
Joe P Kennedy, Budak Pengilat Kasut & Saham
Kalau anda perasan, sejak dua menjak ini ramai yang mula bercakap mengenai peluang membuat duit dalam pasaran saham. Bagus memang bagus, sebab bila ramai yang masuk dalam pasaran maka pasaran akan menjadi lebih cair.
Advertisement
Ditambah pula dengan keadaan ekonomi semasa yang semakin merumitkan, dan nak jadi cerita, ada sektor pasaran tertentu tengah melakukan kenaikan yang sedap, orang awam yang terdesak untuk buat duit lebihan atau menyara tanggungan mudah termakan dengan hype dan naratif yang dibawa.
Kalau tanya saya secara peribadi yang juga saya kira masih mentah di dalam pasaran ini, saya akan kata ianya adalah ‘hype’ dan tidak boleh bertahan kerana kalau kita perhatikan perkongsian sahabat-sahabat kita yang telah melakukan keuntungan di pasaran adalah tertumpu syarikat yang sama.
Tak K*, HL* ,Tak HL* LK*. Yang duit banyak sikit TopG** , Comf** ataupun Sup**M**. Pusing-pusing situ sahaja. Bayangkan syarikat seperti LK* yang keuntungan 3 bulan (quarterly) dalam lingkungan RM300-600K mempunyai purata belian dan jualan saham mencecah RM150-195 juta sehari, ya sehari!
Kalau tanya saya dengan keuntungan RM300-600K dan margin keuntungan sekadar 4.1%, mungkin peniaga online di Shopee boleh buat keuntungan yang lebih dari itu. Jadi logiknya transaksi pelaburan ini adalah di mana?
Dan lebih membimbangkan adalah apabila yang mengalakkan pembelian saham seperti ini datangnya dari golongan baru dalam pasaran saham, dari pelabur hartanah, ke pak ustaz, dan terbaru tok guru marketing jual tudung tersohor pun cerita saham tersebut dan sewaktu dengannya.
Maka apabila ini berlaku, ianya mengingatkan kembali sebuah kisah ‘urban legend’ di Wall Street di antara budak pengilat kasut (shoeshine boy) dengan bapak presiden Kennedy, Joseph Kennedy Sr., Joe yang merupakan seorang pakar saham dan pasaran komoditi di zamannya.
