
Isu Mental Jejas Prospek Kerja Pasca-Covid
Dalam era pandemik, ramai individu yang mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan dan bu.nu.h diri. Masalah ini tercetus kerana tidak tahan dengan pelbagai masalah seperti isu pengangguran, kehilangan pendapatan dan gangguan kesihatan kronik termasuk jangkitan Covid-19. Dan isu ini akan terus membelenggu golongan muda walaupun selepas pandemik Covid-19 berakhir.
Kesimpulan ini dibuat oleh dua organisasi iaitu Resolution Foundation dan Institut Kajian Fiskal UK (IFS) membabitkan pekerja-pekerja muda di Britain. Dapatan pihak yayasan mendapati pekerja berusia 18-24 tahun dua kali ganda masih lagi tidak berpeluang mendapat kerja walaupun banyak sektor ekonomi UK dibuka semula.
Advertisement
Daripada 8,000 responden yang ditanya oleh firma kaji selidik YouGov dengan kerjasama Health Foundation, kurang daripada 48% responden berusia 18-24 tahun sahaja yang mengakui mempunyai kesihatan mental yang bagus. Ini sama sekali berbeza dengan 64% responden lain bila ditanya soalan sama.
Bila ditanya prospek kerja untuk bulan-bulan mendatang, satu daripada empat responden kumpulan umur sama mengakui bimbang tidak mendapat kerja akibat kesihatan mental mereka. Jika dibandingkan dengan satu daripada lima (umur 35-54) dan satu daripada 10 (umur 55-64 tahun), ia sememangnya membimbangkan.
Dapatan kajian ini turut menyokong kesimpulan IFS di mana golongan muda akan menanggung kesan kemelesetan ekonomi akibat Covid-19 untuk tahun-tahun mendatang. Ini kerana semasa pandemik berlaku, ramai pekerja bergantung kepada subsidi upah kerajaan untuk meneruskan kehidupan. Ada juga yang memilih tinggal bersama ibu bapa mereka atau menangguhkan peluang membina kerjaya kerana merasakan masa depan kewangan mereka belum terjamin.
Angka rasmi kerajaan UK menunjukkan pekerja berusia 25 tahun ke bawah menyumbang kepada penurunan peluang pekerjaan sebanyak dua pertiga semasa pandemik. Ini turut menunjukkan kebanyakan pekerja muda diletakkan sebagai penerima subsidi upah berbanding pekerja-pekerja yang lebih berusia.
Angka-angka ini tidak mengejutkan IFS sambil menyifatkan golongan muda amat bimbangkan masa depan kewangan mereka. Ini kerana subsidi upah yang diterima mereka bakal berakhir tidak lama lagi dan tinggal bersama ibu bapa mereka bukan satu pilihan yang dimahukan untuk jangka masa panjang.
Justeru, IFS mencadangkan langkah-langkah sokongan berkesan diadakan untuk menyokong situasi ekonomi mereka pasca-pandemik Covid-19. Penyelidik ekonomi kanan IFS Xiaowei Xu memberi amaran sekiranya langkah sokongan tidak diambil, trauma akibat kemelesetan ini akan terus ditanggung untuk tahun-tahun mendatang.
Dalam konteks Malaysia, ini seharusnya dipandang serius oleh pihak kerajaan. Bukan rahsia ada yang bergelut dengan isu mental akibat pandemik termasuk memilih menamatkan riwayat sendiri. Keadaan ini berlaku kerana mereka sudah putus harapan mencari jalan keluar kewangan akibat PKP dan pandemik Covid-19. Ada juga yang terpaksa mengibarkan bendera putih kerana terdesak memerlukan bantuan segera.
Dan malangnya, kebanyakan kes sebegini berlaku akibat isu kewangan yang tercetus akibat pandemik. Untuk kes bu.n.uh diri sahaja, 336 kes bu.n.uh diri dilaporkan kepada polis berlaku dari Januari hingga Mac 2021. Sementara pada 2020, 631 kes bu.n.uh diri dilaporkan mengikut statistik Kementerian Kesihatan.
Benar, kerajaan sudah mengeluarkan pelbagai pakej kewangan bagi mengurangkan kesan pandemik terhadap poket kewangan orang ramai seperti subsidi upah dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Tetapi ia masih tidak mencukupi terutama kepada individu yang hilang sumber pendapatan semasa pandemik.
Suka atau tidak, langkah-langkah lebih konkrit harus diperkenalkan termasuk mempertimbang idea BPN secara bulanan kepada mereka yang hilang pendapatan. Bantuan sebegini bukan sekadar meringankan beban tetapi menggembirakan keadaan mental mereka. Malah, penulis pernah menyentuh panjang lebar tentang pendapatan asas sejagat (UBI) sebelum ini.
Ya, sekarang ini semua bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan. Tetapi hendak seribu daya, tidak seribu dalih. Jika langkah-langkah ini tidak dibuat segera, parut yang ditanggung akibat kemelesetan ini akan memberi kesan negatif kepada golongan muda untuk jangka masa panjang. Dan ia bakal menjadi benih bahana yang ditanggung negara untuk bertahun lamanya.
RUJUKAN:
Free Malaysia Today. (2021). Angka mengejutkan, 336 kes bunuh diri hingga Mac tahun ini. Diambil dari https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/29/angka-mengejutkan-336-kes-bunuh-hingga-mac-tahun-ini/
Partington, Richard. (2021). Young people fear poor mental health will affect post-Covid job prospects. The Guardian. Diambil dari https://www.theguardian.com/society/2021/jul/05/young-people-fear-poor-mental-health-will-affect-post-covid-job-prospects