
Kerja 8 Jam, 5 hari Seminggu Dah Tak Relevan?
COVID-19 telah membangkitkan perbincangan baru tentang jumlah hari kerja setiap minggu. Sebelum pandemik, Dunia Barat agak terbelah tentang topik ini.
Ada yang cakap empat hari seminggu lebih efisyen. Manakala ada cakap lima hari seminggu lebih baik untuk pengurusan. Ada saja pendapat bab ini, siap berdebat dan bertelagah pun ada.
Advertisement
Asasnya jumlah jam kerja dalam seminggu adalah sama. Kalau lima hari seminggu, sehari bekerja selama lapan jam (8 jam x 5 hari = 40 jam seminggu). Kalau empat hari, sehari bekerja 10 jam (10 jam x 4 hari = 40 jam seminggu). Bezanya setiap hari tambah dua jam.

Tetapi sekarang ada dimensi baru. Lagi baik kalau dua hari di tempat kerja dan tiga hari bekerja dari rumah (atau terbalik). Kalau operasi kerja boleh siap di rumah, untuk apa pekerja perlu harung sesak dan bazir minyak bagai.
Untuk pembentangan, tunggu sajalah hari pejabat. Kira bagus sangat guna cara ini. Hubungan kekeluargaan pun bertambah mantap kerana suasana lebih mesra. Jangan tengok negara luar.
Persekitaran kerja Malaysia sendiri diisytiharkan tidak kondusif untuk wanita berkahwin (Mariappan, 2015). Sekurang-kurangnya 30 peratus wanita berhenti kerja selepas kahwin (Ridzuan, 2019), menunjukkan halangan besar dalam sektor pekerjaan untuk satu jantina.
Jika bekerja daripada rumah boleh mengukuhkan suasana supaya lebih kondusif, tentu sekali semua orang dapat manfaat. Gandingan dalam kalangan syarikat boleh membina sosiologi pekerjaan dalam negara, oleh kerana manfaat kepada generasi terkemudian.

Maka pada dasarnya, sistem pekerjaan ini hanya perlu memerangi prejudis sahaja. Dulu ada satu kajian yang pekerjaan dari rumah adalah lebih produktif. Walau bagaimanapun, potensi kenaikan pangkit automatik turun 50 peratus (Bloom, et al., 2014).
Tidak pasti kenapa – mungkin kerana kurang ruangan untuk membodek. Mungkin prejudis semulajadi atas persepsi negatif seolah-olah bekerja dari pejabat adalah lebih rajin. Ataupun kerana kurang berhubung semuka dengan golongan pengurus, seperti (AGPC, 2021) sampaikan dengan hujah susah berkolaborasi.
Cuma masalahnya, dapatan Universiti Sydney sendiri membuktikan pengurus suka bekerja di rumah. Siap kalau boleh sebulan sembilan hari.
Nampak sangat ada unsur diskriminasi, sekalipun dalam kalangan gergasi Internet seperti syarikat Google yang menyediakan pakej 1) kerja di pejabat atau 2) kerja dari rumah. Tetapi pakej kedua perlu tanggung pengurangan gaji (Kaye, 2021).
Padahal syarikat Google lebih liberal dalam bab suasana kerja. Bayangkan syarikat yang mengamalkan budaya kerja lebih konservatif. Walau bagaimanapun, pendirian Google tidak semestinya menjadi cerminan buat semua.

Sesetengah syarikat lagi suka dengan sistem bergabung – hari ini pejabat, hari esok dari rumah. Suasana lebih fleksibel sebegini adalah suatu cara yang lebih moden, kerana syarikat perlu menjawab soalan utama: kalau boleh selesai di rumah, kenapa perlu datang pejabat?
Bukan maksud jangan datang pejabat langsung. Perbincangan sekarang bukan bekerja dari rumah sepanjang masa. Pandemik COVID-19 menghampiri kesudahan, dengan SARS-CoV-2 menjadi endemik. Isu “sepanjang masa” sudah lama berakhir. Sekarang isunya adalah gabungan antara dua sistem untuk memberi fleksibiliti kepada pekerja.
Cuma bab ini memang tiada jawapan melainkan jika syarikat sendiri berkomited ke arahnya. Pihak pengurusan wajar merancang betul-betul, untuk bersedia yang mungkin satu hari nanti metaverse akan ambil alih bentuk pekerjaan.
RUJUKAN:
AGPC. (2021). Working from home. Research Paper.
Bloom, N. et al. (2014). Does Working from Home Work? Evidence from a Chinese Experiment. The Quarterly Journal of Economics. 130 (1): 165-218.
Kaye, D. (2021, Ogos 11). Pay cut: Google employees who work from home could lose money. Reuters.
Mariappan, T. (2015, Jun 2). Malaysian working environment not conducive for married women, families – TalentCorp. Astro Awani.
Ridzuan, M. (2019, Disember 14). 30 hingga 40 peratus wanita berhenti kerja selepas kahwin. Sinar Harian.