fbpx

Kenapa Rusia Bertanding Sebagai ROC Dalam Olimpik 2020?

0 1,449

Sukan Olimpik 2020 akhirnya dibuka pada 23 Julai 2021. Sama macam EURO 2020, memang pelik tengok temasya yang patut dianjurkan tahun lalu.

Semua boleh faham keadaan. Dunia sedang menghadapi bala bencana kesihatan, yakni pandemik COVID-19. Walau bagaimanapun, ada satu keanehan luar biasa. Senarai 10 negara terbaik hanya ada sembilan negara sahaja:

Advertisement

Cakap awal-awal: tempat keempat itu bukan Republic of China. Itu adalah Rusia sebenarnya.

Tanda-Tanda Awal

Memang dekad 2010-an tidak baik untuk Rusia. Ekonominya disekat. Imejnya di pentas antarabangsa tercalar. COVID-19 membinasakan peringkat sosialnya. Dan sekarang platform sukan pun kacau teruk.

Cerita bermula pada 9 Disember 2019, apabila Agensi Anti-Dadah Dunia (WADA) mengisytiharkan satu keputusan tergempar.

WADA sudah lama menghidu sesuatu yang tidak kena. Atlet-atlet Rusia tanpa henti ada masalah berkaitan dadah. Pada Oktober 2009, pengurusan Olimpik sudah memaklumkan kepada pihak Rusia tentang keputusan ujian darah.

Mereka menguji 7,289 sampel daripada 2,737 peserta (majoriti adalah Rusia). Ramai yang gagal (Leicester, 2016). Rusia mengangguk faham… tetapi tidak berbuat apa-apa.

Setahun kemudian, WADA menerima laporan daripada seorang warga Rusia bernama Vitaly Stepanov. Untuk pengetahuan semua, Stepanov bukanlah ahli politik. Beliau adalah pekerja dalam Agensi Anti-Dadah Rusia (RUSADA).

Dan beliau nampak dengan jelas kelompangan sistem RUSADA yang membenarkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan atlet (Schwartz, 2016).

WADA menerima lebih daripada 200 emel daripada Stepanov. Dan yang menimbulkan prasangka, mereka mendapat maklumat yang sama daripada seorang ahli sukan Rusia bernama Darya Pishchalnikova.

Cuma kebodohan WADA pada masa ini, mereka tidak menjalankan apa-apa siasatan. Sebaliknya, mereka pergi memanjangkan maklumat ini pada Rusia.

Rusia pun apa lagi. Pishchalnikova tidak dibenarkan mewakili Rusia selama 10 tahun, kononnya kerana gagal dalam ujian dadah. Tetapi mana yang faham sekadar senyum saja. Kerana larangan ini adalah hukuman kerana mendedahkan realiti di sebalik tabir.

WADA Akhirnya Menjadi Cerdik

Pendedahan Vitaly Stepanov benar-benar kena pada sasaran. Beliau mendedahkan tentang penglibatan pengurusan Rusia dalam penyalahgunaan dadah atlet. Pihak Rusia selamba menyediakan barangan terlarang dengan satu syarat: atlet perlu kongsi pendapatan.

Vitaly Stepanov bersama isterinya Yuliya.

Tidak banyak, cuma lima peratus sahaja. Tidak cukup dengan penyediaan, pihak Rusia siap memalsukan laporan kesihatan lagi (BBC, 2014).

Stepanov siap merakam perbualan bersama Mariya Savinova dan Liliya Shobukhova. Kedua-dua wanita ini adalah atlet Rusia. Savinova menggunakan dadah anabolic steroid. Dan Shobukhova didakwa membayar €450,000 untuk menutup cerita sampai pihak penganjur marathon menuntut balik hadiah kemenangan yang pernah diberi (Ingle, 2016).

Liliya Shobukhova.

Siri pendedahan sebegini menaikkan berang negara-negara lain yang telus dalam laporan mereka. Amerika Syarikat tidak berdiam diri. Jerman sangat marah. Apabila Jerman marah, Kesatuan Eropah pun marah sekali. WADA memutuskan hubungan dengan RUSADA (Faloyin, 2015).

Segala salah laku dalam pengurusan Rusia dikupas bagaikan bawang berlapisan. Alexander Povetkin dan Maria Sharapova didapati gagal dalam ujian dadah, barangkali kerana piawaian ujian RUSADA tidak sama dengan WADA.

Dengan bukti serba banyak sebegini, WADA akhirnya mengharamkan Rusia daripada menyertai apa-apa sukan selama empat tahun (yang kemudian dikurangkan menjadi dua tahun).

Walau bagaimanapun, Rusia dibenarkan menyertai hanya sebagai pendatang atau tetamu sahaja.

Atlet-atlet yang tidak bersalah perlu mengikuti piawaian WADA dalam sebuah organisasi bernama Suruhanjaya Olimpik Rusia (ROC).

Lagu Kebangsaan Rusia diharamkan sepanjang Olimpik, dengan Concerto Pyotr Tchaikovsky sebagai lagu gantian. Tiada elemen kenegaraan boleh ada. Bendera Rusia perlu diletak jauh. Simbol beruang pun tidak boleh guna.

Ia wajar dijadikan pengajaran kepada semua negara: undang-undang anti-dadah memberi kesamarataan kepada semua.

RUJUKAN:

BBC. (2014, Disember 4). Russian doping claims: 99% of athletes guilty, German TV alleges.

Faloyin, D. (2015, November 19). WADA suspends Russia’s anti-doping agency. Newsweek.

Ingle, S. (2016, Julai 19). Liliya Shobukhova ordered to pay back London Marathon prize money. The Guardian.

Leicester, J. (2016, Januari 12). IAAF knew of Russians’ rampant doping years before ban: report. CBC Sports.

Schwartz, D. (2016, Januari 13). Whistleblowers Yuliya and Vitaly Stepanov describe Russia’s sports doping system. CBC News.

Slater, M. (2008, November 28). Dobriskey slams ‘Russian seven’. BBC.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.