fbpx

Jaminan Arang Batu Xi Jinping

0 320

Sejarah China memang sangat panjang dan rumit. Jadi orang ramai mungkin tidak begitu faham tentang pembangunan China yang moden hari ini. Tambah pula dengan pemimpin bersilih ganti, dan struktur komunisme yang berlainan dengan piagam demokrasi.

Kelonggaran ideologi semasa pemerintahan Deng Xiaoping telah memulakan langkah pertama yang menjadikan China dikenali sekarang.

Advertisement

Terdahulu Mao Zedong memilih jalan komunisme tepu yang memustahilkan sebarang kerjasama dengan Barat.

Xiaoping dan pemimpin-pemimpin susulan hingga Xi Jinping hari ini mengutamakan perdagangan. Untuk memajukan sektor ini, China telah melaburkan dana begitu banyak untuk industri pengeluaran.

Pembangunan pesat ini memerlukan tenaga sangat banyak, yang dijana dengan menggunakan arang batu.

Banyak negara dulu membangun dengan arang batu. China saja masih mengutamakan sumber ini.

China masih merajai takhta penggunaan arang batu (coal consumption) tertinggi. Dan kerajaan Beijing mengetahui kesan-kesan buruk arang batu, terutamanya pada alam sekitar dan kesihatan rakyat (Gasparotto & Martinello, 2021).

Bertahun-tahun pejuang alam sekitar dan pemikir negara bersyarah panjang pasal impak ini. Suara pro-persekitaran sudah menyelubungi semua kerajaan di Dunia Barat.

Kemenangan Joe Biden meletakkan Amerika Syarikat pada landasan dunia hijau. Dan turut bersama Amerika Syarikat tahun ini adalah Jepun dan Korea Selatan, dua negara Asia yang sudah mengumumkan azam untuk menjauhi arang batu.

Jadi China tidak mahu ketinggalan. Kerajaan Beijing sudah lama menggilap imejnya sebagai contoh ikutan. Kedudukan China dalam bab arang batu sedang menconteng arang pada kerajaan Beijing.

Maka Jinping membuat pengumuman sangat penting dalam sebuah sidang PBB: China akan berhenti memberikan dana pada projek arang batu global (Barrett, 2021).

Xi Jinping bercerita panjang pasal isu ini.

Namun jaminan ini hanya untuk operasi di luar China sahaja. Penggunaan arang batu dalam China pula lain kira.

Ekonomi China masih bergantung pada sumber arang batu. Malah penggunaan arang batu melonjak tiga kali ganda dalam masa 20 tahun.

Untuk memahami skala arang batu ini, cuba tengok statistik ini: antara 2001 hingga 2021, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah berjaya mengurangkan penggunaan arang batu sebanyak 50 peratus. Keadaannya jelas – kuasa lain  x 0.5 manakala China pula x 3.

Mungkin kerana statistik inilah kerajaan Jinping berazam untuk menjadikan China bebas karbon dalam masa 40 tahun nanti.

Arang Batu Luar Negara

Selepas menjadi sebuah kuasa rantau, China mempunyai sebuah strategi perniagaan sangat baik. Zaman imperialisme sudah lama tamat. Dunia semakin berkembang pesat. China sudah menghidu realiti ini.

Kerajaan Beijing seperti biasa tidak masuk campur dengan urusan dalam negara lain. Tetapi mereka ada kuasa dari segi dana untuk membangunkan loji jana kuasa elektrik bersumber arang batu. Kemudian mereka jual elektrik kepada industri tempatan yang semakin pesat.

Strategi “kau bangun, aku suap” yang menguntungkan China.

Sasaran China bukan Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Rusia. Sebaliknya mereka menumpukan perhatian di Bangladesh, Indonesia, Mongolia dan Vietnam, dengan kuasa tenaga cukup untuk menghidupkan 30 juta rumah (Schiermeier, 2021). 

Memang banyak. 42 gigawatt. Semuanya arang batu. Inilah sasaran Xi Jinping – cari jalan untuk jana kuasa menggunakan selain daripada arang batu (sudah pastinya gas asli).

Akan tetapi, jumlah 42 gigawatt ini sangatlah sedikit untuk dibandingkan dengan penggunaan arang batu dalam China… yang mencecah 1,000 gigawatt. Inilah sebab kenapa pakar berpendapat China patut fokus pada pengurangan arang batu dalam negara terlebih dahulu.

RUJUKAN:

Barrett, E. (2021, September 29). China’s pledge to defund coal could unlock fresh finance for green energy. Fortune.

Gasparotto, J., & Martinello, K. (2021). Coal as energy source and its impacts on human health. Energy Geoscience. 2 (2): 113-120.

Schiermeier, Q. (2021, September 29). China’s pledge on overseas coal – by the numbers. Nature.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.