fbpx

Kereta Hibrid Lebih Laris Berbanding Kereta Elektrik

0 147

Sebut saja kereta elektrik, ramai membayangkan kereta ini sebagai perlahan dan menyusahkan dari segi kos dan kemudahan pengecasan.

Mungkin bagi para pembaca, ada melihat tona penulis sama saja dengan trio bekas hos Top Gear iaitu Jeremy Clarkson, Richard Hammond dan James May.

Advertisement

Namun hujah mereka berkenaan kereta elektrik ada asasnya menerusi episod keenam siri ke-17 Top Gear.

electric car

Ya, kereta elektrik kini menjadi pilihan ramai kerana mesra alam sekitar. Kelajuannya juga memuaskan seiring dengan perubahan teknologi terutama dengan inovasi yang dibawa oleh pembuat kenderaan elektrik Tesla.

Walau bagaimanapun terdapat dua perkara masih tidak berubah, lingkungan jarak pemanduannya masih tidak memuaskan dan akses kepada pengecasan elektrik masih terhad.

Atas sebab itulah, bagi pengguna seperti Mark Briggs dari Massachusetts, Amerika Syarikat, dia lebih rela menggunakan kenderaan hibrid daripada kenderaan elektrik untuk perjalanan jarak jauh.

Walaupun memiliki kereta elektrik model Leaf yang dihasilkan Nissan sejak lima tahun lepas, dia masih tidak melepaskan Toyota Priusnya.

Dia berkata, “Benda baik tentang Prius ialah ia sebuah kereta yang cekap dan jaraknya tidak terhad seperti kereta elektrik kami.” Jurutera mekanikal itu mendedahkan Nissan Leaf digunakan isterinya untuk berulang-alik ke tempat kerja sementara Prius digunakan untuk perjalanan jarak jauh.

Briggs menambah, “Ia tidak praktikal untuk kami berhenti dan masa mengecas mengambil masa terlalu lama.”

Atas sebab inilah, pengeluar-pengeluar kenderaan konvensional berdepan dilema sama ada beralih sepenuhnya kepada kenderaan elektrik atau tidak.

Hal ini demikian kerana pada tahun 2022 sahaja, terdapat 500 model kereta elektrik yang akan berada di pasaran. Jadi, pilihan alternatif bagi pengeluar-pengeluar kenderaan konvensional ialah kereta hibrid.

Kereta hibrid sebenarnya telah diperkenalkan lebih 20 tahun lepas menerusi model Toyota Prius pada tahun 1997.

Walaupun kereta elektrik dianggap pemangkin kepada masa hadapan, kenderaan hibrid terus mendapat sambutan dengan kenaikan sebanyak 17% di AS dari 2018 hingga 2019 dan Kesatuan Eropah (EU) (22%).

Di China pula, jenama kenderaan hibrid Jepun mendapat sambutan hangat dalam kalangan penduduk dengan penambahan sebanyak 30%.

toyota

Ianya menjadikan segmen pasaran kenderaan berkenaan sebagai segmen pasaran yang paling cepat berkembang.

Sementara kenderaan elektrik pula hanya mencatat pertambahan sebanyak enam peratus dari 2018 hingga 2019, lebih sedikit berbanding peratusan dua digit yang ditunjukkan pada 2017 hingga 2018.

Selain menawarkan penjimatan dari segi kos tenaga dan boleh bergerak dengan jarak yang lebih jauh berbanding kenderaan elektrik, hibrid menjadi pilihan kerana ia disokong enjin berkuasa minyak.

Hal ini membolehkan pek bateri yang kurang mahal dipasang pada kenderaan sekaligus lebih berpatutan kepada pengguna yang inginkan kenderaan yang mesra alam sekitar.

Bagi memenuhi permintaan pasaran, Toyota dan Panasonic membentuk satu kerjasama penghasilan bateri yang dikenali sebagai Prime Planet Energy & Solutions Inc.

Mengikut rancangan, entiti ini akan menghasilkan bateri untuk 500,000 kenderaan hibrid pada tahun 2022. Mungkin ini sekadar pengumuman biasa tetapi ini merupakan petanda sesetengah pemain industri mula beralih kepada hibrid.

Honda pula sudah mengumumkan tidak lagi menjual model kereta berkuasa minyak dan diesel saja di Eropah pada tahun 2022. Sementara Toyota melihat kenderaan hibrid menjadi sebahagian daripada suku hasil jualan mereka dalam satu sidang media pada minggu lepas.

Jika tidak kerana kekurangan kapasiti di kilang mereka, syarikat itu sudah pasti akan menjual lebih banyak kenderaan hibrid di pasaran.

Begitupun, Toyota tidak harus leka dengan hibrid dan berusaha menghasilkan kenderaan elektrik sama seperti pengeluar-pengeluar kenderaan lain.

Jika mereka gagal berbuat demikian, ia boleh mengakibatkan mereka tidak melepasi piawaian had perlepasan yang ditetapkan EU menjelang tahun 2025.

Bagi Colin McKerracher dari Bloomberg New Energy Finance, pengeluar-pengeluar kenderaan perlu menyeimbangkan antara pematuhan peraturan kenderaan mesra alam sekitar sesebuah negara dengan alternatif yang digunakan.

Hal ini disebabkan oleh jika hibrid tidak lagi berfungsi sebagai alternatif, maka syarikat berdepan kesukaran mematuhi peraturan yang ditetapkan.

McKerracher menambah syarikat-syarikat pengeluar juga harus memerhatikan trend kenaikan harga minyak dan peraturan bahan api sesebuah negara.

Dua faktor ini yang menentukan sama ada kenderaan elektrik menjadi pilihan pengguna atau wujud peluang untuk hibrid mendapatkan kek perkongsian pasaran automotif.

Apa yang pasti bagi Toyota, hibrid dianggap batu loncatan untuk pengeluar kenderaan Jepun itu beralih kepada perubahan teknologi seterusnya.

Dalam sesi taklimat yang diadakan pada bulan lepas, Ketua Pegawai Persaingan (CCO) Toyota, Shigeki Terashi, syarikat memang membuat pelaburan besar untuk kenderaan elektrik dan sel bahan api.

Namun selagi mana permasalahan teknologi yang digunakan untuk dua kenderaan itu masih belum diperbaiki, maka hibrid merupakan pilihan terbaik ketika ini.

Toyota dijangka akan membelanjakan AS$13.5 bilion sehingga akhir dekad ini bagi memastikan semua kenderaan yang dihasilkan ialah kenderaan elektrik.

Mereka turut mensasarkan penjualan sebanyak 4.5 juta kereta hibrid dan sejuta kereta elektrik menjelang 2030.

Source Davis, R. (2020). Hybrids Are Quietly Selling Faster Than Fully Electric Cars. Bloomberg.
You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.