fbpx

Isu Kekurangan Semikonduktor

0 487

Sejak pandemik Covid-19 bermula, isu kekurangan semikonduktor sudah membelenggu industri elektronik dan pembuatan kenderaan. Cip sebegini sememangnya tahan lasak untuk pelbagai aplikasi seperti kereta, superkomputer dan barangan elektronik. Tetapi rantaian bekalannya amat terdedah kepada pelbagai bentuk gangguan sama ada berbentuk gangguan alam semulajadi atau buatan manusia.

Perlu diingat, industri pembuatan semikonduktor tidak boleh ditutup sesuka hati. Ini kerana rantaian penghasilan wafer sudah ditentukan secara halus dan sebarang perubahan untuk produk cip baru memerlukan masa lama untuk disiapkan. Dan untuk menjayakan usaha ini memerlukan pelaburan baru berjumlah berbilion dolar. Jika bekalan pulih sekalipun menjelang 2022, ia dijangka mengambil masa dua tahun untuk rantaian bekalan semikonduktor pulih.

Advertisement

Jadi, bagaimana kekurangan semikonduktor ini berlaku? Berikutan situasi gelombang pertama Covid-19, pengeluar-pengeluar kenderaan seperti Mercedes, General Motors dan Volkswagen terpaksa menutup rantaian pembuatan kenderaan mereka buat sementara waktu. Sedar permintaan kenderaan akan berkurangan dalam tempoh beberapa bulan, mereka membatalkan pesanan cip yang digunakan dalam sistem elektronik kenderaan seperti bantuan pemandu dan kawalan pemanduan.

Susulan pembatalan itu, pengeluar-pengeluar cip seperti Taiwan Semiconductor Manufacturing Corp (TSMC) mengatur semula kapasiti pengeluaran untuk syarikat-syarikat lain. Antara syarikat-syarikat yang memerlukan cip ketika itu ialah pengeluar telefon pintar, peralatan permainan video dan komputer riba. Produk-produk elektronik ini mendapat sambutan hangat berikutan ramai penduduk dunia terpaksa duduk di rumah akibat perintah berkurung yang dilaksanakan di seluruh dunia.

Tetapi apabila jualan kenderaan kembali melonjak pada suku ketiga tahun lepas dan pengeluar kenderaan cuba meningkatkan kadar pengeluaran, permintaan daripada sektor berkenaan tidak dapat dipenuhi dengan pantas oleh pengeluar-pengeluar cip. Perkara sama kemudiannya dialami oleh pengeluar-pengeluar barang elektronik lain. Walaupun bilangan jualan produk mereka tinggi tetapi mereka berdepan kesukaran untuk memenuhi permintaan pasaran.

Selain isu pandemik Covid-19, perang dagang Amerika Syarikat-China memaksa sesetengah pengeluar elektronik menyimpan semikonduktor sebagai stok simpanan. Tidak mahu mengambil risiko rantaian bekalan semikonduktor terjejas akibat disenaraihitam oleh kerajaan AS, Huawei mula menyimpan stok semikonduktor sejak 2019. Pengeluar-pengeluar barang elektronik yang bimbang terjejas akibat perang dagang dua kuasa dunia itu turut melakukan perkara sama.

Ini bukan kali pertama rantaian bekalan semikonduktor terjejas. Kali terakhir ia terjejas pada 10 tahun lepas selepas insiden gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun sehingga menjejaskan loji nuklear Fukushima. Gempa bumi sama turut menjejaskan operasi kilang semikonduktor Renesas Electronics yang merupakan pembekal ketiga terbesar dunia untuk cip kenderaan.

Dengan menyusuri lipatan sejarah, perkara sama turut berlaku pada tahun 1997. Pada tahun tersebut, alat komputer rantai kunci Tamagotchi keluaran Bandai menjadi kegilaan ramai orang muda pada ketika itu. Berikutan permintaan yang tinggi, pengeluar-pengeluar cip di Taiwan tidak dapat memenuhi sektor-sektor lain sekaligus mencetuskan kekurangan semikonduktor dalam sektor pembuatan lain.

Akibat kekurangan semikonduktor sudah mula dirasai oleh pengeluar-pengeluar kenderaan. Menurut firma penyelidikan IHS Markit, kekurangan semikonduktor bakal menjejaskan pengeluaran 1.3 juta kereta dan van di seluruh dunia. Ford sudah memberi amaran kekurangan cip akan memberi kesan kepada pengeluaran 1.1 juta kenderaan mereka.

Bagi pengeluar barang elektronik, kos kekurangan semikonduktor kepada output pengeluaran dijangka mencecah berbilion dolar. Apple sebelum ini mengumumkan bakal berdepan kos sebanyak AS$3 bilion untuk suku ketiga kewangan pada Jun lepas. Impak terbesar dijangka akan dirasai oleh produk Mac dan iPad berikutan permintaan yang tinggi untuk kerja dari rumah (WFH) dan kekurangan komponen.

Jadi, usah terkejut jika ada produk-produk elektronik naik harga. Kenaikan harga yang dibuat oleh firma-firma seperti Xiaomi, Samsung dan Sony pada produk-produk elektronik mereka dibuat selepas berdepan masalah kekurangan semikonduktor sehingga menaikkan kos komponen berkenaan.

Bagi menangani isu kekurangan semikonduktor di pasaran, pengeluar-pengeluar cip mengambil langkah segera. Bagi TSMC, mereka bertindak membuka sebuah lagi loji penghasilan cip dengan kos AS$2.87 bilion di Nanjing, China. Loji yang bakal beroperasi pada separuh kedua 2022 itu merupakan sebahagian daripada rancangan pengembangan operasi syarikat berjumlah AS$100 bilion untuk tempoh tiga tahun berikutnya.

Di AS, Intel pula mengumumkan sebahagian kapasiti pengeluarannya akan diperuntukkan untuk penghasilan cip kenderaan. Selain itu, syarikat turut mengumumkan pelaburan berjumlah AS$3.5 bilion untuk membesarkan kilang di New Mexico selain pelaburan berbilion dolar di Oregon, Arizona, Ireland dan Israel.

Isu kekurangan semikonduktor turut menonjolkan perang teknologi antara China dengan blok Barat. Disebabkan semikonduktor merupakan bahan kritikal dalam banyak produk dan sistem teknologi, China, AS dan Eropah berusaha mewujudkan program pengeluaran semikonduktor yang tidak diganggu oleh cabaran geopolitik atau mana-mana kejutan luar.

Di China, Presiden Xi Jingping berharap dapat menjadikan China sebagai negara yang menghasilkan sendiri semikonduktor tanpa bantuan negara luar. Sementara AS di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden pula berusaha mempengaruhi firma-firma pembuat cip untuk bertapak di sana. Ini merupakan sebahagian daripada program pembangunan infrastruktur beliau.

SUMBER

South China Morning Post. (2021). Why there is a global semiconductor shortage, how it started, who it is hurting, and how long it could last.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.