fbpx

Kenapa Gaji CEO Terlampau Tinggi Sangat?

0 1,548

Setiap jutawan yang tersenarai dalam senarai jutawan majalah Forbes sudah diketahui sebagai pelopor atau peneraju industri.

Dengan gelaran jawatan seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) atau Pengerusi Eksekutif, maka gaji yang diterima juga lumayan bersesuaian dengan jawatan mereka. Begitupun, ramai merasakan gaji yang diterima juga sebagai melampau.

Advertisement

Berdasarkan kajian yang dibuat High Pay Centre, sebuah badan pemikir bebas yang berpangkalan di London, eksekutif-eksekutif yang bekerja untuk Indeks FTSE 100 mempunyai anggaran pendapatan £3.9 juta (RM21.6 juta).

ceo
Kredit: Daily CSR

Anggaran pendapatan ini jauh lebih besar berbanding £31,461 (RM174,869.92) yang diterima oleh pekerja biasa. Eksekutif sebegini boleh mencecah pendapatan tahunan mereka sebanyak tujuh kali dalam sehari.

Di Amerika Syarikat pula, Institut Polisi Ekonomi pula mendedahkan 350 CEO syarikat-syarikat terbesar di AS mempunyai purata pendapatan AS$21.3 juta (RM86.3 juta) pada tahun 2019.

Situasi ini menunjukkan ketidaksaksamaan semakin melebar lebih-lebih lagi dalam era pandemik Covid-19 dan mendedahkan populasi berpendapatan rendah kepada isu pengangguran, masalah kesihatan serta kemerosotan kesejahteraan kehidupan mereka.

Jadi, bagaimana kegilaan ini bermula? Sebelum tahun 80-an, gaji CEO akan dinilai oleh sistem penilaian pekerjaan keseluruhan syarikat seperti pekerja-pekerja lain.

Baca juga Isu Gaji CEO Tinggi: Tamak Atau Tugas Yang Kompleks?

Namun pada dekad tersebut, itulah juga permulaan kegilaan neoliberalisme yang diperkenalkan oleh Margaret Thatcher (Britain) dan Ronald Reagan (Amerika Syarikat).

Margaret Thatcher

Kedua-duanya memandang negatif peranan kesatuan pekerja dan bertanggungjawab mengurangkan hak mereka membela pekerja.

Keadaan ini tidak dibantu apabila sistem penilaian pekerjaan ketika itu dijahanamkan oleh penilaian gaji pasukan pengurusan dikaitkan dengan harga saham syarikat dan tawaran insentif berasaskan aset.

Hasil analisis pakar gaji eksekutif dari Sekolah Ekonomi London, Sandy Pepper mendedahkan gaji CEO meningkat sebanyak 10% berbanding gaji pekerja (3%).

Mengikut analisisnya, Pepper melihat CEO-CEO ini diberi gaji lumayan kerana mereka merupakan pendorong kepada prestasi kewangan syarikat.

Selain diberi gaji asas, mereka turut diberi pelbagai insentif termasuk bonus prestasi dan pilihan pemilikan saham syarikat.

Selain itu, bilangan syarikat yang dimiliki pemilik persendirian semakin berkurangan dan digantikan dengan pemilik-pemilik syarikat berasaskan pemilikan saham.

Dengan konsep ini, para pemegang saham dilihat lebih berkuasa kerana mahukan keuntungan bagi setiap pelaburan mereka. Bagi memastikan mereka sentiasa gembira, syarikat-syarikat bersedia melakukan apa saja termasuk meluluskan gaji CEO yang tinggi.

Bagaimanapun, menerusi sistem baru ini, pengiraan gaji mereka menjadi rumit. Pertama, syarikat akan menilai gaji mereka menerusi jawatankuasa gaji dan pampasan di mana ia dianggotai oleh ahli lembaga pengarah dan eksekutif-eksekutif syarikat lain.

Ahli-ahli jawatankuasa akan bertemu sekurang-kurangnya sekali setahun.

Selain menilai pengalaman dan prestasi syarikat di bawah kendalian seseorang CEO itu, jawatankuasa juga akan menggunakan penanda aras syarikat-syarikat lain sebagai teras utama penilaian mereka.

Selalunya, CEO-CEO akan diberi gaji dan pampasan setara dengan rakan sejawat mereka dari syarikat lain dengan jumlah diberi sama ada 50%, 70% atau 90%.

Peratusan sebegini yang menentukan sama ada gaji CEO-CEO ini naik atau kekal sama. Begitupun, satu kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Ekonomi Kewangan pada 2010 mendapati sistem sebegini hanya meningkatkan lagi jurang perbezaan gaji CEO dengan orang bawahan mereka.

Selain itu, sistem ini seolah-olah menggalakkan CEO ini bersikap tamak hanya bagi memastikan gaji mereka setara dengan rakan sejawat mereka.

Di samping itu selain menilai gaji asas, jawatankuasa turut menilai insentif-insentif yang ditawarkan kepada CEO.

Insentif selalunya akan diberi mengikut kemampuan kewangan syarikat atau ditetapkan mengikut nilai tertentu sekiranya berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan syarikat.

Bagaimanapun, ramai menyifatkan sistem sebegini sebagai bermasalah dan tidak telus. Hal ini demikian kerana jawatankuasa gaji dan pampasan hanya membentangkan laporan mereka kepada CEO dan bukannya ahli lembaga pengarah atau pemegang saham syarikat.

CEO boleh saja memaksa atau memberi insentif kepada mereka untuk menyediakan laporan yang menguntungkannya.

Di sebalik semua ini, masih ada pihak yang berusaha menjustifikasikan gaji yang diterima CEO-CEO ini. Alasan mereka, ia bersesuaian dengan nilai yang diberi pasaran kepada mereka.

Baca juga CEO Luminar Berusia 25 Tahun Berjaya Menjual Syarikat Dengan Harga $3.4 Bilion

Bagi Daniel Pryor dari Institut Adam Smith, orang-orang seperti Elon Musk (Tesla) dan Jeff Bezos (Amazon) menjadi pemacu kecemerlangan sesebuah syarikat yang bermula dari bawah.

Elon Musk
Kredit: The CEO Magazine

Bagaimanapun, ramai tidak bersetuju dengan pandangan ahli badan pemikir neoliberal itu. Bagi penulis buku Pay Check: Are Top Earners Really Worth It?, David Bolchover, pandangan sebegini mengarut.

Ianya kerana kejayaan sesebuah syarikat didorong oleh faktor seperti oligopoli, kejayaan sektor ekonomi yang disertai mereka atau sumbangan besar para pekerja mereka.

Beliau merujuk kepada krisis kewangan 2008 dengan fokus kepada bidang perbankan dan kewangan.

Semasa krisis tersebut berlaku, ramai ahli pengurusan berusaha mempertahankan gaji dan pampasan yang diterima ketika itu setimpal dengan kepakaran dan pengalaman mereka.

Namun apabila banyak bank di Eropah dan Amerika Syarikat gulung tikar, ramai orang mempersoalkan logik alasan yang diberi mereka.

Tatkala pasukan pengurusan gergasi-gergasi ini terus bermandikan wang, pekerja pula melihat gaji mereka dipotong, waktu bekerja lebih panjang atau digugurkan daripada tenaga kerja.

Keadaan ini mendorong mereka memberontak dan menggesa hak mereka dikembalikan.

Contoh paling mudah, British Gas. Pada awal bulan ini, pekerja-pekerja syarikat melancarkan mogok selama lima hari sebagai membantah rancangan syarikat.

Mengikut laporan media, British Gas merancang untuk mengurangkan tenaga kerja dan memberi kontrak baru kepada pekerja yang dikekalkan dengan hak pekerja dikurangkan.

gmb

Ketegangan antara pekerja dan pasukan pengurusan sudah lama berlaku sejak 2018. Pada tahun tersebut, pemilik syarikat iaitu Centrica mengumumkan bayaran gaji CEO mereka dinaikkan kepada £2.4 juta (RM13.2 juta) dengan kenaikan sebanyak 44%,

Begitupun, kadar kenaikan gaji CEO terutama di Barat berjaya diperlahankan terima kasih kepada tekanan daripada kerajaan atau pelabur mewakili institusi dan dana kekayaan yang dibiayai pembayar-pembayar cukai.

Namun begitu, ramai mahukan lebih banyak tindakan konkrit diteruskan bagi memastikan semua pemegang taruh dan bukan pemegang saham saja yang meraih keuntungan.

Sesetengah bandaraya seperti Portland dan San Francisco mengenakan cukai kepada syarikat-syarikat yang mempunyai kadar gaji terlalu tinggi.

Keadaan ini membolehkan insentif ekonomi diwujudkan bagi mewujudkan kesaksamaan yang lebih besar kepada semua pemegang taruh.

Dalam era pandemik sebegini, ada juga yang memilih memotong gaji eksekutif seperti Air Asia dan Boeing walaupun ia kadang-kadang dipandang sebagai langkah tidak bermakna.

Sekiranya isu ini mahu ditangani dengan berkesan, langkah-langkah ini perlu diambil. Langkah yang dimaksudkan ialah melantik wakil pekerja dalam lembaga pengarah dan laporan gaji syarikat dibentangkan dengan lebih telus.

Dari situ, barulah pendapatan syarikat diagih ke semua peringkat secara saksama.

Jika hal ini tidak ditangani dengan segera, jurang ketidaksaksamaan dijangka akan terus melebar dan berpotensi menjadi bom jangka kepada sesebuah negara.

Menurut Luke Hildyard dari Pusat Gaji Tinggi, ketidaksaksamaan menyumbang kepada peningkatan kes jenayah, kemerosotan tahap pendidikan, kesihatan, kesejahteraan dan perpaduan sosial. Jika ini tidak diatasi, pada akhirnya negara dan rakyat yang menderita.

Baca mengenai Ini Adalah Kisah Petugas Kebersihan Yang Mampu Kagumkan CEO di sini

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.