fbpx

Kenapa Ahli Astronomi Geram Dengan Elon Musk?

0 8,078

Rutin bagi pengkaji astronomi untuk melihat langit malam agar dapat mencerap bintang-bintang di angkasa lepas. Namun begitu, usaha mereka mula digugat dengan kemunculan satelit-satelit terutama satelit telekomunikasi dan pemanduan arah. Kini, dengan firma-firma seperti Starlink berlumba-lumba melancarkan satelit ke angkasa lepas, ia akan menyukarkan usaha mereka mencerap imej-imej bintang di luar sana.

Selepas penciptaan satelit, ia membuka banyak kemajuan dalam pelbagai bidang termasuk elektronik dan telekomunikasi. Bagi firma-firma seperti Starlink dan OneWeb, mereka berharap satelit dapat menjamin kelangsungan internet tanpa sebarang gangguan dan lebih banyak akses internet terutama di kawasan pedalaman.

Advertisement

Bagi mencapai tujuan tersebut, firma-firma ini sudah berlumba-lumba melancarkan satelit mereka ke angkasa lepas. Pada awal 2020, Starlink menerusi firma SpaceX telah melancarkan 240 buah satelit ke angkasa dan kini mempunyai 1,300 buah satelit. SpaceX juga dijangka akan melancarkan 12,000 satelit dan berhasrat melancarkan sekurang-kurangnya 30,000 buah satelit sehari.

Angka sebegini sememangnya menggerunkan pengkaji astronomi yang melihat ini sebagai an.ca.man kepada usaha pencerapan astronomi. Atas sebab itu, Kesatuan Pengkaji Astronomi Antarabangsa (IAU) memfailkan satu laporan kepada Jawatankuasa Penggunaan Angkasa Lepas untuk Keamanan PBB (COPOUS) berkenaan hal ini. Laporan tersebut menerangkan impak kewujudan satelit terhadap aktiviti astronomi dan langkah-langkah mengurangkan kesan satelit terhadap aktiviti pencerapan.

Para saintis mempunyai sebab yang baik untuk meminta aktiviti pelancaran satelit dikaji semula. Berikut faktor-faktor yang dinyatakan:

  • Menghalang pandangan teleskop

Apabila bilangan satelit bertambah di angkasa lepas, kedudukannya yang rapat dan bahannya yang boleh memantulkan cahaya menyebabkan ia boleh dilihat dengan mata kasar. Walaupun ia kemudiannya akan menjadi malap, ia masih boleh dikesan oleh teleskop berkuasa tinggi lebih-lebih lagi bila ia melintasi garis pandangannya. Dan ini sudah pasti menyukarkan pengkaji astronomi mendapatkan imej cakerawala yang tepat.

Selain itu, ia turut memburukkan lagi pencemaran cahaya membabitkan objek manusia di angkasa lepas. Sebelum pelancaran satelit Starlink oleh SpaceX, semua objek buatan manusia menambah kecerahan pada latar belakang malam sebanyak 10% berbanding sebelum era pra-penjelajahan angkasa lepas. Ahli astronomi John Barentine percaya nilai tersebut sebagai minimum dan dijangka bertambah susulan perlancaran lebih banyak satelit ke angkasa lepas.

Disebabkan lambakan satelit ini, ia menyukarkan pelbagai aktiviti astronomi termasuk mengesan pergerakan asteroid yang berpotensi jatuh ke bumi dan menjejaskan keupayaan kemudahan sains tertentu. Salah satu daripadanya ialah Balai Cerap Vera Rubin yang sedang dalam pembinaan di Chile.

Apabila ia siap, ia berupaya mencerap satu bahagian angkasa 40 kali ganda saiz bulan penuh dan mengesan objek cakerawala 10 juta lebih malap berbanding apa yang dilihat oleh mata kasar. Tetapi pencerapan di balai cerap ini dijangka akan terganggu dengan lebih banyak satelit merentasi garis pandangan semasa ia digunakan.

  • Tiada undang-undang angkasa lepas yang tegas

Tidak seperti Perjanjian Angkasa Lepas 1967, cadangan yang dibawa IAU kepada COPOUS akan dibentangkan terlebih dahulu di peringkat sub-jawatankuasa. Sekiranya diluluskan di peringkat berkenaan, ia akan dibawa kepada mesyuarat COPOUS yang akan berlangsung pada Ogos ini bagi menentukan sama ada cadangan dikemukakan diserahkan kepada negara-negara anggota atau tidak.

Proses sebegini sememangnya tidak menyakinkan ahli-ahli astronomi kerana ia bukan kod perundangan antarabangsa sekaligus menyebabkan ia dipandang sepi oleh negara-negara anggota PBB. Tambah Barentine lagi, syarikat-syarikat ini langsung tidak mendengar pandangan pakar-pakar astronomi dan enggan mematuhi akta perlindungan alam sekitar sesebuah negara.

Sebabnya mudah, satelit dikecualikan daripada analisis impak alam sekitar seperti yang berlaku di AS menerusi Akta Polisi Alam Sekitar Kebangsaan (NEPA). Dan sesetengah syarikat lebih suka mengira keuntungan masing-masing daripada memilih menangguhkan perlancaran dan melaksanakan solusi yang bersifat menang-menang kepada semua pihak.

Atas sebab itulah, IAU memilih membawa cadangan mereka kepada PBB untuk penilaian daripada membawanya ke negara-negara tertentu. Ini kerana lebih baik bagi mereka mendapatkan konsensus semua pihak bagi memastikan isu ini tidak berlarutan.

  • Lambakan sampah angkasa lepas

Suka atau tidak, apabila satelit-satelit ini tidak lagi beroperasi, ia akan terus berada di orbit. Ia hanya akan jatuh ke bumi apabila graviti menariknya turun. Ini menghasilkan serpihan atau sampah angkasa lepas yang berpotensi mengancam mana-mana objek buatan manusia di angkasa lepas. Ini termasuk kapal angkasa, stesen-stesen angkasa lepas atau satelit itu sendiri. Baru-baru ini, wujud satu kes di mana satelit Starlink hampir bertembung dengan satelit OneWeb.

Selain sebagai sampah, ia turut mengganggu proses pencerapan menerusi imej puluhan ribu mikrosatelit ditangkap pada lensa teleskop. Mikrosatelit ini mengganggu banyak tradisi yang menggunakan bintang sebagai panduan selama ribuan tahun sekaligus memperlihatkan kapitalisme sebagai an.ca.man kepada nilai saintifik dan kebudayaan manusiawi itu sendiri.

Atas sebab itulah, ramai saintis menggesa langit malam dipandang bukan lagi seperti Wild West tetapi sebagai warisan manusiawi di peringkat global. Tetapi ia dipandang sepi kerana apalah sangat nilai-nilai yang dinyatakan jika dibandingkan kemajuan yang dibawa. Tetapi nilai-nilai itulah yang membentuk manusiawi dan ia kini terhakis angkara haloba tak bertepi.

RUJUKAN:

Resnick, Brian. (2021). Astronomers are very frustrated with Elon Musk’s satellites. Vox.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.