fbpx

Jadi Jutawan Dengan Mengulangi Ciapan Satu Bilion Yen: Kisah Pengumuman Yusaku Maezawa

0 573

“Kalau aku kaya

Hari hari hari raya

Advertisement

Bil-bil jiran keluarga

Aku belanja selamba

Kalau aku kaya

Aku beli segalanya

Bungkuskan semua

Hadiahkan pada mama…”

 

Bohonglah pada satu masa dalam kehidupan, semua orang mempunyai impian nak jadi jutawan. Justeru tidak hairanlah bagi sesiapa yang pernah mendengar lagu Kalau Aku Kaya nyanyian Awi Rafael dan menampilkan rapper terkenal Altimet, tidak sah jika sesetengah impian jutawan itu ada dalam lirik lagu mereka. Tetapi jika seorang jutawan berhasrat memberi sedikit daripada kekayaan yang dimiliki kepada golongan marhaen seperti kita, apa reaksi ya?

 

Perkara ini terjadi di Jepun beberapa hari lepas apabila pengasas empayar perniagaan fesyen Zozo Inc, Yusaku Maezawa mengumumkan akan mengagihkan wang sebanyak satu bilion yen (RM36.7 juta) kepada seribu pengguna Twitter untuk melihat sama ada ia dapat meningkatkan tahap kegembiraan mereka atau sebaliknya. Apa yang perlu dilakukan pengguna Twitter mudah saja iaitu mengulangi ciapan pengumumannya itu. Pengguna yang bertuah bakal memenangi sejuta yen setiap seorang.

 

Video pengumuman peraduan ini dibuat di YouTube dan boleh dilihat menerusi pautan ini:

 

 

Dalam video yang berdurasi lima minit dan 30 saat itu, Maezawa menyifatkan ia merupakan satu eksperimen sosial. Beliau mengaitkan pemberian yang dibuatnya itu dengan teori pendapatan asas sejagat iaitu menyediakan bayaran dalam jumlah tertentu tanpa syarat kepada semua rakyat sesebuah negara. Beliau menambah menerusi pengumumannya ini, ia dapat menjana perdebatan dalam kalangan orang ramai dan pakar tentang teori ini dan sejauh mana ia boleh dilaksanakan di Jepun.

 

Walaupun interpretasinya berkenaan teori itu ditegur oleh ramai pakar ekonomi tetapi kebimbangan yang dibangkitkan Maezawa ada asasnya. Dengan kemajuan teknologi hari ini termasuk pembangunan kepintaran tiruan, wujud kebimbangan angka pengangguran bakal meningkat apabila kemajuan teknologi menghapuskan pekerjaan-pekerjaan yang dianggap tidak relevan dengan perkembangan semasa. Maezawa tidak keseorangan dalam hal ini kerana semakin ramai tokoh berpengaruh turut berkongsi idea sama termasuk calon presiden Demokrat, Andrew Yang.

 

Sejak dilancarkan pada 1 Januari lalu, ia sudah menarik perhatian empat juta pengguna Twitter sebelum penyertaan ditutup pada tengah malam 7 Januari. Bagi menentukan siapa pemenang bertuah, satu cabutan bertuah akan diadakan. Dari situ, Maezawa sendiri akan menghantar mesej terus kepada pengguna yang bertuah dalam tempoh dua atau tiga hari. Selain memberitahu keputusan peraduan, beliau juga akan bertanya kepada pengguna yang bertuah impak daripada pemberian mengejut ini.

 

Tetapi jika ada yang mengatakan kejutan ini bersifat sekali sahaja, anda salah. Pada tahun lepas, Maezawa membuat pengumuman sama di Twitter di mana beliau akan mengagihkan wang berjumlah 100 juta yen kepada 100 pengguna Twitter yang bertuah. Ulangan ciapannya memecah rekod ulangan ciapan terbanyak sebanyak 4.68 juta ulangan ciapan. 100 pengguna bertuah mendapat US$9,000 (RM37,260.12) setiap seorang.

 

Berdasarkan nilai kekayaan yang dibuat oleh majalah Forbes, nilai kekayaan Maezawa kini bernilai US$2.7 bilion. Beliau juga merupakan seorang selebriti di laman media sosial di mana hantaran-hantarannya mengandungi apa yang dilakukannya termasuk pembelian barang yang dianggap unik dan luahannya tentang kehidupan tanpa wang. Misalnya pada tahun 2017, Maezawa membelanjakan US$117 juta untuk membeli sebuah lukisan Jean-Michel Basquiat dalam satu sesi lelongan. Jumlah yang dibayarnya itu merupakan nilai tertinggi pernah dibayar untuk lukisan yang dihasilkan pelukis Amerika dalam sesi lelongan.

 

Beliau juga merupakan penumpang swasta pertama yang akan terbang mengelilingi bulan dengan SpaceX yang diterajui oleh Elon Musk. Dalam satu temubualnya bersama CNN berkenaan pelancongan ke bulan, antara harapan Maezawa ialah dapat membawa golongan karyawan menyertainya dalam lawatan berkenaan. Ini kerana menurut beliau, ini boleh memberi ruang kepada para artisan yang berbakat menonjolkan bakat mereka dan memperlihatkan keindahan alam semesta termasuk bulan untuk menjadi tatapan ramai.

 

Rujukan: NYPost, Independent, CNN

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.