fbpx

Kenapa Ekonomi Jepun Jatuh Menjunam?

0 690

Kalau dulu tanpa henti nama Jepun akan dipetik dalam Malaysia. Segala propaganda untuk mengalihkan pandangan ke negara Jepun menjadi sebutan. Tiada contoh lebih baik melainkan Jepun.

Namun sekarang, realiti telah berubah. Jepun mengalami segala masalah, yang menyebabkan negara tersebut ketinggalan dalam banyak aspek. Sebelum menganalisis punca kejatuhan Jepun, wajar juga tengok dulu kenapa Jepun berjaya.

Advertisement

Pertama sekali, Jepun tidak pernah gagal. Jepun mula menghampiri kemuncak bermula tahun 1868. Itulah tahun apabila Maharaja Meiji merangsangkan sosiobudaya negara dengan sebuah program pembaharuan.

Jepun pernah diayamkan dalam gelanggang sendiri. Pada tahun 1853, Matthew C. Perry mengunjungi Jepun dengan banyak kapal perang gagah perkasa yang mampu melumpuhkan pesisiran pantai Jepun daripada Hokkaido hingga Kyushu (Hunt, et al., 2009).

Meiji pada ketika itu tidak tahu apa-apa kerana baru setahun, membesar bersama ahli-ahli politik hebat yang menelan kepahitan bahawa Jepun tiada nilai dalam dunia. Semua kenal Meiji kerana baginda adalah maharaja.

Namun Meiji diapit orang-orang hebat seperti Shimazu Nariakira, Ito Hirobumi dan Matsukata Masayoshi. Semua memainkan peranan untuk menerajui empayar hingga berjaya muncul sebagai kuasa rantau sampai China sendiri menggigil.

Ini bermakna Jepun sudah mencapai tahap kerelevanan walaupun dibedil dua bom atom. Jatuhnya bom tersebut tidak menghentikan denyutan jantung Jepun. Ia sekadar membakar kulit dan merosakkan hati.

Pemulihan pasca-perang sekadar merawat apa yang sakit untuk kembali, kali ini sebagai kuasa ekonomi. Dan Jepun berjaya pulih dengan cepat kerana berada dalam kesatuan yang sama. Andainya Jerman tidak dirobek sedemikian rupa, nescaya Konrad Adenauer boleh buat macam-macam.

Walau bagaimanapun, Jepun sekarang berdepan dengan banyak kesukaran dalam melangsungkan ekonomi negara. Yoshihide Suga mengambil alih tampuk kerajaan, pada ketika Jepun sedang menghadapi masalah hutang yang besar. Hutang adalah perkara yang sangat baik untuk pembangunan.

Yoshihide Suga.

Cuma hutang negara terlalu tinggi boleh mengehadkan perbelanjaan kerajaan, yang mengeruhkan kadar inflasi dalam negara (Nelson & Buol, 2004). Kadar inflasi pula menaikkan harga barangan, sekali gus melemahkan kuasa belian terutamanya dari segi pencen dan simpanan (Amadeo, 2020).

Contohnya, seorang lelaki menyimpan AS$1,500 dalam bank sebagai simpanan. Kemudian dia membuka akaun baru untuk masuk kerja.

Kesibukan harian menyebabkan dia lupa tentang wang AS$1,500. 10 tahun kemudian, baru dia teringat balik – dan setelah menyemak, wang tersebut masih ada… yakni AS$1,500 kekal (mungkin tolak yuran bank).

Sekalipun akaunnya tidak lagi aktif. Namun kuasa beli pada waktu itu sudah berubah. Dan wang AS$1,500 sudah susut nilai. Melainkan jika dia menyimpan AS$1,500 dalam nilai emas. 10 tahun kemudian, amaun simpanannya bernilai dalam AS$1,800.

Itulah contoh inflasi. Kalau dalam topik simpanan, memang ada alternatif seperti emas. Tetapi fungsi negara lain. Tiada istilah lupa 10 tahun. Jepun tidak dapat mengurangkan perbelanjaan. Itu masalahnya.

Dari dulu lagi, Jepun sedang menghadapi masalah imbangan populasi. Golongan muda tidak cukup untuk menggantikan golongan tua (Sieg, 2020). Mungkin ada yang fikir: apa masalahnya? Banyak sebenarnya.

Jepun mengamalkan sistem kesihatan universal yang percuma untuk semua warganegara dan pendatang asing dengan izin.

Apabila semakin tua, rakyat akan jatuh sakit dan uzur. Maka mana mungkin perbelanjaan boleh dikurangkan? Makin bertambahlah jawabnya. Naikkan cukai? Memang sudah naik. Tetapi masih tidak cukup.


Perkara ini menyebabkan ekonomi Jepun semakin lembap dan tidak mampu berkembang lebih daripada 1.2 peratus setiap tahun. Dugaan Tsunami Tohoku 2011 dan COVID-19 memang memberi kesan (tetapi tidak seteruk Perang Dunia Kedua).

Malah sebelum kedua-duanya lagi, KDNK Jepun semakin menjunam. Asalnya elok AS$5.33 trilion iaitu pada tahun 1995. 12 tahun kemudian, KDNK negara berada pada paras AS$4.36 trilion dengan penurunan ambang gaji sebanyak lima peratus (The Economist, 2013). KDNK Jepun melepasi nilai 1995 pada tahun 2011.

Namun sorakan berakhir pada tahun seterusnya, apabila Jepun mula menjunam hingga ke AS$4.389 trilion. KDNK Jepun pada tahun 2019 berada pada paras AS$5.082 trilion, meningkat tetapi masih jauh daripada 1995… apatah lagi 2011/12.

Bermakna dalam tempoh 24 tahun, Jepun jatuh dan bangun… dan tidak ke mana.

RUJUKAN:

Amadeo, K. (2020, November 30). How inflation impacts your life? The Balance.

Hunt, L., et al. (2009). The Making of the West, Peoples and Cultures. Bedford St Martin’s. Halaman 712-713.

Nelson, E., & Buol, Jason. (2004, Julai 1). Budget Deficits and Interest Rates: What Is the Link? Federal Reserve Bank of St Louis.

Sieg, L. (2020, Ogos 31). Whoever takes over, next Japan PM faces daunting challenges. Reuters.

The Economist. (2013, Mac 9). Waging a new war.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.