
Kenapa Ada Syarikat Suka Buka Kedai Sebelah Pesaing?
Kekadang apabila mendengar ataupun membaca kisah seram, pasti ada satu dua cerita tentang pemilik kedai A menyihir pemilik kedai B sehingga ada memakan nyawa. Boleh dikatakan membuka kedai dekat dengan pesaing adalah sesuatu yang tabo dalam masyarakat kita. Katanya mereka bimbang pelanggan akan dirompak oleh pesaing sebagaimana yang dipaparkan dalam filem Lagi-Lagi Senario melalui simbolisme Warung Azlee vs Kafe Mazlan.
Tapi masalahnya di Bukit Jelutong, Burger King dan Secret Recipe boleh pula buka kedai berhampiran dengan KFC. Mereka tak takut kena sihir dengan KFC ke?
Advertisement
Dekat Pasir Gudang, Shell elok sahaja buka stesen minyak sebelah Petronas. Shell tak takut kena santau dengan Petronas sampai tutup kedai ke?
Sebenarnya dalam ekonomi, hal seumpama ini dinamakan sebagai hotelling model location. Secara asasnya hotelling model location berfungsi apabila kedua-dua kedai berada pada tempat dan miliki pelanggan yang sama. Macam mana tu?
Sebagai contoh, anda nak buka kedai nasi ambeng untuk pelajar universiti di Tanjung Malim pada tahun 2013. Bermakna anda perlu cari kawasan yang strategik iaitu betul-betul berhadapan dengan pintu pagar utama UPSI. Tiba-tiba minggu depan pula berhampiran kawasan yang sama terdapat kedai nasi kak wok baru dibuka. Tak boleh jadi ni pasti akan mengganggu bisnes anda. Jadi apa yang perlu anda buat, santau sampai tutup kedai ke?
Jawapannya kawasan perniagaan perlu dibahagi dua iaitu anda di sebelah kanan dan kedai nasi kak wok di sebelah kiri. Senang cerita pelanggan yang ke kanan menuju kedai anda dan kiri akan pergi kedai kak wok. Minggu demi minggu, anda lihat kedai nasi kak wok semakin rapat dengan kedai andai lantas membuatkan ramai pelanggan beralih kepadanya. Ditambah pula dengan kekalahan 6-1 JDT kepada Kelantan, anda terus rapatkan kedai ke kawasan kedai nasi kak wok.
Pertelingkahan ini semakin menjadi-jadi apabila kedua-dua kedai berebut untuk memastikan mereka mendapat kawasan strategik. Akhirnya, anda dan kedai nasi kak wok bersetuju untuk membuka kedai betul-betul rapat sebelah-menyebelah bagi mencari keadilan. Jadi selepas itu kedai anda dan kedai nasi kak wok miliki jumlah pelanggan dan keuntungan yang sama. Jika salah satu kedai cuba untuk alihkan lokasi kedai, nescaya keuntungan akan berkurangan.
Walau bagaimanapun, terdapat juga kekurangan disebalik hotelling model location iaitu harga. Kita ambil lagi contoh di atas. Katakanlah anda menjual nasi ambeng berharga RM8 manakala pesaing anda jual nasi kak wok hanya RM5 sahaja. Hal ini akan membuatkan ramai pelanggan berpotensi membeli nasi kak wok. Jadi mahu tak mahu anda perlu turunkan harga sehingga RM5 untuk dapatkan pelanggan.
Perkara ini juga terpakai jika anda mahu jual makanan dengan harga lebih rendah daripada pesaing. Sebagai contoh, anda menjual sebatang steamboat dengan harga 50 sen sementara peniaga lain jual harga RM1. Tindakan anda pasti akan menerbitkan rasa kurang senang daripada kumpulan peniaga lain kerana dapat berpotensi mencuri pelanggan mereka. Jadi mahu tak mahu anda perlu naikkan harga sehingga RM1.
Kita kembali semula kepada Burger King dan Secret Recipe buka berdekatan KFC di Bukit Jelutong. Boleh dikatakan tempat KFC beroperasi di Bukit Jelutong merupakan kawasan ekonomi bermakna KFC sudah mengenal pasti pelanggan sasaran mereka. Burger King dan Secret Recipe pula ambil jalan mudah kerana mereka tahu keberadaan KFC di sesebuah tempat menandakan terdapat permintaan tinggi di sana. Ditambah pula KFC merupakan restoran makanan segera nombor 1 di Malaysia.
Jadi selepas ini jangan rasa pelik jika terlihat kedai dibuka berdekatan pesaing mereka. Hal ini kerana mereka tahu pelanggan ada di kawasan tersebut. Sekarang ini apa yang mereka perlu buat adalah berikan tawaran lebih bagus daripada pesaing mereka kepada pelanggan.
Kesimpulannya kalau anda masih lagi gagal walaupun sudah buka kedai berdekatan pesaing, bermakna strategi perniagaan anda bermasalah.
RUJUKAN:
Riyanto, Y. (2008). Product differentiation. Industrial Organization 1. Dipetik daripada https://cpb-us-e1.wpmucdn.com/blogs.ntu.edu.sg/dist/5/615/files/2013/12/Lecture-6-EC3322-Sem-I-2008-2009.pdf