fbpx

Kesukaran Iraq Mempelbagaikan Kegiatan Ekonominya

0 590

Semua sedia maklum dengan situasi pandemik Covid-19, ia memberi kesan kepada ekonomi global.

 

Justeru bagi banyak negara, inilah peluang untuk mereka mempelbagaikan pendapatan kewangan masing-masing agar tidak bergantung kepada satu sumber saja.

 

Advertisement

Namun dalam kes Iraq, ini bukan sesuatu yang mudah seperti diakui penulis The Political Economy of Iraq: Restoring Balance in a Post-Conflict Society, Frank R. Gunter.

Kredit: Rawabetcenter

Pertama, sektor minyak dan gas negara itu masih lagi ketinggalan berbanding negara-negara pengeluar minyak serta gas lain.

 

Berdasarkan satu laporan akhbar The New York Times, Iraq digelar unik kerana masih mengimport gas untuk kegunaan tenaga berbanding memanfaatkan gas asli selalunya dibakar ke udara.

 

Ianya merupakan satu kesilapan besar kerana sekiranya gas asli ini disalurkan untuk kegunaan tenaga, ia boleh menghasilkan tenaga elektrik untuk tiga juta isi rumah dan memberi suntikan besar kepada sektor perindustrian negara itu.

 

Kedua, sektor pertanian Iraq terus bergelut. Selain masalah perubahan iklim dan aspek keselamatan yang rapuh, sektor ini turut berdepan saingan daripada produk pertanian import terutama dari Iran sekaligus menyaksikan sektor tersebut berdepan kerugian.

 

Bagi Gunter, dua isu ini menyerlahkan masalah sebenar Iraq iaitu pengangguran. Tambahnya, “Setiap tahun, terdapat 900,000 orang Iraq yang bersedia untuk bekerja. Di Baghdad saja, di sudut jalan-jalan terdapat sekumpulan pemuda yang melepak dan merokok saja.” Beliau menjangkakan Iraq harus menjana sekurang-kurangnya 325,000 pekerjaan setiap tahun.

 

Jika isu ini tidak dapat diselesaikan, maka Iraq bakal bergelut membayar hutang kewangan negara sejak tahun 2006.

 

Malah, ini juga merupakan punca protes jalanan yang diadakan sejak Oktober tahun lepas berikutan kegagalan kerajaan merangsang kembali sektor perindustrian, menjana peluang pekerjaan kepada mereka dan membasmi kegiatan rasuah yang berleluasa.

 

Memang benar Baghdad mempunyai keinginan politik untuk mengubah situasi ini. Malangnya, perubahan yang dibuat bersifat remeh dan langsung tidak membantu meraih keyakinan dalam kalangan para pelabur.

 

Ketika ini, Iraq dalam proses mengubah semua polisi perniagaan mereka agar dapat lari daripada sistem birokratik sosialisme yang diamalkan Parti Baath dari 1968 hingga 2003.

 

Namun begitu, dalam konteks hari ini, usaha tersebut memerlukan tempoh masa sekurang-kurangnya 10 tahun tetapi Iraq memerlukannya dalam tempoh setahun.

 

Satu solusi yang dicadangkan Gunter ialah meniru pelan biru ekonomi Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi membolehkan Baghdad mempelbagaikan pendapatan ekonominya dan tidak terlalu bergantung kepada sektor minyak semata-mata.

 

Malangnya, isu birokrasi ini turut membawa permasalahan kronik yang membelenggu mana-mana negara dan tamadun iaitu rasuah.

 

Semuanya kerana satu fasal undang-undang bersifat Napolean ini, “Semua perkara dilarang kecuali apa yang dibenarkan undang-undang.” Bagi pencipta dan usahawan muda, ini merupakan satu masalah besar.

 

Tambah Gunter, kerenah birokrasi yang merenyahkan ini mendorong sesetengah usahawan terpaksa membayar rasuah kepada pegawai-pegawai kerajaan bagi membolehkan permohonan mereka diluluskan.

 

Bagi yang cuba mengikut lunas undang-undang sana, suka atau tidak, mereka harus mengupah peguam untuk menyelesaikan hal ini dan kadang-kadang mengambil masa berbulan-bulan untuk diselesaikan.

 

Bagi ekspatriat Iraq yang berpangkalan di Toronto, Kanada, Salim Hamra, terdapat banyak sebab yang mengakibatkan Iraq terus mundur sehingga hari ini. Salah satunya ialah salah laku dan intepretasi undang-undang pelaburan di negara itu.

 

Hamra berkata,

“Isunya di sini ialah bagaimana pihak berkuasa mengintepretasikan undang-undang pelaburan. Polisi pelaburan seharusnya menggalakkan orang melabur melalui pelbagai inisiatif. Masalahnya, individu yang menguruskan program berkenaan menganggapnya sebagai peluang merebut bidaan kontrak kerajaan.

“Mereka akan duduk dan bertemu dengan para pelabur dengan mentaliti ‘Apa yang anda boleh tawarkan kepada saya (rasuah)’ daripada mentaliti ‘Apa yang Iraq boleh tawarkan kepada anda’.”

 

Hamra turut mengakui sistem cukai juga perlu diperbaharui tetapi dengan kebanyakan penduduk berada di bawah paras pendapatan minimum, agak sukar untuk ia dilakukan.

 

Di samping itu, Iraq juga perlu memutuskan apa yang hendak dilakukan dengan militan-militan yang dibiayai oleh Iran.

 

Selagi kumpulan-kumpulan ini terus bebas, ia akan menyukarkan usaha Baghdad melaksanakan reformasi kewangan seterusnya menstabilkan semula kedudukan ekonominya.

Source Al-Shibeeb, Dina. (2020). Oil-dependent Iraq must ‘diversify rapidly’ as challenges stifle young population. Al-Arabiya.
You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.