
Ketidakseimbangan Ekonomi Taiwan
Sebut saja Taiwan, ramai membayangkan Taipei 101, penglibatan negara itu dalam penghasilan cip semikonduktor dan kejayaan melawan Covid-19. Di sebalik kejayaan ini, ia menyembunyikan satu fakta. Fakta bahawa pekerja-pekerja biasa bergelut dari segi ekonomi hampir setiap hari.
Contoh paling mudah, Vivian Liao, 22. Untuk melepasi kehidupan seharian dengan gaji minimum 160 dolar Taiwan, dia mendapat diskaun bila berbelanja di kedai-kedai kampus termasuk 7 Eleven – tempat dia bekerja sambilan. Vivian layak mendapatnya kerana dia seorang pelajar universiti.
Advertisement
Satu lagi taktik ialah budaya pembelian makanan bungkus di Taiwan. Kedai-kedai sarapan pagi menawarkan makanan seperti sandwich dan mi dengan harga kurang daripada 50 dolar Taiwan. Jika membuat pembelian di gerai-gerai jalanan atau kedai serbaneka, kos hidangan sekitar 60 dolar Taiwan hingga 150 dolar Taiwan. Restoran yang menawarkan bufet daging atau alternatif bagi penganut Buddha pula membenarkan pelanggan memilih dan mengenakan harga mengikut berat hidangan.

Bagi Liao, sebelum era pra-pandemik, wang belanja makanan sepatutnya cukup sehingga akhir bulan. Tetapi apabila pandemik melanda, dia tidak dapat bekerja selama empat bulan sekaligus tidak mempunyai gaji dalam tempoh itu. Sekarang, Vivian merasakan peruntukan wang tersebut tidak cukup untuk bertahan..
Apa yang dihadapi wanita ini merupakan sebahagian daripada permasalahan golongan miskin bekerja di Taiwan. Mengikut data Institut Penyelidikan Ekonomi Taiwan (TIER), kelompok ini terdiri daripada kerani kedai serbaneka hinggalah pekerja domestik (pembantu rumah) dan pekerja kilang.
Pada Januari lepas, Taiwan mengumumkan kenaikan gaji minimum sebanyak 5%. Tetapi kenaikan tersebut masih meletakkan gaji minimum negara itu ketinggalan di belakang Jepun dan Korea Selatan. Walaupun kos sara hidup di Taiwan rendah dengan pendidikan, penjagaan kesihatan dan utiliti adalah percuma, purata gaji Taiwan masih tidak berubah iaitu sekitar 55,000 dolar Taiwan sebulan.
Bagi felo penyelidik Tzu-Ting Yang, keadaan ini berlaku berikutan kejatuhan harga eksport negara itu. Felo penyelidik dari Institut Ekonomi, Akademia Sinica Taiwan itu melihat sebab ini mendorong ramai orang termasuk golongan profesional berhijrah ke tempat lain termasuk China. Akibatnya, Taiwan kini berdepan masalah kekurangan tenaga pakar dalam pelbagai bidang.
Isu sama turut menjadi punca kemerosotan kadar kelahiran negara itu. Mengikut rekod Buku Dunia yang dikeluarkan Agensi Perisikan Pusat (CIA), Taiwan mempunyai kadar kesuburan paling rendah di dunia.
Kerajaan Taiwan mendakwa kerajaan pimpinan Presiden Tsai Ing-wen berusaha mengatasi masalah ini dengan memberi kenaikan gaji minimum untuk enam tahun berturut-turut. Gaji sebenar pekerja turut meningkat dalam tempoh empat tahun iaitu dari 2017 hingga 2020. Tetapi bagi rakyat Taiwan, walau sebanyak mana kenaikan gaji yang dinyatakan, ia tidak cukup untuk meliputi kos sara hidup termasuk penjagaan anak dan perumahan.
Bagi Lu, 24, gaji yang diperoleh sebagai penjual buah dan pengajar luncur di sebuah sekolah rendah masih tidak mencukupi. Jika dia memilih menyewa seorang diri dengan gaji dua pekerjaan itu, dia pasti tidak akan dapat bertahan. Bagi Lu, ia langsung tidak berbaloi selepas bersusah payah setiap minggu mencari pendapatan.
Satu lagi tanda ada benda tidak kena dengan ekonomi Taiwan ialah orang tidak berbelanja tidak sebanyak seperti disangka. Dan ini menunjukkan kenaikan gaji tidak cukup pantas untuk merancang sentimen perbelanjaan dalam kalangan orang ramai.
Menurut penganalisis Nick Marro, dari satu segi entiti elektronik dan pembuatan cip sememangnya menikmati keuntungan dengan menjual produk mereka ke negara-negara asing. Dan ini membolehkan mereka memberi kenaikan gaji atau bonus kepada pekerja. Tetapi sentimen sama tidak dirasai oleh sektor domestik dari industri keraian hinggalah pelancongan.

Ini menunjukkan ketidakseimbangan membelenggu ekonomi Taiwan hari ini. Selagi isu ini masih wujud, maka bermimpilah pentadbiran Ing-wen untuk membina ekonomi yang adil kepada warganya.
RUJUKAN
Hale, E. (2021, 2 November). Taiwan’s tech boom masks a daily struggle for the masses. Nikkei Asia.