fbpx

Kepentingan Pemilikan Ekuiti

0 311

Bagi peminat sukan bola sepak, kita sudah biasa mendengar berita pengambilalihan pemilikan pasukan seperti Chelsea dan Newcastle United. Perubahan pemilikan berlaku apabila pemilik baru mempunyai saham pegangan mencukupi untuk membuat pengambilalihan. Tetapi untuk memahami lebih lanjut, apa itu saham pegangan atau nama lainnya kepentingan ekuiti?

Secara ringkas, kepentingan ekuiti bermaksud peratusan hak pemilikan oleh individu, syarikat atau organisasi yang dimiliki dalam sesebuah syarikat. Menerusi pemilikan hak ini, ia memberi hak kepada mereka untuk mengundi sebarang keputusan penting dalam syarikat. Ia turut memberi mereka hak menerima dividen daripada keuntungan yang diperoleh syarikat atau penjualan aset. Tetapi dalam sesetengah keadaan, sesetengah syarikat boleh mengeluarkan sebahagian saham ekuiti bukan undian.

Advertisement

Sesebuah syarikat membiayai keperluan perniagaannya menerusi pelbagai cara. Antara kaedah utama ialah menerusi penerbitan modal saham syarikat. Di bawah modal saham, terdapat dua jenis modal saham iaitu modal kepentingan ekuiti dan modal saham keutamaan.

Modal saham keutamaan sering dikelaskan sebagai sekuriti hibrid kerana dividen boleh dibayar pada kadar tetap atau kadar terapung. Pemilik saham sebegini tidak mempunyai kuasa pengundian dalam hal ehwal syarikat tetapi menerima dividen pada kadar yang dijamin.

Apabila syarikat berdepan risiko dibubarkan, mereka akan dibayar terlebih dahulu sebelum diikuti oleh pemegang saham ekuiti. Oleh sebab itu, risiko pegangan saham keutamaan bersifat rendah. Pemegang saham ini sering dilihat sebagai peminjam modal syarikat berbanding pemilik sebenar (pemegang kepentingan ekuiti)

Bagi para pemegang saham ekuiti, mereka menerima dividen pada kadar yang berubah-ubah. Ini kerana dividen hanya akan dibayar kepada mereka selepas pemegang saham keutamaan. Dalam situasi pembubaran syarikat, semua pemiutang dan pemegang saham keutamaan akan dibayar terlebih dahulu sebelum disusuli oleh pemegang kepentingan ekuiti. Oleh sebab itu, kepentingan ekuiti membawa risiko yang lebih tinggi berbanding dengan saham keutamaan.

Peratusan kepentingan ekuiti turut mempengaruhi bentuk sesebuah syarikat. Sekiranya sesebuah syarikat mempunyai pegangan majoriti melebihi 50% dalam satu syarikat, maka ia dapat menubuhkan anak syarikat. Tetapi sekiranya pegangan ekuiti sekitar 20% hingga 50%, maka ia dikenali sebagai syarikat gabungan.

Jadi, bagaimana hendak memiliki kepentingan ekuiti sesebuah syarikat? Bagi syarikat tersenarai seperti konglomerat besar, pembelian boleh dibuat dari pasaran sekunder di mana saham didagangkan secara tetapi atau luar talian oleh broker. Satu lagi pilihan ialah membelinya secara terus di pasaran saham utama.

Bagi syarikat yang tidak tersenarai pula, pemilikan ekuiti selalunya berlegar dalam kalangan sekumpulan kecil pemegang kepentingan. Ekuiti boleh diperoleh dengan syarat usaha tersebut mendapat persetujuan semua pemegang kepentingan.

Ada juga kes di mana individu memperoleh ekuiti secara tidak langsung. Ini terjadi apabila dana bersama dan skim pelaburan berbeza yang disertai mereka melabur dalam modal ekuiti syarikat tersenarai. Selain itu, jika wujud klausa dan terma dalam perjanjian membabitkan pinjaman seperti kegagalan melunaskan pinjaman, maka hak pemilikan kepentingan ekuiti boleh dilaksanakan.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang saham termasuk kepentingan ekuiti, amat molek untuk mengikuti salah satu program Minggu Saham Digital 2021 anjuran PNB. Program yang dimaksudkan ialah program RAIZ Bersama. Program yang akan bermula pada 21 November ini akan mengajar penonton untuk menyimpan dan melabur tanpa menjejaskan sedikit pun gaya hidup mereka.

RUJUKAN

Kepentingan Ekuiti. Know-Base.net.

Perbezaan Antara Saham Ekuiti dan Saham Keutamaan. (2017). BetweenMates.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.