fbpx

Kemiskinan Haid Yang Masih Membarah

0 318

Semua negara mesti berdepan dengan isu kemiskinan dalam kalangan rakyat. Tetapi bukan semua negara benar-benar cakna tentang kemiskinan bandar.

Bagi sesetengah, sesiapa yang duduk di kawasan bandar serba serbi berkemampuan. Malah golongan yang ada rumah sendiri pun dianggap sudah mampu. Walhal dari segi sosioekonomi, golongan miskin sangat ramai di kawasan bandar.

Advertisement

Mungkin kerana salah faham inilah orang boleh tutup sebelah mata bab kemiskinan haid. Pertama sekali, topik sebegini sukar mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ramai enggan berjuang menentang kemiskinan haid kerana anggap isu ini sangat sensitif dan aib. Sebenarnya, ia memang sensitif dan mengaibkan… bagi orang yang betul-betul menghadapinya.

Empat hari yang menakutkan wanita dalam kesusahan.

Bagi yang tidak tahu, kemiskinan haid adalah definisi untuk wanita yang tidak mampu membeli produk kebersihan wanita seperti tuala haid misalnya (Geng, 2021). Bayangkan seorang wanita datang bulan dan tiada wang.

Dari segi statistik, seramai 500 juta wanita di luar negara sedang mengalami masalah ini. Dalam Malaysia pula? Tiada statistik. Ini masalahnya, sampai ramai aktivis turun padang memperjuang hak asasi wanita ini.

Kalau cakap pasal “hak asasi”, janganlah terus pukul rata hak untuk buang baju bagai. Hak asasi ialah hak asas yang perlu dijamin pada setiap manusia. Tanpa statistik rasmi, isu ini tidak diperjuangkan dengan betul.

Orang ramai takkan mengambil cakna tentangnya, padahal saudara seagama sendiri sedang sengsara dan semua pakat tutup mata kononnya jaga aib.

Menurut seorang pakar sosiologi bernama Dr Syarifah Fatimah al-Attas, wanita dalam keluarga miskin sanggup guna apa sahaja sebagai pengganti tuala… seperti surat khabar lama (Iskandar, 2021).

Kalau orang tidak cukup makan, masakan tuala wanita akan dibelinya.

Dan majoriti keluarga miskin ini menetap di kawasan bandar. Anak-anak perempuan dalam keluarga dihimpit sebegini selalu ponteng sekolah kerana takut malu jika terbocor (Palansamy, 2019).

Membiasakan Apa Yang Normal

Zaman yang mana wanita perlu mengenakan sabut kelapa, daun pisang atau kain lampin sudah lama habis. Pentadbiran Malaysia perlu mencelik mata tentang kemiskinan haid untuk mencegah kejadian seperti jangkitan saluran kencing misalnya.

Rakyat pun harus gigih berganding bahu supaya isu ini dibawa ke tengah. Status negara membangun sudah cukup untuk memastikan kemiskinan haid dibendung secara habis-habisan. Setakat derma tuala wanita saja tidak cukup – kena ada pendidikan sosial supaya isu ini tidak lagi diketepikan sebagai aib.

Dan isu ini tidak perlu dibincang menggunakan contoh jelas pun (seperti dedahkan wajah wanita yang mengalami masalah ini).

Cukup setakat naikkan gelombang dan gerakkan jentera tertentu. Ambil contoh Scotland, yang selamba sediakan tuala wanita secara percuma melalui sekolah dan universiti khas untuk golongan tidak mampu.

Malaysia sudah ada infrastruktur lengkap. Bilangan ustazah dalam kalangan tenaga pengajar pun sangat ramai.

Tentu sekali pelajar wanita berasa selesa untuk berbincang dengan seorang ustazah yang sangat arif bab sensitiviti. Kalau pelajar berasa segan, zaman teknologi digital boleh menghubungkan ibu pelajar dengan ustazah bertugas.

Apa-apa usaha yang boleh menyelesaikan masalah ini wajar dilaksanakan. Malaysia kalau bercita-cita tinggi memang boleh buat punya. Cuba tengok balik macam mana Malaysia mengagihkan vaksin begitu pantas.

Kalau bab vaksin boleh berjaya, mesti tuala wanita yang bersepah di kedai boleh berjaya juga. Semua berbalik kepada niat: sama ada mahu, atau tidak mahu.

Bagi sesetengah, kesuburan membawa berkat. Dan mungkin tanggungjawab umat untuk memastikan semua menikmati keberkatan ini.

RUJUKAN:

Geng, C. (2021, September 16). What to know about period poverty. Medical News Today.

Iskandar, I. (2021, Mei 16). Period poverty adds to challenges facing women in urban areas. New Straits Times.

Palansamy, Y. (2019, November 24). In Kelantan, one woman embarks on a journey to address period poverty. Malay Mail

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.