
Kenapa Pengangkutan Awam Sangat Penting Untuk Ekonomi?
Apabila tiba sahaja musim perayaan, acapkali kita dihidangkan dengan kesesakan maha dahsyat di beberapa jalan raya dan lebuhraya seluruh negara. Bukan itu sahaja, angkara kesesakan itu kita perlu mengambil masa begitu lama untuk sampai ke destinasi. Malah kadang-kala masa yang diambil itu tidak masuk akal kerana pergerakan besar-besaran rakyat ke destinasi sama.
Bagi mengatasi masalah itu, ramai mencadangkan agar kerajaan melebarkan lagi jalan raya untuk menampung bilangan kenderaan yang semakin meningkat. Walau bagaimanapun, itu hanyalah penyelesaian sementara sahaja kerana bilangan kenderan sentiasa meningkat sehingga tidak mampu menampung.
Advertisement
Hal ini dapat dilihat apabila Malaysia menjadi negara yang memiliki kereta berkapita tertinggi di dunia. Bermakna hampir 94 peratus daripada isi rumah di Malaysia memiliki satu kereta manakala lebih 54 peratus miliki lebih dua kereta. Bagi motorsikal pula, pemilikannya adalah sebanyak 11 juta. Jika pemiliki motorsikal menaiktaraf kenderaan mereka kepada kereta, pasti jumlah kenderaan persendirian semakin bertambah.
Pertambahan jumlah kenderaan persendirian pastinya akan membuatkan jalan semakin sesak dan berlaku peningkatan kadar kemalangan. Di Malaysia sendiri secara purata hampir 7000 kematian akibat kemalangan yang direkodkan dalam masa setahun.
Jadi apa cara terbaik untuk mengatasi masalah ini? Jawapan paling tepat adalah pengangkutan awam.
Kalau dilihat dari segi sejarah, pengangkutan awam di Malaysia bermula sejak penjajahan British melalui pembinaan jalan kereta apa yang pada asalnya berfungsi untuk mengangkut biji timah ke Pelabuhan utama. Waktu demi waktu, semakin banyak jalan kereta api dibina untuk menghubungkan satu bandar ke bandar yang lain. Selain itu, perkhidmatan bas juga sudah mula beroperasi untuk menghubungkan pekan kecil.
Pertumbuhan bandar baru dan pertambahan penduduk membuatkan pengangkutan awam sedia ada tidak mampu menampung permintaan. Maka dengan itu wujud LRT, MRT, ETS, ERL dan bermacam lagi bagi memudahkan pergerakan rakyat.
Walau bagaimanapun disebalik terbinanya segala pengangkutan hari ini, terdapat dakwaan kononnya projek ini membazir dan pengguna perlu membayar tiket berharga sangat tinggi. Betul ke macam tu?
Salah sebenarnya kerana rakyat Malaysia yang majoritinya tinggal di bandar-bandar besar sangat memerlukan pengangkutan awam. Kita ambil contoh mudah.
Lembah Klang merupakan metropolis yang miliki kos sara hidup amat tinggi. Bagi golongan berpendapatan rendah, Lembah Klang adalah neraka kecil. Dengan segala kos sara hidup begitu tinggi, memiliki kereta bukanlah satu pilihan yang tepat. Jadi mereka boleh menggunakan pengangkutan awam sebagai akses ke kawasan lain.
Selain itu, pengangkutan awam juga berfungsi meningkatkan sosioekonomi setempat. Bermakna di sini, pengangkutan awam akan menjadi akses untuk penduduk bandar bergerak ke tempat kerja, sekolah serta membeli-belah. Dengan kemudahan ini, rakyat akan lebih senang mencapai kerja yang diinginkan dan institusi pendidikan terbaik.
Bagi pasaran hartanah pula, pengangkutan awam boleh menjadi booster kepada taman perumahan tersebut untuk membangun. Secara tidak langsung, orang ramai akan mula yakin untuk membeli hartanah di kawasan tersebut dengan adanya pengangkutan awam.
Macam mana pula dari aspek ekonomi?
Kita lihat pula projek High Speed Rail Kuala Lumpur-Singapura yang telah dibatalkan sebelum ini. Projek tersebut dijangka mampu memberikan begitu banyak keuntungan kepada negara. Bukan itu sahaja HSR bakal mengwujudkan peluang pekerjaan baru dan pembangunan bandar baru.
Jika dilihat jumlah stesen HSR, terdapat dua stesen yang terletak di kawasan rural iaitu Batu Pahat dan Muar. Apabila HSR sudah beroperasi, Batu Pahat dan Muar berpotensi menjadi metropolis baru yang mampu menyaingi Iskandar Puteri.
Kesimpulannya ingatlah kata-kata hikmat ini “tanda sesebuah negara itu maju apabila orang kaya menggunakan pengangkutan awam dan orang miskin membawa kereta, malah bertambah miskin jika menunggang motorsikal.”
RUJUKAN:
Ekhwan Haque Fazlul Haque. (2021, September 30). HSR mampu beri kesan berganda kepada ekonomi. Harian Metro. Dipetik daripada https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/09/760992/hsr-mampu-beri-kesan-berganda-kepada-ekonomi
Liew Chin Tong. (2017, September 20). Public transport is more than ‘big toy’ infrastructure. Malaysiakini. Dipetik daripada https://www.malaysiakini.com/news/395737
S. Kenneth., Wei San Loh. (2018, September 17). Improving urban transportation for upward social mobility in Malaysia. World Bank Blogs. Dipetik daripada https://blogs.worldbank.org/eastasiapacific/improving-urban-transportation-upward-social-mobility-malaysia