fbpx

Impak Kewangan Cristiano Ronaldo Apabila Sertai Manchester United Semula

0 657

Semasa Cristiano Ronaldo dibawa masuk ke Juventus tiga musim lepas, ia dianggap satu perjanjian bersifat menang-menang bagi kedua-dua belah pihak. Bagi Ronaldo, ia memberi peluang kepadanya menjulang satu lagi kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah selepas berjaya melakukannya bersama Manchester United dan Real Madrid. Bagi Juventus pula, ia membawa kepada pelbagai kelebihan kewangan.

Sebelum sah menyertai Old Lady dari Real Madrid pada perpindahan musim panas 2018-2019, khabar angin perpindahannya menyaksikan peningkatan harga saham sebanyak 127%. Khabar sama turut mengakibatkan nilai modal kelab di pasaran bertambah kepada €1.5 bilion (RM7.42 bilion). Purata harga tiket semusim kelab dinaikkan sebanyak 30% tetapi kesemua pas bermusim laris bak pisang goreng panas dan habis dijual.

Advertisement

Apabila perpindahan bernilai AS$130 juta (RM545.3 juta) itu berjaya dimuktamadkan, kelab berjaya menjual 520,000 helai jersi dengan nilai AS$62.4 juta (RM261.7 juta). Dan ini berlaku sebelum Ronaldo turun ke padang sebagai sebahagian daripada kesebelasan utama.

Bagi pihak liga, mereka berharap kehadiran Ronaldo dapat menaikkan prestij liga sekaligus menarik perhatian penonton antarabangsa. Pada ketika itu, Serie A hanya menjana €1.4 bilion (RM6.92 bilion) jauh ketinggalan di belakang Liga Perdana Inggeris (PL) yang menjana €3.3 bilion (RM16.3 bilion). Serie A berharap kelibat Ronaldo sebagai perangsang untuk nilai kontrak penyiaran yang lebih lumayan apabila kontrak tersebut dibida oleh para penyiar di seluruh dunia.

Bagi Juventus pula, mereka boleh menjana pendapatan €255 juta (RM1.26 bilion) semusim dengan syarat mereka sentiasa menunjukkan prestasi baik dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL). Ronaldo mempunyai kontrak sehingga 2022 dan jika Juventus menunjukkan prestasi konsisten dalam UCL, mereka boleh menjana €1.02 bilion (RM5.04 bilion) dari segi hak penyiaran.

La Vecchia Signora juga berharap kehadiran Ronaldo dapat meningkatkan nilai penajaan kelab mereka. Pada ketika itu, kelab mendapat tajaan Adidas sebagai pembuat jersi dan Jeep sebagai penaja mereka. Difahamkan, nilai penajaan yang diterima sememangnya lumayan dan ia dijangka dirundingkan semula selepas perpindahan itu dimeterai.

Tetapi paling penting, Juventus berharap nama Ronaldo dapat melonjakkan nama kelab setaraf dengan Manchester United, Real Madrid atau Barcelona. Di media sosial sahaja, beliau mempunyai 330 juta pengikut di Facebook, Twitter dan Instagram. Dan apabila Ronaldo sah menyertai Juventus, 1.5 juta orang mengikuti saluran laman media sosial kelab dalam satu hari.

Dengan nama besar sebegini, potensi pemasaran dan kewangan yang diterima La Vecchia Signora sudah pasti lumayan. Malah, ketua perkongsian global Juve Giorgio Ricci mendedahkan enam firma dari China dan Asia Tenggara mengadakan perbincangan sebagai penaja peringkat wilayah untuk kelab berkenaan pada musim tersebut.

Begitupun pada minggu lepas, kelab mengumumkan persetujuan menjual Ronaldo kepada kelab lamanya Manchester United dengan harga £19.4 juta (RM112 juta) bergantung kepada ujian perubatan dan persetujuan terma peribadi. Ini selepas bintang Portugal itu memberitahu tidak ingin kekal bersama Juve walaupun mempunyai kontrak berbaki setahun. Jadi, apakah perpindahan yang dikata menang-menang tiga musim lepas menguntungkan mengikut fakta di atas?

Rajah 1: Ronaldo paling hampir menjulang UCL bersama Juventus ialah pada peringkat separuh akhir UCL 2019/2020. Bagaimanapun, The Old Lady pulang hampa apabila tewas dengan Lyon dalam perlawanan berkenaan. Sumber: Catherine Ivill/Getty Images

Jawapan sebenarnya ialah tidak, baik di luar mahupun di atas padang. Walaupun terus menjadi peledak gol utama La Vecchia Signora, hasratnya untuk menjulang UCL bersama mereka langsung tidak kesampaian. Paling hampir sekalipun ialah peringkat separuh akhir UCL 2019/2020 sebelum dikecewakan wakil Perancis Olympique Lyon.

Dalam tempoh tiga musim, Ronaldo hanya berpeluang menjulang Serie A dan Coppa Italia bersama Juve. Malah, kelab terus merudum dengan tiga pengurus berbeza semasa eranya iaitu Massimiliano Allegri (2018-2019), Maurizio Sarri (2019-2020) dan Andrea Pirlo (2020-2021). Selepas Pirlo disingkirkan atas alasan prestasi tidak memuaskan, Allegri kembali ke kelab musim ini.

Dari segi profil antarabangsa untuk Juventus dan Serie A, memang benar nama Ronaldo amat berguna sebagai pelaris kepada penaja, pengiklan dan penyiar. Tetapi ia masih lagi tidak dapat mengatasi profil PL yang terus meniti di bibir peminat antarabangsa atau La Liga. Situasi pandemik Covid-19 juga langsung tidak membantu apabila nilai kontrak penyiaran antarabangsa yang sepatutnya bertambah kini berkurangan.

Dari segi harga saham pula, rupanya gaji beliau berjumlah €30 juta (RM148.4 juta) setahun menjadi beban kepada harga saham Juve. Pengurusan kelab diketuai Andrea Agnelli sudah diberi amaran oleh firma pelaburan Kepler Cheuvreux SA pada tahun lepas bahawa harga saham akan terus merudum selagi mana kelab menanggung gaji Ronaldo.

Dengan situasi kurang memuaskan di dalam dan luar padang serta keinginan Allegri menggunakan pemain muda sebagai nukleus pasukan, perpisahan merupakan jalan terbaik bagi kedua-dua pihak. Kini, giliran Manchester United pula meraih manfaat kewangan apabila perpindahan ini diumumkan pada Jumaat lepas. Difahamkan stok kelab naik sehingga £212 juta (RM1.22 bilion) tidak lama selepas berita perpindahan Ronaldo diumumkan.

Ronaldo kini memasuki tahun-tahun terakhir sebagai pemain bola sepak. Kepulangannya ke Old Trafford merupakan satu berita gembira kepada penyokong dan United dalam pelbagai segi. Tetapi apakah perpindahan yang didorong oleh sentimen ini berjaya atau tidak, hanya masa akan menentukannya. Apapun, selamat kembali CR7!

RUJUKAN:

Dawson, Alan. (2018). Shares in Juventus FC have doubled since it bought Cristiano Ronaldo, and it’s probably only the beginning. Business Insider.

Parker-Turner, Charlie. (2021). Man Utd’s stock market value rockets by £212million hours after Cristiano Ronaldo transfer. Daily Mirror.

Easton, Joe. (2021). As Ronaldo Readies to Leave Juventus, His Stock Legacy Is Fading. Bloomberg.

Sumber gambar: Getty Images

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.