fbpx

Kesan Coronavirus Terhadap Industri Pelancongan

0 989

  • Pelancong China merupakan pelancong ketiga teramai yang mengunjungi Malaysia pada 2019


Advertisement

  • Antara langkah yang diambil pada tahun 2003 ialah memberi rebat kepada bil-bil utiliti, pengurangan cukai untuk sektor perhotelan, restoran dan teksi


Tatkala China terus bergelut menangani penyakit Koronavirus Baru yang menyaksikan kes jangkitan sebanyak lebih 14,000 kes dan lebih 300  kes kematian, impak penyakit ini bukan saja memberi kesan kepada Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) tetapi juga sedikit sebanyak ekonomi negara.

 

Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dalam kenyataannya minggu lalu mengumumkan akan menyemak semula sasaran asal TMM2020 dan menilai sama ada ia masih boleh dicapai atau tidak berikutan penyebaran virus ini. Timbalan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Muhammad Bakhtiar Wan Chik mengakui pihak kementerian tidak tahu berapa lama situasi ini akan berterusan. Walaupun sesetengah pihak menyifatkan situasi ini bersifat sementara, beliau menambah ia mungkin akan mengambil masa beberapa ketika sebelum keadaan kembali menjadi normal.

 

Berdasarkan laporan New Straits Times, tindakan kerajaan China menggantung kemasukan atau pengeluaran kumpulan-kumpulan pelancong bakal memberi kesan kepada industri pelancongan negara dengan kerugian dianggarkan bernilai jutaan ringgit. Menurut statistik Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia, pelancong China merupakan pelancong ketiga teramai yang mengunjungi Malaysia selepas Singapura dan Indonesia dari Januari hingga September 2019.

 

Dengan mengambil kira statistik yang dinyatakan di atas, tidak hairanlah mengapa ramai pengusaha industri pelancongan mengeluh dengan situasi yang dihadapi mereka. Menurut Bakhtiar, antara yang paling terjejas akibat tindakan Beijing ialah Persatuan Kemasukan Pelancong Malaysia. Oleh sebab itu, pemain-pemain industri memohon bantuan pihak kerajaan termasuk mencari pasaran negara lain. Tambah beliau lagi, pihak kementerian akan berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan kesan tindakan pengehadan pergerakan pelancong China terhadap industri pelancongan negara.

 

Namun, respon sesetengah pihak yang menutup sesetengah kawasan tumpuan pelancong akibat Koronavirus menimbulkan rasa kurang senang Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Mohammadin Ketapi. Beliau menyifatkan langkah berkenaan berpotensi menimbulkan panik sambil menegaskan sasaran TMM2020 yang ditetapkan sebelum ini tidak akan berubah di sebalik ancaman Koronavirus. Namun, pendirian beliau diselar ramai pihak yang menyifatkannya seperti katak di bawah tempurung dan tidak mengambil berat kesejahteraan rakyat terutama dalam soal kesihatan.

Baca: Visit Malaysia 2020, Mampukah Sasaran 30 Juta Pelancong Dicapai?

Tetapi yang pasti, penganalisis pasaran sudah melihat ia bakal memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Jika situasi Koronavirus ini sama seperti situasi SARS yang pernah dihadapi negara pada tahun 2003, sudah pasti kerajaan perlu melakukan pelbagai langkah yang dibuat sebelum ini. Antara langkah yang diambil pada tahun 2003 ialah memberi rebat kepada bil-bil utiliti, pengurangan cukai untuk sektor perhotelan, restoran dan teksi. Menurut Kenanga Research, langkah-langkah yang diambil pada ketika itu amat efektif. Tetapi ia juga bakal menyukarkan usaha kerajaan mencapai sasaran pengurangan sasaran defisit fiskal sebanyak 3.2% pada tahun ini berbanding 3.4% pada tahun lepas. Kerajaan juga dilihat perlu terus proaktif dan mengambil kaedah diperlukan untuk terus menyokong ekonomi. Kenanga Research menjangkakan Bank Negara Malaysia akan memotong Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata dan langkah tersebut dijangka akan dibuat oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Mac atau separuh tahun kedua 2020.

 

Dari segi penarafan kredit pula, Fitch Ratings berpandangan negara-negara yang paling terdedah sekiranya skala penyebaran Koronavirus bertambah secara signifikan ialah negara-negara Asia Pasifik termasuk negara-negara yang aktif dari segi industri pelancongan seperti Singapura, Thailand dan Vietnam. Fitch turut menyifatkan selain sektor pelancongan, sektor penerbangan, perjudian, perhotelan dan hiburan juga akan merasa penangan negatif daripada krisis ini. Bagi negara yang mempunyai pelampung kewangan yang besar dan berupaya mengurangkan risiko makroekonomi, itu tidak menjadi masalah. Tetapi bagi negara yang mempunyai sasaran mengukuhkan kedudukan fiskal mereka untuk jangka masa sederhana seperti Malaysia dan Sri Lanka, negara-negara ini tidak mempunyai ruang mencukupi untuk melonggarkan dasar fiskal mereka sekiranya berlaku krisis ekonomi.

 

Rujukan: Malaysian Reserve, NST

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.