fbpx

KDNK AS Berkurangan AS$8 Trilion Untuk Sedekad Akan Datang

0 433

Pejabat Belanjawan Kongres (CBO) memberi amaran impak ekonomi pandemik Covid-19 terhadap Amerika Syarikat boleh mencecah sehingga AS$8 trilion untuk tempoh sedekad yang seterusnya.

 

Dalam satu surat yang dihantar kepada penggubal undang-undang AS, pertumbuhan ekonomi AS akan berkurangan sebanyak AS$7.9 trilion dari 2020 hingga 2030 daripada apa yang diramalkan CBO pada Januari. Hal ini bersamaan dengan pengurangan sebanyak 3% kepada KDNK AS berbanding jangkaan asal.

 

Advertisement

Pendedahan ini dibuat selepas seminggu sebelumnya, Rumah Putih mengumumkan tidak akan mendedahkan jangkaan pertumbuhan ekonomi AS dalam semakan belanjawan pertengahan penggal tahunan mereka musim panas ini.

CBO turut mendedahkan pandemik Covid-19 turut memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi AS termasuk menjejaskan sentimen perbelanjaan pengguna dan memaksa banyak perniagaan ditutup.

 

Sebahagian daripada impak ini diserap menerusi pakej rangsangan ekonomi kerajaan persekutuan sebanyak AS$2 trilion untuk perbelanjaan kecemasan isi rumah dan perniagaan.

 

Philip L. Swagel, seorang pengarah CBO dan bekas pakar ekonomi American Enterprise Institute berkata, “Penutupan perniagaan dan pendekatan penjarakan sosial dijangka menjejaskan perbelanjaan pengguna, sementara kejatuhan harga tenaga dijangka membawa kepada pengurangan drastik pelaburan AS dalam sektor tenaga.

 

Impak pandemik yang terhadap ekonomi global termasuk ekonomi AS amat pantas. Kadar pengangguran meningkat dari 3.5% (Februari) kepada 14.7% (April), kutipan cukai merosot, perbelanjaan melonjak secara drastik dan ekonomi mengecut selepas mencatat pertumbuhan positif selama bertahun-tahun.

 

Ketua pakar ekonomi Upwork Adam Ozimek menambah, “Pertumbuhan perlahan bermakna kadar penggangguran lebih tinggi, gaji lebih rendah dan bilangan individu meraih pendapatan juga berkurangan. Perkara sebegitulah apa yang kita akan lihat untuk tempoh dekad seterusnya.”

 

Dalam surat sama, CBO mendedahkan walaupun KDNK sebenar AS dijangka jatuh sebanyak AS$8 trilion, nilai nominal KDNK AS juga dijangka jatuh sebanyak AS$16 trilion untuk 10 tahun akan datang. Bagaimanapun, penganalisis ekonomi tidak melihat nilai tersebut kerana ia tidak mengambil kira impak inflasi.

 

Laporan CBO ini diminta oleh Ketua Minoriti Senat Chuck Schumer dan Senator Bernie Sanders, kedua-duanya daripada Demokrat. Schumer dan Sanders juga merupakan anggota Jawatankuasa Belanjawan Senat. CBO sebelum ini telah melepaskan laporan ramalan pertumbuhan ekonomi untuk tahun 2020 dan 2021.

 

Ketika ini, penggubal undang-undang AS sedang berdebat sama ada hendak memperbaharui pakej-pakej bantuan ekonomi AS yang dijangka berakhir tidak lama lagi termasuk faedah pengangguran yang dijangka tamat pada Julai.

 

Namun bagi Schumer, faktanya mudah saja. Dalam satu kenyataan beliau berkata, “Bagi mengelak risiko The Great Depression seterusnya, Senat harus bertindak segera bagi memastikan semua orang di AS mempunyai pendapatan diperlukan bagi menyara keluarga mereka dan ada tempat berlindung.

 

“Warga AS tidak mampu menanti lama menunggu Senat meluluskan usul yang dibawa. Mereka memerlukan bantuan kita sekarang.”

Source Stein, J. (2020). Coronavirus fallout will haunt U.S. economy for years, costing it $8 trillion through 2030, CBO says. The Washington Post.
You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.