fbpx

Kenapa Terusan Segenting Kra Sukar Dibina?

0 48,037

Cerita cadangan pembinaan Terusan Segenting Kra bukan cerita baru di rantau Asia Tenggara.

Terbaru, cadangan tersebut ditimbulkan semula pada tahun lepas sebagai cara merangsang kembali pertumbuhan ekonomi Thailand.

Advertisement

Namun apa sejarah di sebalik obsesi cadangan ini dan implikasi kepada negara-negara jiran seperti Malaysia dan Singapura?

Mengikut sejarah, pemerintah terawal yang mengemukakan cadangan menggali terusan di situ ialah pemerintah Ayutthaya, Raja Narai (1629-1688).

Baginda melihat menerusi pembinaan terusan itu, ia bakal menjadi laluan perdagangan penting untuk timur dan barat kerajaan Siam ketika itu.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Keterangan ini direkodkan dalam surat duta Siam ke Perancis, Phraya Kosa Thibordi yang kini dipamerkan di sebuah muzium di Paris, Perancis.

Bagaimanapun, ramai percaya idea ini ditimbulkan oleh adinda Raja Rama I, Khrom Phra Rajawangborworn Mahasurasihanart/Putera Surasihanaj.

Baginda mahukan sebuah terusan besar menghubungkan Songkhla dengan Saiburi (Perlis moden) bagi melindungi kota-kota Siam di pesisir Laut Andaman daripada diancam musuh ketat mereka, kerajaan Burma.

Baginda juga mahu melihat terusan berada di sebelah selatan bagi mengelak kawasan gunung-ganang dan menyambungkan Tasik Songkhla dengan Lautan Hindi.

Britain sudah melihat potensi Segenting Kra seawal abad ke-19 menerusi catatan Residen British di Ava, Burma, Henry Burney.

Burney dalam catatan memorandumnya melihat terusan ini memudahkan usaha membawa keluar bijih timah di kawasan pedalaman Siam dan menggiatkan aktiviti perdagangan antara Siam dengan kota-kota pesisir Teluk Bengal.

Hal ini demikian kerana terusan ini dapat memendekkan perjalanan pedagang selama beberapa hari tanpa perlu mengelilingi Semenanjung Tanah Melayu.

Bagaimanapun, cadangan Burney ditolak sekeras-kerasnya oleh pemerintah Siam ketika itu, Raja Rama III.

Ianya kerana memorandumnya turut mengandungi tuntutan agar Siam menyerahkan Pulau Salang (Pulau Phuket) kepada British, memulihkan kembali takhta Sultan Kedah dan menghentikan semua tuntutan terhadap negeri-negeri Melayu di selatan Pattani.

Bagi Raja Rama III, apa yang diminta British ibarat menunggu kucing bertanduk.

Selepas Raja Rama III mangkat pada 1851, kekanda tirinya Raja Mongkut/Rama IV menaiki takhta pada tahun tersebut.

Pada masa inilah, pintu Siam dibuka seluas-luasnya untuk aktiviti perdagangan dengan negara-negara asing terutama British. Perkara ini dicapai menerusi Perjanjian Bowring yang dimeterai pada 1855.

Perencana perjanjian merangkap Gabenor British di Hong Kong, Sir John Bowring berjaya menyakinkan baginda untuk membiayai usaha membina terusan di Segenting Kra.

Dalam korespondennya dengan pegawai-pegawai Pejabat Koloni di London, beliau melihat kejayaan Segenting Kra sama penting dengan Terusan Suez di Mesir.

Konsul British di Bangkok, Sir Robert Schomburgk turut menyokong gagasannya itu dan melihat terusan ini dapat mengurangkan masa perjalanan ke China berbanding menggunakan Selat Melaka.

Bagaimanapun, impian Segenting Kra untuk menjadi kenyataan berkecai gara-gara kegagalan projek terusan Ranong-Chumphon.

Ranong-Chumphon Canal
Kredit: Travelling Storyteller

Projek tersebut terpaksa dihentikan selepas kos menggali terusan semakin tidak terkawal lebih-lebih lagi kesukaran menggali merentasi kawasan gunung-ganang.

Bagi Raja Mongkut sekiranya terusan ini sudah memakan kos tinggi, cerita sama sudah pasti akan berlaku pada Segenting Kra. Hal ini mendorong baginda enggan menyokong projek tersebut walaupun cuba dipujuk Schomburgk untuk mengubah fikirannya.

Pada tahun 1868, Raja Chulalongkorn menaiki takhta sebagai pemerintah Siam baru menggantikan ayahandanya Raja Mongkut.

Baginda digelar Bapa Siam Moden kerana membawa banyak reformasi dalam sistem pemerintahan Siam termasuk menghapuskan aktiviti perhambaan dan pengenalan sistem pendidikan moden.

Berikutan hubungan baginda yang baik dengan British dan Perancis, ramai merasakan idea Segenting Kra boleh direalisasikan semula.

Salah seorang figura yang menaruh harapan sedemikian ialah perencana Terusan Suez, Ferdinand de Lesseps.

Legenda pernah mengatakan sebaik mendapat tahu perihal Segenting Kra dan potensinya sebagai terusan, beliau terus membatalkan hasrat membina terusan di Panama dan mula fokus kepada usaha pembinaan terusan di Segenting Kra.

Begitupun, usaha ini mengundang rasa kurang senang British menjelang akhir abad ke-19. Pertama, kos buruh dan kewangan diperlukan untuk menjayakan rancangan terusan de Lesseps sebagai tidak munasabah.

Kedua, ia dilihat bakal membuka ruang kepada Paris campur tangan dengan hal ehwal dalaman Siam sekaligus menyukarkan usaha British sebagai rakan strategik Siam.

Ketiga, terusan ini dilihat akan mengancam kedudukan Singapura sebagai pelabuhan antarabangsa pada abad ke-19.

Situasi ini mendorong pihak British enggan menyokong semua usaha membina terusan di Segenting Kra termasuk menarik balik sokongan kewangan diperlukan de Lesseps.

Di samping itu, British juga tidak mahu kuasa-kuasa asing lain menghidu peluang mengganggu kedudukannya di Asia Tenggara ketika itu termasuk Jerman dan Amerika Syarikat.

Pada era moden, idea Segenting Kra sebagai terusan sentiasa dibangkitkan tetapi ia sentiasa berlegar sebagai satu cadangan. Ramai merasakan idea ini patut dibuang dalam tong sampah untuk selama-lamanya.

Antara yang menyokong kenyataan ini ialah pengerusi jawatankuasa pemanduan ekonomi kerajaan, Dr Pailin Chuchottaworn.

Dalam satu temubual bersama akhbar Bangkok Post, beliau melihat idea Terusan Segenting Kra sebagai mengarut dan banyak faktor yang menyokong tanggapan beliau.

Pertama, paras air Laut Andaman dan Teluk Thailand berbeza-beza sekaligus akan menyukarkan usaha pembinaan terusan termasuk menghadkan lebar terusan antara 40 hingga 50 meter.

Ianya juga menjadikan terusan tersebut sebagai kecil berbanding Terusan Suez dan Terusan Panama.

Dengan saiz sebegini rupa, ia juga menyebabkan hanya sebuah kapal saja boleh melalui terusan pada satu-satu masa.

Daripada menunggu giliran memasuki terusan, lebih baik kapal-kapal menggunakan Selat Melaka sebagai laluan mereka walaupun masa perjalanan perlu ditambah sebanyak dua hari.

Chuchottaworn turut menggelar terusan ini sebagai bom jangka alam sekitar kepada wilayah sekitarnya.

Namun jika projek ini tetap diteruskan, apa impaknya? Dari segi kelebihannya, pertama, ia dijangka mengurangkan beban trafik perkapalan yang melalui Selat Melaka.

Kedua, mengurangkan peluang berlakunya jenayah maritim termasuk aktiviti lanun di Selat Melaka. Ketiga, ia bakal mengembalikan kelestarian alam sekitar sekitar selat berkenaan.

Bagaimanapun dari segi kontra, Malaysia dan Singapura bakal mengalami kesan ekonomi sekiranya terusan ini diteruskan pembinaannya.

Sudah pasti menjejaskan industri perkapalan kedua-dua negara selain menjejaskan kedudukan Singapura sebagai pelabuhan antarabangsa utama. Dalam situasi pasca-pandemik Covid-19, ia akan menyukarkan pemulihan ekonomi kedua-dua negara.

Belum dicampur faktor geopolitik yang menyelubungi terusan ini.

Baca juga Punca Krisis Politik Di Thailand

Bangkok sedar jika idea ini diteruskan, ia sudah pasti akan berada dalam lingkungan pengaruh China termasuk membentuk rangkaian pertahanan China membabitkan pangkalan tentera laut dan pakatan dengan negara-negara luar.

Gabungan terusan ini dengan rangkaian yang dinyatakan dijangka bakal menjadi halangan kepada India sekiranya timbul konflik antara mereka dengan China.

Apa yang pasti, perkembangan Segenting Kra sudah pasti akan diperhatikan lebih rapat oleh kedua-dua negara.

kra isthmus land bridge
Kredit: Think China

Dalam temubual sama, Chuchottaworn mencadangkan rangkaian jambatan darat membabitkan jalan raya dan landasan keretapi sejauh 100 km dibina bagi menghubungkan dua pelabuhan baru di Laut Andaman dan Teluk Thailand.

Cadangan itu dilihat jauh lebih baik dalam merangsang kembali pertumbuhan ekonomi Thailand pasca-pandemik Covid-19.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Begitupun, rancangan ini juga dijangka bakal mendapat tentangan penduduk tempatan. Di Chana, Songkhla misalnya, ramai penduduk menyuarakan bantahan terhadap usaha Bangkok membina sebuah kawasan perindustrian khas di situ.

Ianya kerana projek tersebut dijangka merosakkan prospek keselamatan makanan mereka dan ekosistem pesisir laut yang menjadi tempat mereka mencari rezeki.

Source Asean Today. (2021). Thailand pushes “land bridge” for trade to supplant Strait of Malacca. Clarence Ngui Yew Kit. (2012). Kra Canal (1824-1910): The elusive dream. Akademika, 82(1), 71-80. Mohd Zaideen, I.M. dan Muhd Rusli, M.H. (2020). Segenting Kra: Mampukah Selat Melaka kekal jadi jalur laut ulung dunia?. Astro Awani.
You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.