fbpx

Jenama Mewah Mangsa Terbaru Pengagihan Kekayaan China?

0 2,277

Apabila firma-firma produk mewah seperti Gucci dan Hermes bertapak di China, ia didorong oleh polisi ‘jadi kaya dulu’ Deng Xiaoping. Disebabkan polisi ini, mereka meraih keuntungan besar dan mempunyai ramai pelanggan setia di negara itu. Tetapi kini, selepas sektor teknologi dan pendidikan, China merancang untuk memberi tekanan kepada mereka pula.

Kebimbangan diberi tekanan ini sudah mula kelihatan menerusi nilai saham beberapa firma mewah pada minggu lepas. Saham Kering, pemilik Gucci yang disenaraikan di bursa Paris berdepan penurunan nilai sebanyak 17%. Sementara Richemont yang merupakan pemilik beberapa jenama seperti Cartier dan Piaget pula berdepan kerugian sebanyak 14%.

Advertisement

Sebab ketakutan ini timbul berpunca daripada seruan Presiden Xi Jingping yang mahukan kemakmuran ekonomi untuk semua sebagai sebahagian daripada pembangunan ekonomi berkualiti tinggi. Seruan ini dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CCP) untuk Hal Ehwal Ekonomi dan Kewangan baru-baru ini.

Dalam mesyuarat sama, jawatankuasa turut menyeru gaji yang bersifat melampau dikurangkan dan memastikan kekayaan tidak tertumpu kepada golongan tertentu sahaja. Sekiranya sektor barangan mewah menjadi sasaran, maka golongan hartawan sudah tidak boleh berbelanja dengan bebas untuk barangan mewah selepas ini.

Mungkin ada menganggap idea ini sebagai terlalu keras. Tetapi menurut Naoto Saito, ketua penyelidik Institut Penyelidikan Daiwa, jika idea pengagihan kekayaan lebih adil dapat direalisasikan, ia merupakan satu berita baik kepada China. Ini kerana dengan mewujudkan kelompok kelas pertengahan yang lebih besar, ia akan menyokong ekonomi China untuk jangka masa sederhana dan panjang. Begitupun, usaha ini turut mendedahkan polisi-polisi sosialis China sebagai tumpuan utama.

Gerakan anti-rasuah yang digerakkan Jingping turut memberi kesan kepada permintaan barang mewah. Ini kerana jika usaha pengagihan kekayaan ini dapat direalisasikan, ia akan menekan kekayaan yang dimiliki golongan atasan China dan menguatkan lagi seruan kepada keadilan ekonomi dan sosial untuk warganya. Justeru, tidak diketahui sama ada pengagihan ini dibuat secara serentak atau dibuat mengikut fasa.

Selain firma-firma Barat, syarikat Jepun terutama pengeluar-pengeluar kenderaan turut merasai kesan akibat kempen ini. Toyota menyaksikan kemerosotan jualan kenderaan mewahnya di bawah jenama Lexus secara global sebanyak 6% atau 710,000 buah kenderaan pada 2020.

Pasaran China dianggap penting kerana dapat mengurangkan kemerosotan jualan di tempat lain. Di China saja, jualan Lexus meningkat sebanyak 11% atau 225,000 buah kenderaan. Ini sekaligus membantu Toyota menyerap impak kemerosotan jualan di Jepun, Amerika Utara dan Eropah.

RUJUKAN:

Takahisa, Miwa. (2021). Hermes, Gucci fear crackdown under Xi’s ‘common prosperity’ push. The Nikkei.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.