You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.