fbpx

Jepun Bangunkan Kincir Angin Yang Mampu Tukar Ribut Taufan Jadi Tenaga Eletrik

0 292

Dengan syarikat dan negara berlumba-lumba membina kapasiti tenaga hijau mereka untuk mengurangkan perlepasan karbon, mereka mempunyai alternatif. Ia sama ada ladang tenaga suria atau ladang tenaga angin sebagai sumber penjanaan tenaga elektrik. Tetapi bagaimana jika manusia dapat memanfaatkan kekuatan tenaga ribut taufan sebagai cara menjana tenaga elektrik?

Idea ini diterjemahkan dalam bentuk konsep oleh sebuah firma Jepun, Challenergy. Syarikat ini menghasilkan kincir angin yang mampu beroperasi dalam ribut taufan sekaligus berupaya menukarnya sebagai sumber baru tenaga elektrik.

Advertisement

Walaupun sumber tenaga diperbaharui semakin banyak digunakan di peringkat global, di Jepun, sumber tenaga diperbaharui utama ialah tenaga suria. Hanya dalam tempoh beberapa tahun ini, kerajaan Jepun mula mencari sumber tenaga diperbaharui alternatif seperti angin termasuk tenaga angin dari kawasan perairan.

Namun begitu, Jepun berdepan satu masalah. Negara Matahari Terbit itu berdepan purata 26 ribut taufan dan ribut tropika setahun. Dan mengikut pakar meteorologi, ribut dijangka akan menjadi semakin kerap terima kasih kepada perubahan iklim. Justeru, sebarang usaha untuk memanfaatkan tenaga angin sebagai sumber baru tenaga elektrik bakal berdepan laluan sukar.

Bagi pengasas syarikat Atsushi Shimizu, beliau melihat ribut taufan bukan lagi sebagai tanda musibah. Tetapi sebaliknya, jika sebahagian tenaganya dapat dimanfaatkan untuk penjanaan tenaga, maka ia merupakan sumber tenaga yang baik untuk negara itu.

Kebiasaannya, kincir angin konvensional mempunyai kipas berbentuk mata tajam. Dengan perubahan teknologi hari ini, saiz kipas turut dibesarkan bagi membolehkan lebih banyak angin digunakan untuk menjana elektrik. Tetapi dalam cuaca ribut, ini turut menjadikan ia sasaran mudah fenomena cuaca berkenaan.

Challenergy menghasilkan kincir angin mereka dengan membuang mata tajam dan menggantikan setiap penjuru dengan bentuk segi empat. Selain itu, ia berpusing dalam posisi mendatar dan bukan menegak seperti kincir angin biasa. Perubahan ini bukan saja menjadikan struktur kincir angin lebih tegap tetapi berupaya memanfaatkan tenaga angin dengan lebih efisien.

Pada Ogos lepas, syarikat telah memulakan demonstrasi menara 10 kilowatt di Batanes, Filipina. Challenergy merancang untuk menambah penjana tenaga suria dan bateri simpanan bagi menyediakan bekalan elektrik yang lebih stabil di kawasan berkenaan pada masa hadapan. Seperti Jepun, Filipina juga berdepan ribut setiap tahun yang memusnahkan sebilangan besar kawasan penduduk.

RUJUKAN:

Sheldrick, A. dan Maruyama, R. (2021, 30 Oktober). Japan start-up designs wind turbine that can harness typhoon energy. Reuters.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.