fbpx

Kepentingan Menaiktaraf Literasi Kewangan

0 398

Kita selalu mendengar terma ini: financial literacy atau celik kewangan. Secara ringkas, ia merujuk kepada pengetahuan kewangan yang dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan seperti membina akaun simpanan, merancang pembelian aset besar seperti rumah atau kereta dan merancang persaraan. Tapi sebelum itu, mengapa celik kewangan penting dalam kehidupan hari ini?

Jawapan mudah, hanya perlu melihat statistik-statistik ini. Jabatan Insolvensi mendedahkan 84,805 orang rakyat Malaysia diisytiharkan muflis dari 2015 hingga 2019 dengan 26% kes membabitkan individu berumur bawah 34 tahun. Sementara Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan 47% golongan muda dibebani dengan isu hutang kad kredit yang tinggi.

Advertisement

Angka ini jauh lebih menakutkan apabila ia digabungkan dengan data Kaji Selidik Celik Kewangan Malaysia 2020 yang dibuat oleh Ringgit Plus. Menerusi kaji selidik ini, 53% responden mengakui tidak boleh hidup dengan simpanan melebihi tiga bulan sekiranya mereka diberhentikan kerja. Kaji selidik sama turut mendedahkan majoriti responden berbelanja menggunakan pendapatan sedia ada atau melebihi kemampuan mereka.

Tanpa mengetahui ke mana semua pengetahuan kewangan boleh diaplikasikan, ia boleh saja menjadi satu pengalaman menjerihkan kepada sesiapa. Padahal kewangan merupakan satu aspek yang digunakan dalam setiap aspek kehidupan. Dan ini sesuatu yang jarang diajar dalam bilik darjah – mengetahui keperluan mengawal aspek kewangan.

Situasi ini tidak dibantu oleh kemunculan pelbagai tawaran perkhidmatan dan produk kewangan yang ditawarkan di pasaran. Sesetengah produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kadang-kadang terlalu rumit untuk difahami. Dengan pelbagai pilihan yang ada, ia bukan sesuatu yang menyeronokkan bila memutuskan perkara tertentu seperti pembelian kereta atau insurans, membuka akaun pelaburan atau merancang persaraan.

Jadi, bagaimana hendak menambahbaik celik kewangan diri? Pertama, fikirkan apa aspek kewangan yang patut diketahui. Kedua, buat senarai aspek kewangan yang dilihat relevan dan patut diketahui. Ketiga, buat mengikut turutan secara perlahan-lahan dan sabar.

Berikut beberapa aspek kewangan relevan yang patut diberi perhatian dari segi celik kewangan:

  • Merancang belanjawan/bajet

Bajet yang baik dilihat dapat menyediakan asas kewangan yang baik kepada sesiapa sahaja. Ini kerana ia memberi peluang kepada kita mengetahui jumlah wang yang masuk ke dalam akaun, kecenderungan perbelanjaan dan jumlah wang yang diperuntukkan untuk perbelanjaan keperluan setiap bulan. Belanjawan juga membantu kita mengetahui jumlah wang yang patut dijimatkan dan jenis barang yang dapat dibeli mengikut kemampuan kita.

Asas kewangan yang baik yang dimaksudkan ialah mengawal perbelanjaan sekaligus membantu menjimatkan wang. Wang yang dijimatkan boleh digunakan untuk meliputi perbelanjaan kecemasan dan sebagai sokongan apabila kehilangan kerja atau ditimpa musibah. Hal ini tidak semestinya memerlukan bajet tetapi ia masih alat berguna untuk membantu kita mencapai kestabilan kewangan yang dimahukan.

Belanjawan boleh dirancang dengan bantuan aplikasi percuma atau berbayar. Atau ia boleh saja dibuat secara bertulis mengikut keperluan kita. Cuma bagi yang membuat bajet cara lama, ia perlu dirujuk beberapa kali sekiranya kita terlupa. Tetapi cara ini membantu kita memahami corak perbelanjaan bulanan.

  • Pengurusan hutang

Hutang. Salah satu beban kewangan yang dibenci semua. Tetapi ia merupakan satu keperluan sekiranya mahu membeli aset besar seperti kereta atau rumah dan mewujudkan kredit yang baik. Tetapi sebelum berhutang, sentiasa ingat beberapa perkara iaitu kenaikan kadar faedah untuk hutang, jumlah bayaran diperlukan untuk melupuskan hutang, tempoh akhir bayaran dan risiko markah kredit sekiranya terlepas tempoh bayaran.

Amat penting mengetahui jenis hutang yang diambil kerana ia meliputi pembelian aset berbeza dan dikenakan kadar faedah yang berbeza. Misalnya, kad kredit mempunyai kadae faedah yang tinggi jika dibandingkan dengan kadar faedah untuk hutang cagaran dan hutang tanpa cagaran. Justeru, amat penting untuk mengetahui jenis pembelian yang dibuat dan kadar faedah yang dikenakan.

  • Memahami dan memanfaatkan akaun simpanan

Akaun simpanan rupanya mempunyai pelbagai pilihan berbeza sekaligus membantu kita memanfaatkannya dalam pelbagai cara. Ini kerana seperti hutang, setiap pilihan akaun simpanan datang dengan kadar faedah berbeza untuk tempoh bank menguruskan akaun kita. Contohnya, akaun simpanan biasa mengenakan kadar faedah rendah. Sementara akaun persaraan termasuk bon dan saham pula selalunya menawarkan kadar faedah tinggi kepada pengguna.

Justeru, sebarang pemilihan akaun simpanan mestilah mengikut sasaran kebebasan kewangan yang ditetapkan kita. Misalnya, bagi yang mahu menyimpan tetapi boleh mengaksesnya pada masa kecemasan, boleh saja menggunakan akaun simpanan biasa.

  • Memahami markah kredit

Hari ini, markah kredit amat penting sebagai penanda aras kestabilan kewangan kita. Ini kerana ia dapat menentukan sama ada kita mampu membayar pinjaman atau tidak dan membenarkan pihak bank menentukan kadar faedah yang boleh ditawarkan. Markah kredit selalunya menentukan peluang mendapat pekerjaan, pembelian/sewa rumah dan pembelian kenderaan.

Perkara sebegini mungkin dianggap topik rumit. Tetapi untuk memastikan markah kredit kita sentiasa memuaskan, sentiasa lakukan perkara-perkara ini. Pertama, bayar pinjaman dan kad kredit pada masa yang tepat. Kedua, membuat pinjaman mengikut kadar kemampuan. Ketiga, sentiasa memantau laporan kredit bagi memastikan ia bebas dari caj kredit palsu atau tuntutan salah.

Tetapi perlu diingat, markah kredit boleh saja berubah mengikut aktiviti kewangan bulanan atau mingguan. Justeru, pemantauan laporan kredit secara berkala perlu dibuat bagi memastikan markah kredit sentiasa berada di tahap memuaskan.

  • Rancang akaun persaraan

Kebiasaannya, perancangan persaraan dari segi kewangan selalunya bermula pada usia muda. Tetapi malangnya, ia hanya difikirkan ramai orang apabila mereka mencecah pertengahan usia 30-an dan sudah mengumpul hutang. Jika dapat keluar dari belenggu hutang sekalipun, ia masih satu usaha sukar untuk mewujudkan persekitaran selesa sebelum bersara.

Justeru, tidak hairanlah bila kita menyimpan dari usia muda, wang dari usaha sepanjang hayat itu dilihat lebih berbaloi berbanding simpanan yang dibuat pada usia tua. Ini berikutan jumlah bunga kompaun dan sedikit pelaburan dikumpul dalam tempoh tersebut membantu melonjakkan jumlah wang dalam akaun berkenaan.

Hari ini, banyak institusi kewangan menawarkan pilihan ini kepada pengguna. Lakukan sekarang sekiranya tidak mahu terlepas peluang. Sebelum membuat akaun ini, tetapkan jumlah wang yang mahu disimpan dalam akaun dan tempoh simpanan. Bagi mendapatkan pilihan terbaik untuk akaun persaraan, rujuk pakar-pakar kewangan yang arif dalam hal ini.

Dalam dunia yang serba moden, terdapat pelbagai cara untuk menambahbaik celik kewangan kita. Ia boleh dilakukan sama ada merujuk kepada buku atau buku audio, laman sesawang, podcast, blog dan video. Atau jika lebih gemar mendengarnya secara terus, hadiri seminar kewangan sama ada secara fizikal atau maya. Kita juga boleh merujuk kepada kaunselor kewangan bertauliah bagi membantu meningkatkan aspek ini.

Malah, terdapat banyak institusi kerajaan dan syarikat dalam industri kewangan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan anak syarikatnya Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang sangat aktif berkongsi ilmu pelaburan dan perancangan kewangan menerusi pelbagai program yang dilaksanakan.

Ini termasuk sesi webinar berkaitan pelaburan dan pengurusan kewangan yang diadakan secara percuma setiap hari, program Sembang-Sembang ASNB yang disiarkan di saluran TV1 RTM, Kuiz Pelaburan PNB dan Fiesta Labur PNB. Kesemua program dianjurkan secara dalam talian dan di media sosial untuk memudahkan capaian orang ramai.

Selain itu, ASNB turut membangunkan laman web ‘Nota Ringgit’ dan Facebook Sembang-sembang ASNB dengan kandungan utamanya memberi tumpuan pelbagai topik berkaitan pelaburan dan pengurusan kewangan. Semua langkah ini bertujuan memudahkan orang ramai mendapatkan ilmu yang betul dan tidak mudah tertipu oleh mitos-mitos pelaburan yang telah menyebabkan ramai terpedaya seperti skim cepat kaya.

Tanpa ilmu pelaburan yang betul, tidak mustahil kita tidak akan mampu mencapai kemerdekaan kewangan sampai bila-bila. Dan terkini, PNB meneruskan program pendidikan pelaburan secara maya dengan penganjuran Minggu Saham Digital yang merupakan siaran langsung selama 7 hari dari 17 November hingga 23 November 2021.

Acara yang berlangsung selama tujuh hari itu menampilkan lebih 70 kandungan menarik, interaktif dan bermanfaat sebagai galakan kepada warga Malaysia untuk mencapai celik kewangan.

Bagi yang ingin mengetahui tentang Minggu Saham Digital, boleh layari laman sesawang https://www.minggusahamdigital.com.my. Boleh juga follow Facebook @MingguSahamDigital atau Youtube www.youtube.com/MingguSahamDigital untuk lebih tahu tentang MSD ini.

RUJUKAN

Jaafar, F. (2021, 17 November). Minggu Saham Digital aims to reach wider audience. The Malaysian Reserve.

White, H. (2021, 1 April). What Is Financial Literacy and Why Is it Important?. VSECU.

Mohd Noor, M. A. dan Md Taff, M. A. (2021, 10 November). Financial literacy a vital asset. New Straits Times.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.