fbpx

Inovasi Made In Gaza Bantu Lawan Covid-19

0 52

Pandemik Covid-19 menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang ramai di seluruh dunia terutama di kawasan-kawasan konflik.

 

Ramai bimbang sistem kesihatan yang rapuh bakal menerima tekanan hebat kerana masalah kekurangan katil dan bilangan pesakit yang ramai.

 

Advertisement

Antara kawasan konflik yang terjejas ialah Semenanjung Gaza, Palestin seperti disaksikan ahli perniagaan dan pencipta Heba al-Hindi.

 

“Apabila Covid-19 menular ke Semenanjung Gaza, saya beritahu diri saya untuk mencari jalan membendung penularan wabak ini. Kemudian timbul idea untuk menghasilkan pembasmi kuman seterusnya membawa kepada penciptaan mesin pembasmi kuman pelbagai fungsi.

 

“Di Gaza, kami mempunyai peralatan asas yang diimport dari luar negara untuk mengukur suhu dan yang lainnya untuk membunuh kuman. Tetapi peralatan kami menggabungkan pelbagai teknologi dalam satu alat,” katanya.

 

Semasa Covid-19 mula melanda dunia, Gaza yang dikepung rejim Israel sejak 2007 tidak mengalami isu penularan wabak pada peringkat awal.

 

Kini, terdapat 5,440 kes positif di semenanjung berkenaan dengan 31 orang disahkan mati akibat wabak berkenaan.

 

Situasi Covid-19 Gaza diburukkan lagi dengan sistem kesihatan yang rapuh, kekurangan tenaga elektrik yang kritikal dan kedudukan ekonomi yang terjejas akibat kepungan rejim.

 

Pelanggan yang menggunakan alat ini sebelum memasuki premis akan mencuci tangan dengan pembasmi kuman sambil direkodkan suhu badan mereka.

 

Sekiranya suhu badan seseorang itu terlalu tinggi, maka lampu akan bertukar merah dan pelanggan tidak dibenarkan masuk. Sekiranya tidak, maka pintu akan dibuka secara automatik dan pelanggan dibenarkan masuk.

 

Graduan jurusan matematik berusia 37 tahun itu menerajui Innovation Makers, sebuah firma teknologi yang bertanggungjawab menghasilkan lapan produk anti-Covid-19.

 

Ianya termasuklah sebuah mesin menyerupai robot berwarna biru dan kuning yang dilihat popular dalam kalangan kanak-kanak.

 

Tambah Heba, projek ini sememangnya menjana pendapatan tetapi matlamat mereka jauh lebih besar. “Kami memberi fokus kepada produk Palestin atau lebih tepat, produk dari Semenanjung Gaza yang dikepung sebagai inovasi kepada dunia luar,” katanya.

 

Innovation Makers menjual puluhan mesin ini kepada kedai roti, pasar raya dan restoran dengan harga antara US$550 (RM2,076.55) hingga US$1,500 (RM6,229.65).

 

Walaupun ia tidak dapat diimport ke luar negara berikutan sekatan Israel, ia sudah dipatenkan di kementerian ekonomi Palestin di Tebing Barat.

 

Bagi ramai peniaga di Gaza, mesin ini amat memudahkan urusan mereka. Pengurus restoran Matar Matar memberitahu dia mengetahui kewujudan mesin ini menerusi laman media sosial.

 

Bagi Muhammad Natat, 23, peluang terlibat dalam projek mesin ini dianggap satu peluang yang baik kerana ini membolehkannya bekerja dalam bidang yang diminatinya memandangkan latar belakang dirinya sebagai jurutera komputer.

 

Separuh daripada populasi Semenanjung Gaza menganggur dengan dua pertiga daripada mereka ialah golongan muda.

 

Sementara lebih dua pertiga penduduk memerlukan bantuan kemanusiaan untuk meneruskan hidup. Ianya berdasarkan satu laporan Bank Dunia baru-baru ini.

Source AFP. (2020). Made-in-Gaza device fights coronavirus spread. The Star.
You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.