fbpx

Kenapa SSD Lebih Laju Daripada HDD?

0 570

Cuba belek Shopee. Tengok model komputer riba zaman sekarang. Asus VivoBook 15 (RM3,000+) menggunakan SSD. Macbook Pro Retina Display 16’’ (RM10,500) menggunakan SSD. Dua komputer ini mungkin dianggap kayangan.

Jadi tengok DERE Official V14 (RM1,500) pula. Pun SSD. Pusing kiri, SSD. Pusing kanan, masih SSD. Semua orang tahu yang SSD lebih laju. Persoalannya: kenapa? Apa punca di sebalik kelajuan SSD, yang mengatasi HDD?

Advertisement

Perbezaan antara HDD dan SSD secara fizikal.

Untuk faham pasal SSD, kena terang tentang HDD dulu. Dalam bahasa mudah, HDD sudah lama menjadi teknologi purba. Cuba beli iPhone 7 dan tayangkan depan orang ramai.

Tengok orang kagum atau bahan. Ramai mesti cakap, iPhone 7 sudah ketinggalan zaman. Walhal baru lima tahun lalu. Belilah baru macam mana pun (kalau masih ada) – mesti orang tidak pandang.

Sekarang tengok HDD balik. Alat HDD pertama dicipta pada tahun 1956, selepas dua tahun pasukan Reynold Johnson dalam IBM di San Jose, California mencuba nasib. Mereka mahu ganti punch card.

Fikir punya fikir – mereka berjaya buat HDD Model 350 (Pearson, 2012). iPhone 7 keluaran 2016 boleh kena bahan macam-macam. Apatah lagi HDD yang sudah ada sejak 1956, ditambah baik saban tahun sebagai alat penyimpanan maklumat (data storage).

Jujurnya, perbandingan iPhone 7 dan HDD sebenarnya tidak begitu adil. Tetapi cukup untuk membuat bayangan dalam “bahasa teknologi”. HDD sudah berdarjat purbakala. Penyelidikan pasal HDD wajar diserap masuk dalam bidang paleontologi pun. Ibaratkan.

Hari ini lebih daripada 224 syarikat berjaya menghasilkan HDD untuk pasaran yang dikuasai Seagate, Toshiba dan Western Digital. Kelebihannya adalah pada keluasan (storage volume), yang sesuai untuk kegunaan komputer pelayan (computer server).

Cara HDD berfungsi sebenarnya mudah difahami dalam bahasa marhaen. HDD ada cakera (disk platter) dan penunjuk (head arm).

Membedah HDD.

Asasnya begini. Cakera mempunyai ruangan sangat banyak. Penunjuk pula bagaikan trak angkat susun (forklift), meletakkan data dalam ruangan-ruangan cakera menggunakan kod binary iaitu 0 dan 1 (Olsen, 2017): GTA5 letak di sini. Skyrim letak di sana. Microsoft Word letak di situ.

Apabila perlu Skyrim, penunjuk akan pergi ke “sana”. Perlu Word, pergi ke “situ”. Kalau menggunakan data yang diletakkan dalam satu tempat (sama ada “sini”, “sana” dan “situ”), kerja akan menjadi lebih cepat.

Tetapi ini komputer – bukan bilik tidur. Selalunya mesti berselerak. Apabila berselerak, HDD akan mengambil masa lama untuk “read/write”.

SSD pula guna teknologi flash memory chips tanpa penunjuk (head arm) macam SSD. Ia bergantung pada alat pemproses (processor) yang menjalankan kerja. Alat ini senang cakap buat keputusan untuk letak, ambil, simpan dan buang data tertentu.

Flash memory chips.

Sebab itulah SSD lebih cepat. Fail yang berselerak pun tiada masalah (Brant, 2020). Sebab SSD lebih pintar berbanding HDD yang sangat manual. Tetapi kalau fikir balik, ada benda yang tidak kena dengan perbandingan HDD dan SSD.

Bayangkan pergi haji guna teknologi tahun 1956 dan 2021. Zaman dulu naik kapal laut. Sekarang naik kapal terbang. Destinasi sama. Tujuan sama. Teknologi berlainan. Sekadar mudah kata.

Oleh kerana teknologinya masih baru, SSD agak mahal dari segi keluasan. 1TB SSD lebih mahal daripada 1TB HDD. Jadi kena guna ikut kesesuaian kerja. Macam saya, kadang Google Chrome buka sampai 10 tab sambil tulis artikel. Memang makan proses tinggi.

Waktu guna HDD, siap berkali-kali restart pun ada. Tetapi dengan SSD, kerja jadi cepat. SSD jadi drive utama untuk boot Windows. HDD sedia ada jadi drive penyimpanan. Memang mudah.

RUJUKAN:

Brant, T. (2020, September 2). SSD vs HDD: What’s the Difference? PC Mag.

Olsen, J. (2017, April 4). Hard Drives: How Do They Work? University of Massachusetts Amherst.

Pearson, T. (2012). Inside System Storage: Volume I (Paperback). Lulu. Halaman 112.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.