fbpx

Iklan Kepelbagaian Nike Bikin Panas!

0 432

Beberapa bulan lepas, Nike Jepun melancarkan iklan terbaru mereka bagi mempromosikan barangan sukan terbaru keluaran mereka. Anda boleh lihat contoh iklan tersebut di The Future Isn’t Waiting.

Video ini sudah merekodkan 25 juta tontonan di laman media sosial dan dikongsi sebanyak 80,000 kali. Begitupun, tindakan Nike menyentuh isu diskriminasi perkauman terutama membabitkan individu yang berdarah kacukan mendapat kecaman ramai. Ada yang menganggap Nike sengaja memandai-mandai dan mengancam memboikot jenama sukan itu. Namun ada juga yang menyanjung pendekatan positif yang dibawa mereka.

Advertisement

Jadi, mengapa orang Jepun naik minyak dengan iklan ini? Wartawan berdarah Jepun-Amerika, Morley Robertson berkata, “Ramai orang Jepun tidak suka diberitahu orang luar untuk mengubah cara mereka. Tetapi jika orang asing ini menunjukkan pemahaman dan penghormatan terhadap budaya mereka, golongan sama ini juga akan memuji mereka.”

Penulis buku Surfing the Asian Wave: How to Survive and Thrive in The New World Order, Steve McGinnes menyifatkan iklan ini sebagai gol sendiri terhadap Nike. Tambahnya, “Perkauman endemik ialah topik sensitif dalam banyak budaya. Tetapi Nike tidak seharusnya berfikir, sebagai tetamu luar, bahawa mereka layak menunjukkan kelemahan tuan rumah mereka.

Kredit: Britannica

“Mereka secara kasar menunjukkan subjek ramai merasakan ia tidak sepatutnya dibangkitkan. Ini merupakan gol sendiri paling berisiko untuk Nike.” Nike bukan satu-satunya firma Barat yang menerima kecaman kerana tidak sensitif dengan budaya masyarakat luar.

Firma pereka fesyen Christian Dior menerima kecaman pengguna China kerana menggunakan peta China tanpa kehadiran peta Taiwan pada tahun lepas. Penasihat jenama Martin Roll menyifatkan sikap sombong dan cuai firma-firma Barat boleh menjejaskan kedudukan mereka kerana tidak memahami maruah dan budaya yang dijulang oleh masyarakat tempatan.

Begitupun, jika ada menyangka kontroversi sebegini membuatkan orang menjauhkan diri, anda salah. Dalam kes Nike, tindakan mereka menyiarkan iklan yang menampilkan bekas pemain NFL, Colin Kaepernick membantu meningkatkan jualan mereka. Kaepernick menjadi terkenal kerana bertelut semasa lagu kebangsaan Amerika Syarikat dimainkan bagi membantah ketidakadilan kaum.

Isu ini sememangnya memeningkan sesiapa saja yang mengikut perkembangan sukan di Timur Jauh. Ya, ramai mengagumi pemain tenis Jepun berdarah campuran Naomi Osaka tetapi berikutan latar belakangnya itu, beliau menjadi bahan jenaka melampau untuk iklan dan program televisyen.

Perkara ini tidak hanya berlaku secara eksklusif di Jepun saja. Perkara sedemikian rupa juga berlaku di Korea Selatan dan pernah disentuh penulis menerusi artikel Xenofobia dan Rasisme: Penyakit Korea Selatan? 

Source Harper, J. (2020). Nike's diversity advert causing a backlash in Japan. BBC.
You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.