fbpx

Kenapa Kopi Dijadikan Sebagai Simbol Kekayaan?

0 446

Hari ini kita melihat budaya minum kopi semakin mendapat tempat di negara kita sehingga hampir menenggelamkan teh yang sudah sebati dengan negara. Di tambah pula dengan kehadiran begitu banyak kedai kopi yang tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Tapi hari makin hari kita melihat kopi seperti dijadikan sebagai status kekayaan terutamanya jika dibeli daripada kedai kopi premium. Malah kopi premium tersebut seringkali ditayangkan di platform dalam talian seperti Instagram sehingga kita mengetahui mereka adalah golongan ada-ada. Kenapa boleh jadi begitu?

Advertisement

Sebelum itu mari kita kenali terlebih dahulu mengenai asal-usul kopi. Kopi dikatakan telah dijumpai secara tidak sengaja oleh seorang petani di Ethiopia apabila terlihat kambingnya lebih bertenaga apabila memakan buah dari satu pohon asing.

Maka buah itu telah diekstrak menjadi minuman sehingga terkenal di seluruh Ethiopia dan mula memasuki Semenanjung Arab.

Di sinilah bermulanya pembukaan kedai kopi yang dijadikan sebagai tempat untuk masyarakat Arab berbincang mengenai pelbagai isu. Tidak ketinggalan juga golongan sufi menjadikan kopi sebagai minuman wajib bagi menahan mata untuk beribadat di tengah malam. Budaya kopi ini berlarutan sehinggalah zaman empayar Uthmaniyyah.

Setelah itu, kopi mula memasuki Eropah pada abad ke-16 dengan British menjadi destinasi pertama. Dalam masa yang singkat sahaja, sebanyak 2000 buah kedai kopi berjaya dibuka di British. Hal ini ditambah lagi kedai kopi menjadi medium bagi rakyat British berbincang mengenai isu semasa ketika itu.

Walau bagaimanapun, perkembangan kopi hanya tersekat di tanah Arab dan Eropah sahaja sehinggalah menuju ke abad 20. Amerika Syarikat yang baru sahaja bergelar sebagai kuasa ekonomi dunia menjadi tempat penting untuk kopi melebarkan sayapnya. Ketika itu begitu banyak kedai kopi yang dibuka tetapi masih lagi berkonsepkan marhaen.

Jadi apa punca kopi boleh jadi simbol kekayaan pada hari ini?

Semuanya bermula dengan tindakan Starbucks membuka kedai di kawasan kejiranan elit dengan harapan minuman mereka akan laku keras. Kita semua tahu untuk menjual barang atau minuman yang mahal, kita mesti kenal pelanggan dan pasaran. Tapi apa yang dibuat oleh Starbucks adalah melawan arus bagi memastikan premis itu terus berkembang.

Mereka yakin bahawasanya Starbucks mampu menjana lebih banyak keuntungan dengan membuka kedai di pinggir bandar. Hal ini demikian kerana imej Starbucks yang dekat dengan unsur mewah akan bikin golongan pertengahan dan bawahan mula memasuki kedai bagi merasai pengalaman menjadi kaya sebentar.

Situasi seumpama itu sudah menjadi kebiasaan hari ini apabila apa sahaja yang dilakukan oleh golongan kaya pastinya akan mendapat perhatian dan ikuti. Bermakna Starbucks sudah lama nampak trend sebegini.  

Strategi ini berjaya apabila kedai di pinggir bandar mencatatkan keuntungan yang lebih banyak berbanding kedai di kejiranan elit.

Bermula sejak itu Starbucks terus menjadikan premis mereka persis tempat perbincangan seperti era semenanjung Arab dan digabungkan dengan hiasan dalam yang minimalis tetapi premium. Jadi tidak hairanlah hari ini, ramai orang sanggup membayar dengan mahal hanya untuk mendapat secawan kopi.

Tindakan Starbucks ini juga telah membuka jalan bagi pembukaan kedai kopi premium yang lain dan menjadi kopi sebagai lambang status kekayaan.

RUJUKAN:

Kilkenny, K. (2017, Julai 25). A brief history of the coffee shop as a symbol for gentrification. Pacific Standard. Dipetik daripada https://psmag.com/economics/history-of-coffee-shop-as-symbol-for-gentrification

National Coffee Association. (2020). The history of coffee. Dipetik daripada https://www.ncausa.org/about-coffee/history-of-coffee

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.