fbpx

Jangka Hayat Manusia Bertambah Dua Kali Ganda Dalam Sejarah!

0 734

Jangka hayat adalah sesuatu yang sangat relatif. Kalau dalam bahasa marhaen, manusia melihat jangka hayat berdasarkan kebiasaan zaman. Macam zaman ini, orang ramai tidak begitu pelik kalau nampak seorang tua berusia 80 tahun. Ada yang menjadi seorang perdana menteri ketika berusia 90-an pun.

Semua sudah biasa. Namun kalau tanya orang dulu, ramai meninggal dunia sebelum 50-an. Maka mereka sangka manusia hanya mampu boleh hidup hingga separuh abad sahaja. Itulah contoh “relatif”: hari ini orang nampak lain; dulu orang nampak lain, berdasarkan apa yang “normal”.

Advertisement

Teknologi telah banyak membantu manusia dalam cara hidup dan jangka hayat. Ada dua pandemik berlaku antara 1918 hingga 2019: Influenza H1N1 dan COVID-19. Kedua-dua penyakit ini mudah tersebar.

Tetapi Influenza 1918 didapati lebih membunuh, berbanding COVID-19. Ada yang meninggal dunia beberapa jam selepas mula tunjuk simtom. Dalam masa 15 bulan, Influenza telah meragut lebih kurang 100 juta nyawa… sedangkan hanya tiga juta sahaja tumbang dalam tempoh itu kerana COVID-19 (Ives, et al., 2021)

Selepas zaman Influenza H1N1, manusia didapati mula hidup lebih lama. United Kingdom dulu mempunyai kadar jangka hayat dalam 41 tahun. Sekarang mereka boleh hidup sampai 80-an.

China dan India dulu sangat teruk, dengan jangka hayat 20-an pun ada kerana terlalu banyak penyakit dengan masalah kebersihan. Sekarang jangka hayat di India mencecah 70-an. Bermakna ada sesuatu yang meningkatkan tahap kesedaran umum, susulan peperangan besar dengan Influenza H1N1.

Memang benar, sains telah meningkatkan jangka hayat manusia. Macam-macam ubat berjaya dibuat, bantu merawat penyakit yang sebelum ini dianggap luar biasa. Penyelidikan vaksin pula telah menyelamatkan jutaan nyawa, dengan mengambil kaedah pencegahan imunisasi.

Vaksin walau bagaimana pun telah menjadi mangsa “historical amnesia”, yang mana orang ramai sudah lupa tentang jasanya (Conniff, 2019). Hari ini, vaksin menerima macam-macam tuduhan tidak berasas. Sampai ada yang berpendapat, anak lambat cakap pun kerana kesan vaksin (Stosel, et al., 2008).

Cuma sains hanya mula buat kerja apabila ada tahap kesedaran yang tinggi. Contohnya, Amerika Syarikat ialah negara maju. Pihak White House mampu membuat apa-apa saja. Mereka mampu mengeluarkan berbilion untuk projek vaksin.

Namun kenapa tunggu sampai jadi pandemik baru kelam-kabut, sedangkan dunia sudah tahu tentang koronavirus sejak 50 tahun lalu lagi? Satu lagi contoh, Bandar New York mempunyai bekalan air sangat bersih. Namun selama lima tahun, kota Flint di negeri Michigan mengalami isu keracunan air minuman… sampai mendapat perhatian Donald J. Trump dan Hillary Clinton.

Kedua-dua ahli politik ini mula memberi perhatian selepas ramai orang dalam kalangan aktivis marhaen membuat kerja di lapangan. Ratusan dan ribuan aktivis berkempen untuk meningkatkan tahap kesedaran tentang bekalan air bersih di Flint. Suara aktivis ini tersebar ke seluruh negara (dan dunia), menerima hujah balas daripada Barack Obama pun (Gardner, 2016). Barulah saintis membuat kerja selepas menerima dana untuk manfaat rakyat Flint.

Bekalan air Flint akhirnya diisytihar bersih pada tahun 2019. Kejadian ini turut berlaku di seluruh dunia, apabila aktivisme dan sains berganding bahu dalam meningkatkan jangka hayat manusia. Setiap zaman, semua faktor ketidaksamarataan seperti akses hospital dan makanan zat tinggi diutamakan kerajaan (yang bermula daripada suara aktivis). Ada saja isu dimainkan, seperti obesiti, jaminan makanan, kesamarataan jantina (dulu wanita tidak boleh mendapat rawatan tanpa suami atau bapa) dan sebagainya.

Setiap buah bata (usaha) telah melengkapkan sebuah rumah (kejayaan). Jangka hayat pun meningkat saban dekad dan hari ini menjadi dua kali ganda jika dibandingkan dengan 100 tahun lalu. Aktivis keamanan dan perdamaian juga telah menyampaikan suara marhaen di peringkat antarabangsa, supaya jangan lagi berperang seperti dulu.

Dengan gandingan inilah, semua cabaran berjaya diharungi. Ikutkan COVID-19 patut membunuh lebih ramai, kerana manusia hari ini mempunyai pengangkutan lebih pantas (lagi pantaslah kadar penyebaran). Tetapi berkat ilmu dalam teknologi, kematian berjaya dielak melalui rawatan yang sangat agresif dalam kalangan pihak kesihatan.

RUJUKAN:

Conniff, R. (2019, Ogos 16). The world before vaccine is a world we can’t afford to forget. National Geographic.

Gardner, T. (2016, Mei 4). Obama sips Flint water, urges children be tested for lead.Reuters.

Ives, M., et al. (2021, April 17). As Covid death toll passes 3 million, a weary world takes stock.The New York Times.

Stosel, J., et al. (2008, Mei 14). Should parents worry about vaccinating their children? ABC News.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.