fbpx

Isu kawasan Felda, EPU akan kaji penyelesaian jangka panjang

0 31

JELI, 19 Mac– Kajian komprehensif akan dilaksanakan bagi mencari solusi jangka panjang menangani isu di kawasan Felda seluruh negara.

Ia termasuklah isu berkaitan perumahan generasi baharu, peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi di kawasan FELDA yang kurang memberangsangkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata kajian dilaksana Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (EPU) dijangka bermula Jun ini.

Ia selari hasrat mentransformasi kawasan Felda menjadi lebih moden dan progresif.

“Jadi kita akan buat kajian menyeluruh mengenai Felda khususnya dalam memastikan model ini lebih lestari dan model ini lebih berkesan dalam usaha kita memastikan Felda terus mara ke hadapan umpamanya peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan di kawasan Felda bila peluang itu ada tetapi tak seberapa maka kita dapati penghijrahan berlaku secara besar-besaran, generasi kedua Felda ini ada yang berjaya keluar dari kawasan Felda. Jadi professional jadi tokoh-tokoh yg kita sedia maklum generasi kedua ketiga ramai berjaya, ” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan projek infrastruktur pelancongan di Bukit Salor, Jeli, Kelantan.

Jelas Mustafa lagi, kajian itu juga akan menjadi panduan ke arah kelestarian Felda yang akan meningkatkan nilai komersil kawasan-kawasan Felda sebagai kawasan yang memberikan peluang aktiviti ekonomi dan pekerjaan.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata, kerajaan berpandangan kesemua usaha ini perlu dilaksanakan dengan kaedah lebih holistik dan tersusun supaya warga Felda mendapat manfaatnya.

(Mustapa menyampaikan ucapan perasmian kawasan rekreasi dan pusat pelancongan di Dataran Bukit Salor, Jeli hari ini.)

Advertisement

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.