fbpx

Kenapa Google Kurang Berjaya Dalam Perniagaan Hardware?

0 510

Apabila bercakap tentang Google, tiada siapa boleh menafikan bahawasanya syarikat tersebut begitu hebat dalam penghasilan produk berasaskan software. Salah satunya adalah Android yang menjadi sistem utama bagi hampir keseluruhan telefon pintar di dunia.

Hanya Apple melalui sistem operasi IOS sahaja yang mampu mencabar dominasi Android walaupun hanya sedikit.  Malah hari ini ramai juga yang  akan mati jika tidak gunakan software daripada Google seperti mesin carian Google, youtube, google maps dan gmail. Boleh dikatakan Google ini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita.

Advertisement

Namun begitu tahukah anda, Google tampak seakan-akan kurang berjaya dalam perniagaan hardware yang melibatkan gajet ataupun telefon pintar. Ya betul ada sahaja gajet keluaran Google yang terjual di pasaran seperti Pixel dan Chromebook.

Tetapi ketika masuk ke dalam pasaran, mereka bertekad untuk menjadi pesaing utama kepada Apple dan Samsung. Hal itu yang membuatkan Google nampak kurang berjaya kerana gagal memecahkan dominasi Apple dan Samsung. Lebih memeritkan lagi, syarikat telefon pintar dari China yang lebih berjaya walaupun baru setahun jagung berada di pasaran. Kenapa boleh jadi sehingga sebegini rupa?

Semuanya berpunca daripada polisi Google itu sendiri yang tidak fokus kepada perniagaan hardware berasaskan gajet. Perkara ini dapat dilihat apabila Google lebih banyak menjana keuntungan melalui pengiklanan dan software. Jika anda adalah Google, anda akan turut berfikir seperti mereka. Untuk apa fokus kepada perkara yang tidak mendatangkan keuntungan padahal produk sedia ada sudah beri banyak untung.

Walau bagaimanapun, Google tidaklah sampai mengabaikan terus usaha untuk menghasilkan gajet. Buktinya usaha pertama Google adalah penghasilan Nexus apabila melihat sistem operasi Android yang dipasangkan di Motorola Droid menjadi perhatian dunia. Jadi Google mencuba nasib dengan penghasilan jenama telefon pintar pertama.

Malangnya, Nexus One yang dilancarkan pada tahun 2011 hanya terjual sekitar 20,000 unit sahaja berbanding iPhone 3GS sebanyak 1.6 juta unit. Kegagalan Nexus One tidak sesekali mematahkan semangat Google untuk terus mencuba dalam memecah masuk pasaran telefon pintar. Untuk itu Google telah mengilhakkan Motorola bersama 17,000 paten dengan harga $12.5 bilion. Bermakna segala kemahiran dan teknologi yang wujud di Motorola boleh Google gunakan untuk berjalan seiringan bersama Apple dan Samsung.

Tapi benda lain pula yang jadi apabila Google terpaksa menjual Motorola dan 17,000 paten kepada Lenovo dengan harga hanya $2.9 bilion sahaja. Hal ini berlaku kerana Google mengalami begitu banyak kerugian dan dirasakan tidak berbaloi untuk terus memiliki Motorola.

Adakah Google terus tamat di situ? Jawapannya tidak kerana pada tahun 2017, Google telah membelanjakan sebanyak $1.1 bilion untuk bekerjasama dengan HTC bagi menghasilkan model Nexus dan Pixel. Bukan itu sahaja, Google juga turut menyerap lebih 2000 orang pekerja HTC untuk sama-sama membantu syarikat itu dalam penghasilan telefon pintar.

Pengakhirannya sama sahaja, Google masih lagi gagal walaupun pernah miliki kemahiran daripada Motorola dan sedang miliki kemahiran daripada HTC. Ada yang menyatakan bahawasanya Google amat berkira untuk mengeluarkan dana bagi R&D dalam penghasilan gajet ataupun telefon pintar.

Apa-apapun, Google masih lagi meneruskan usaha dalam perniagaan hardware berasaskan gajet kerana tidak pernah menjejaskan operasinya walaupun asyik rugi saban tahun. Mungkin hal itu sebenarnya yang menjadi batu penghalang untuk Google maju dalam perniagaan hardware.

RUJUKAN:

CNBC. (2019, November 9). Why Google struggles with hardware. Dipetik daripada https://www.youtube.com/watch?v=y_ziBdLhQBY

Sousa, S. (2019, November 16). Why Google struggles with hardware. Sheldon De Sousa. Dipetik daripada https://www.sheldondesousa.com/why-google-struggles-with-hardware/

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.