fbpx

Jaminan Pulangan Tinggi: Boleh Percaya Atau Sebenarnya Ada Risiko Tersembunyi?

0 465

Ramai berangan nak jadi kaya. Dan keinginan ini sentiasa dieksploitasi oleh individu-individu tidak bertanggungjawab untuk aktiviti penipuan. Salah satu aktiviti penipuan yang dikesan pihak berkuasa ialah janji pulangan tinggi dan bebas risiko bagi setiap pelaburan besar yang dibuat mangsa. Tetapi secara terus-terang, betulkah wujud pelaburan boleh mendapat pulangan tinggi?

Sebelum meneruskan, ingin penulis ingatkan bahawa setiap pelaburan ada risikonya. Bohonglah bila bertanya bab pulangan pelaburan, tidak disebut sedikit pun pasal ini. Tetapi bagi pelabur baru, masalahnya di sini ialah bagaimana mengetahui risiko dalam mana-mana pelaburan dan membezakan sama ada pelaburan itu berisiko rendah atau tinggi.

Advertisement

Ini satu fakta yang jarang diketahui tentang risiko pelaburan: ia sukar diukur kerana dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan kemungkinan. Justeru, para pelabur menggunakan ketidaktentuan (volatility) sebagai cara mengenalpasti perubahan nombor mengikut tempoh masa tertentu. Pengiraan risiko ini digemari kerana ia lebih senang dikira. Sifirnya mudah – lebih besar kadar kemungkinannya, lebih besar peluang kemungkinan tersebut menjadi realiti.

Tetapi ia juga dianggap bermasalah sebagai cara mengira risiko. Ini kerana di sebalik kadar kemungkinan yang lebih besar, ia tidak semestinya menjadi realiti. Akibatnya, ia boleh saja menjejaskan nilai bon dan saham yang dilaburkan di pasaran.

Jadi, untuk mengelak masalah ini, solusinya mudah. Kenali apa itu risiko dan ketahui dari mana ia datang. Dengan melakukan dua perkara itu, pelabur dapat membina portfolio pelaburan yang bukan saja mengurangkan peluang kerugian tetapi juga mengurangkan potensi kerugian besar.

Sekarang, mari kenali pelaburan berisiko tinggi dan berisiko rendah. Pelaburan berisiko tinggi secara ringkas ialah pelaburan di mana ia mempunyai potensi tinggi untuk kehilangan modal atau berisiko tinggi berdepan kerugian teruk. Bagi yang pertama, ia bersifat subjektif kerana semua orang mempunyai pandangan tersendiri tentang batas peratusan kerugian bagi setiap pelaburan.

Bagi yang kedua pula, ini merupakan sesuatu yang jarang dipertimbang pelabur. Contohnya, isu pesawat Boeing 737 Max. Selepas pesawat keluaran Boeing terlibat dalam beberapa kemalangan udara di Indonesia dan Ethiopia pada 2018 dan 2019, saham syarikat merudum teruk sebanyak 18% atau AS$40 bilion dari nilai sebelumnya. Apa yang dimaksudkan penulis untuk pelaburan berisiko tinggi kedua ialah pelabur perlu bersedia menghadapi kemungkinan dan skala sesebuah insiden terhadap prestasi saham syarikat yang dilabur.

Pelaburan berisiko rendah pula ialah pelaburan yang dibuat sedikit atau dividen yang diterima kepada portfolio tidak seberapa. Pelaburan sebegini bukan saja melindungi pelabur daripada kerugian tetapi memastikan tiada pulangan pelaburan yang membawa kerugian besar.

Lantas, pelabur perlu menerima definisi risiko pelaburan sebagai kerugian modal dan/atau prestasi saham yang lemah. Jika itu berlaku, maka usaha untuk mengelaskan sesebuah pelaburan sebagai berisiko tinggi atau rendah menjadi lebih mudah.

Contoh saham berisiko tinggi ialah saham syarikat bioteknologi. Disebabkan pandemik Covid-19, banyak pelaburan bioteknologi dibuat bukan saja untuk vaksin dan ubat anti-viral Covid-19. Malah, ia membuka ruang kepada penyelidikan baru untuk vaksin dan ubat-ubatan untuk penyakit seperti kanser, AIDS dan Alzheimer.

Tetapi pelabur harus ingat saham syarikat sebegini dianggap berisiko. Ini kerana dalam kebanyakan kes, ubat-ubatan eksperimen selalunya tidak berhasil sekaligus menjejaskan saham syarikat-syarikat ini. Justeru, wujud kemungkinan tinggi saham syarikat-syarikat menunjukkan prestasi lemah di pasaran.

Selain mengenali jenis saham yang patut dilaburkan, pelabur juga harus mengetahui empat jenis risiko tersembunyi ini:

  • Pastikan saham yang dilaburkan tidak bertindan antara satu sama lain. Ini biasanya berlaku kepada pelabur yang melabur dalam dana-dana bersama. Walaupun melabur dalam dana bersama dan skim pelaburan berbeza, percayalah mereka kadang-kadang melabur di tempat yang sama. Tetapi agak sukar untuk mengetahui sejauh mana perkara ini berlaku.
  • Tempoh kadar faedah atau risiko. Ini biasanya berlaku untuk pelaburan bon. Mantera untuk pelaburan ini ialah bon dianggap selamat dengan pelabur mendapat semula sebahagian daripada pelaburan mereka. Dan bagi menjamin pelaburan yang stabil dan tahan lama, sesetengah pelabur membeli bon sekuriti yang mempunyai tempoh lama. Tetapi jika kadar bon tersebut meningkat, ia sebenarnya mengundang kerugian kepada pelabur – ada yang tidak dibayar selepas bon jangka panjang mereka gagal.
  • Kos tersembunyi. Ketahui kos sebenar pelaburan anda termasuk kos penyelidikan dan operasi sekiranya melabur dalam dana bersama dan skim pelaburan. Ini kerana dengan mengetahui nilai sebenar pelaburan, anda dapat mengetahui sama ada pulangannya berbaloi atau tidak.
  • Elemen bias. Pengurus dan broker saham turut mempunyai kecenderungan dan bias mereka seperti orang lain. Kadang-kadang sikap bias mereka boleh menjejaskan nilai portfolio saham para pelabur. Justeru, sebelum membuat sebarang pelaburan, tanya sama ada pelaburan yang dicadangkan berbaloi atau tidak dan apa pelan tindakan bagi menjaga kepentingan pelabur.

Di sebalik semua ini, masih ada individu yang tertipu dengan skim penipuan pelaburan yang kononnya menjamin pulangan tinggi. Menurut Suruhanjaya Sekuriti (SC), sejumlah 67,552 kes penipuan membabitkan kerugian bernilai RM2.23 bilion dilaporkan sejak 2017 sehingga 20 Jun 2021. Berdasarkan jumlah tersebut, ini bemakna seorang warganegara ditipu bagi setiap 30 minit. Dan antara muslihat yang selalu digunakan ialah skim pelaburan yang menjamin pulangan tinggi tanpa risiko.

Bagi mengelak situasi ini dari terus berlarutan, amat molek untuk para pembaca mengikuti pelbagai program Minggu Saham Digital 2021 anjuran PNB. Salah satu program yang dicadangkan penulis ialah Pelaburan 101 Maybank yang diadakan pada 17 November lepas. Bagi yang terlepas peluang menonton sesi penerangan Encik Rafiq Jajuli dari Maybank Investment, boleh tonton di sini.

Satu lagi alternatif ialah program Excuse Me, Nak Tanya Boleh? yang menampilkan hos Daniel Cheang dan pakar jemputan Mr Money. Program ini telah bermula pada 18 November lalu dengan edisi seterusnya dijangka diadakan pada 21 November ini. Ini peluang terbaik kepada pembaca di luar sana untuk mengetahui lebih mendalam tentang pelaburan terutama berisiko tinggi.

RUJUKAN

Bernama. (2021, 19 November). 67,552 kes scam dilaporkan babitkan kerugian RM2.23 bilion – SC.

Wattles, J. (2019, 23 Mac). Boeing has plunged in market value since Ethiopia crash. CNN Business.

F. Kay, M. (2013, 5 November). 5 Hidden Investment Risk. Forbes.

D. Simpson, S. (2021, 18 Ogos). Low-Risk vs. High-Risk Investments: What’s the Difference?. Investopedia.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.