fbpx

Kenapa Black Widow Saman Disney?

0 524

Ketika ini, filem-filem Hollywood berstatus blokbuster sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh dunia. Sesetengah filem merupakan filem yang ditangguhkan tayangannya pada tahun lepas akibat situasi pandemik Covid-19. Sesetengah filem seperti Godzilla vs Kong dan F9 menunjukkan prestasi baik di pawagam.

Tetapi studio yang memilih menayangkan filem serentak di pawagam dan platform penyiaran digital berdepan hakikat pahit: strategi ini memberi kesan kepada kutipan pecah panggung filem mereka. Salah satu filem yang terkesan dengan strategi ini ialah filem terbaru Marvel Studios, Black Widow. Akibatnya, pemegang watak Black Widow Scarlett Johansson memfailkan saman terhadap Disney di Mahkamah Agung Los Angeles beberapa hari lepas.

Advertisement

Dalam saman yang dikemukakan, pasukan peguam beliau mendakwa strategi Disney yang tetap menayangkan secara serentak Black Widow di kedua-dua platform memberi kesan kepada pendapatan yang diterimanya. Ini kerana mengikut kontrak asal, sebahagian besar gaji yang diterima Johansson sebenarnya bergantung kepada prestasi filem di pawagam. Apabila strategi ini diumumkan, Disney gagal merundingkan pindaan terma kontrak dengan beliau.

Rajah 1: Black Widow dikatakan gagal di pawagam kerana strategi Disney menyiarkannya secara serentak di platform digital dan pawagam.

Disney dalam satu kenyataan balas memberitahu mereka merasa sedih dengan tindakan pelakon Ghost in the Shell itu. Mereka menegaskan dengan menyiarkan Black Widow menerusi platform penyiaran Disney+, mereka dapat menambah wang yang diterimanya kepada AS$20 juta.

Begitupun, kenyataan balas syarikat induk Marvel Studios itu mengundang kemarahan ejen Johansson, Bryan Lourd. Lourd menyifatkan Disney sebagai lupa diri dan terlalu fokus memperguna bakat beliau untuk meraih keuntungan besar di pawagam. Difahamkan orang kuat Marvel Studios sendiri, Kevin Feige turut naik angin dengan kenyataan eksekutif-eksekutif Disney yang disifatkan sebagai kurang ajar.

Kebiasaannya sebelum era pandemik, peminat-peminat filem akan menonton filem diminati di pawagam atau menunggu sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum ia disiarkan di platform penyiaran digital. Tetapi dalam era pandemik, studio-studio perfileman bereksperimen dengan tarikh tayangan di pawagam dan platform digital sebagai cara menebus semula keuntungan dalam era ini. Dan pemain-pemain industri pawagam terpaksa mengakui bukan mudah untuk memujuk penonton kembali ke panggung walaupun dengan perlaksanaan SOP yang ketat.

Bagaimanapun, eksperimen ini kurang disenangi oleh ramai figura Hollywood terkenal seperti pengarah filem tersohor Christopher Nolan. Nolan pada tahun lepas mengkritik tindakan Warner Bros Pictures untuk menyiarkan semua filem terbitan mereka di HBO Max selepas pandemik Covid-19 tercetus. Pengarah filem trilogi The Dark Knight itu menyifatkan keputusan mereka sebagai tidak masuk akal dan tidak menguntungkan seniman sepertinya.

Justeru, tidak hairanlah apabile filem terbarunya Tenet diberi pilihan sama ada ditayangkan di HBO Max atau pawagam, Nolan bertegas mahukan ia ditayang di pawagam seperti biasa pada 2020. Walaupun mengutip kutipan AS$363.7 juta sekaligus menjadikan ia filem kelima terlaris 2020, Warner Bros terpaksa menanggung kerugian sebanyak AS$50 juta.

Rajah 2: Filem Tenet rugi sebanyak AS$50 juta selepas ditayangkan di pawagam pada 2020. Kegagalan ini memaksa Warner Bros mengumumkan langkah penyiaran serentak di pawagam dan HBO Max tidak lama selepas itu.

Ini dapat menjelaskan mengapa studio itu membuat keputusan menayangkan filem-filem tayangan 2021 terbitan mereka di platform premium HBO Max dan pawagam serentak selama sebulan. Keputusan ini mengundang rasa marah sesetengah pembikin filem seperti Dennis Villeneuve (Dune) dan Patty Jenkins (WonderWoman 1984) yang melihat Warner Bros tidak kisah impak strategi terhadap kutipan filem mereka.

Dalam kes WonderWoman 1984, difahamkan pihak studio membayar Jenkins dan bintang utama Gal Gadot AS$10 juta sebagai bayaran tambahan agar mereka bersetuju dengan strategi ini. Ramai percaya strategi sama turut digunakan bagi menenangkan pembikin filem yang terkesan daripada strategi Warner Bros ini.

Tetapi mengapa kes saman Johansson berbeza? Bezanya ialah Disney hanya mula merundingkan semula kontrak untuk semua filem 2021 pada tahun ini. Sebelum ditayangkan, Johansson sebenarnya sudah mendesak agar ia ditangguhkan agar mendapat ruang tayangan selama 45 hari seperti mana filem Shang Chi and the Legend of the Ten Rings dan Eternals.

Bagaimanapun, Disney enggan beralah dan tetap meneruskan strategi yang dinyatakan di atas. Akibatnya, Black Widow merudum dengan ramai pemain industri pawagam Amerika Syarikat naik minyak dengan strategi Disney. Malah, ia dilihat menambah lagi ketegangan antara Feige dan CEO baru Disney, Bob Chapek walaupun rakan lamanya, Bob Iger masih kekal sebagai pengerusi eksekutif syarikat sehingga akhir tahun ini.

Saman ini menimbulkan persoalan sama ada strategi ini berkesan atau tidak. Dalam kes Disney, ia bukan sekadar menguntungkan para pelabur tetapi masih dilihat cara terbaik tayangan filem diteruskan di sebalik pandemik Covid-19. Walaupun aktiviti vaksinasi sedang giat dijalankan, tidak bermakna kehidupan pra-pandemik akan kembali pada tahun hadapan termasuk menonton wayang. Justeru, alternatif terbaik ialah platform digital yang menjamin sedikit keuntungan kepada studio yang terlibat.

Tetapi bagi para seniman Hollywood, mereka mahukan jika berlakunya peralihan ke medium digital sekalipun, biarlah bayaran atau kontrak yang dijanjikan berbaloi. Jika perlu, rundingkan sekali lagi kontrak antara mereka agar ia bersifat menang-menang kepada kedua-dua pihak.

Isu saman Johansson boleh diselesaikan di luar mahkamah apatah lagi kontraknya dengan Marvel sudah berakhir selepas Black Widow. Bagaimanapun, Disney patut mempertimbang merundingkan semula kontrak bintang-bintang Marvel lain seperti Benedict Cumberbatch (Dr Stephen Strange), Tom Hiddleston (Loki), Tom Holland (Spiderman) dan Elizabeth Olsen (Scarlet Witch/Wanda Maximoff) untuk mengelak perkara sama berulang.

Disney mungkin merasakan pertelagahan sebegini memihak mereka lagi-lagi dengan Johansson sudah tamat kontrak. Bagaimanapun, khidmat Feige terlalu berharga untuk dilepaskan berikutan jasanya yang mengubah Marvel Studios sebagai antara studio filem paling menguntungkan di Hollywood. Chapek harus mengubah cara pengurusannya sebagai CEO atau berdepan prospek kehilangan Feige. Dan ia sudah pasti akan mengundang kemarahan para pelabur dan pengurusan teratas Disney termasuk Iger yang mempunyai hubungan baik dengan beliau.

Yang pasti, jika ditanya sama ada strategi ini akan kekal atau tidak, editor portal Screen Daily Matt Mueller merasakan ia akan kekal buat masa ini. Ini kerana studio seperti Disney dan Warner Bros akan memastikan keuntungan mereka terus terpelihara dengan penyiaran di platform digital.

Strategi ini juga sudah pasti akan mengejutkan seniman-seniman Hollywood termasuk pelakon-pelakon bertaraf penerbit agar berfikir semula tentang kontrak filem yang dimeterai. Selama ini kebanyakan kontrak menyentuh tentang peratusan yang diterima sekiranya filem berjaya di pawagam. Tetapi dengan era pandemik yang masih belum reda, satu solusi menang-menang perlu dicari agar studio dan seniman Hollywood terus menghasilkan karya-karya berkualiti kepada penonton.

RUJUKAN:

Chitwood, Adam. (2020). Here Are All the 2021 Warner Bros. Movies That Will Be Released on HBO Max. Collider.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.