fbpx

Kenaikan Harga Minyak Jejaskan Pemulihan Ekonomi Jepun

0 170

Menjelang akhir tahun, seperti biasa di sesetengah negara, musim sejuk mula melanda. Tetapi tahun ini dianggap mencabar berikutan kenaikan harga tenaga di seluruh dunia. Kenaikan harga komoditi ini mula memberi kesan kepada pengguna dan komuniti perniagaan terutama di Jepun.

Bagi pengusaha rumah mandian Atsushi Tsukui, beliau merupakan sebahagian daripada ratusan pemilik rumah mandian yang terkesan akibat kenaikan harga tenaga. Dia dan isterinya mengambil alih urusan perniagaan sento (nama lain untuk rumah mandi awam Jepun) di Gunma pada Julai lepas. Air mandian dipanaskan oleh minyak kerosin tetapi sejak bahan tersebut meningkat harganya di pasaran, sesetengah pengusaha seperti Tsukui mula beralih kepada kayu api.

Advertisement

Pada mata kasar, inflasi di Jepun tidaklah seteruk mana mengikut standard global. Tetapi ia masih tidak menafikan hakikat kenaikan harga komoditi dan barang di pasaran termasuk tenaga. Harga gasolin telah meningkat ke paras lebih tinggi dalam tempoh tujuh tahun. Dan Tokyo menjangkakan mereka akan berdepan kesukaran dari segi bekalan tenaga dalam tempoh sedekad untuk musim sejuk tahun ini.

Manakala harga untuk menjana tenaga elektrik dijangka meningkat – satu situasi yang diburukkan dengan fenomena La Nina di Asia Utara. Sementara industri-industri yang banyak menggunakan bahan api seperti pengangkutan dan pembuatan besi juga dijangka terjejas. Dengan pertumbuhan gaji masih tidak berubah dan harga barang semakin meningkat, ia bakal menjejaskan keupayaan perbelanjaan pengguna.

Satu hakikat yang tidak dinafikan ialah pemulihan ekonomi Jepun pasca-pandemik masih lagi perlahan. Ini menjadikan negara itu mudah terdedah kepada risiko seperti kenaikan harga minyak yang tinggi. Selain itu, menurut ketua pakar ekonomi IHS Markit Harumi Taguchi, pergantungan Jepun terhadap import minyak lebih tinggi daripada negara-negara lain.

Perdana Menteri Fumio Kishida sedar situasi ini memerlukan campur tangan segera bagi meredakan beban yang dihadapi warga negara Matahari Terbit itu. Pada 19 November lepas, beliau mengumumkan beberapa inisiatif seperti sokongan kepada industri perkapalan dan perikanan dan memberi subsidi kepada kilang-kilang penapisan minyak. Tokyo turut memperluaskan bantuan pinjaman kepada syarikat kecil dan sederhana (IKS) yang memerlukan bantuan kewangan segera.

Sedar kenaikan harga minyak perlu dikawal segera, Kishida bersedia melepaskan rizab strategik minyaknya ke pasaran dengan kerjasama negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan China. Pentadbiran Presiden Joe Biden sebelum ini berharap dapat melobi negara-negara lain seperti Jepun dan Korea Selatan untuk melepaskan rizab strategik mereka bagi menstabilkan semula harga minyak.

Situasi ini hampir serupa dengan apa yang berlaku pada 2008. Pada tahun tersebut, harga minyak naik mendadak sehingga memberi kesan kepada sentimen perbelanjaan orang ramai. Akibatnya, Jepun merupakan negara terawal yang dilanda kemelesetan ekonomi sebelum krisis kemelesetan ekonomi dunia pada 2008 dan 2009.

Bagi Tsukui, walaupun bantuan yang diumumkan Kishida sememangnya sesuatu yang melegakan, itu bukan bermakna masalahnya sudah berakhir. Ini kerana kerja memotong kayu dan memantau api yang memanaskan ruang-ruang mandian memerlukan tenaga kerja yang lebih. Jika Tsukui mahu menaikkan harga, itu tidak boleh dilakukan kerana harga kemasukan sento ditentukan oleh kerajaan di peringkat wilayah.

Justeru, ini meletakkan dirinya dalam dilema. Kenaikan kos lambat laun akan memberi kesan kepada aktiviti perniagaan sento. Tetapi pada masa sama, ramai pelanggan tidak sabar menghabiskan masa di situ sepanjang musim sejuk ini. Apa yang boleh diharap ialah krisis ini dapat berakhir dengan segera.

RUJUKAN

Oda, S et al. (2021, 21 November). From bathhouses to fisheries, hidden inflation is creeping across Japan. Bloomberg.

Sumber gambar: Hiroko Masuike/The New York Times

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.