fbpx

Kisah E-Dompet Korea Selatan

0 506

Seiring dengan perkembangan semasa, semakin banyak negara memanfaatkan sistem e-dompet untuk kegunaan warga mereka. Antara negara yang dilihat berjaya beradaptasi dengan sistem e-dompet ialah Korea Selatan. Warganya banyak menggunakan e-dompet untuk pelbagai transaksi dalam dan luar talian.

Mengikut Laporan Penggunaan Pembayaran Elektronik yang dikeluarkan pada 2018, warga Korea Selatan berbelanja sekurang-kurangnya ₩2.12 juta (RM 7492.76) sehari menggunakan e-dompet pada 2017. Perbelanjaan menggunakan e-dompet naik sebanyak 147.4% berbanding tahun sebelumnya.

Advertisement

Antara syarikat yang merebut peluang menawarkan khidmat e-dompet ialah Samsung menerusi Samsung Pay. Samsung Pay yang dilancarkan pada 2015 bukan sekadar menawarkan e-dompet tetapi khidmat pembayaran mudah alih berasaskan teknologi komunikasi medan dekat (NFC) dan transmisi magnetik selamat. Menerusi dua teknologi ini, ia membolehkan pengguna membuat bayaran menggunakan telefon yang telah dihubungkan dengan kad kredit atau kad debit.

Sejak dilancarkan, jumlah transaksinya kini melebihi ₩40 trilion (RM 141.5 bilion) setakat April 2019 dengan jumlah pelanggan melebihi 14 juta orang. Pada 2018 sahaja, 80% transaksi pembayaran mudah di Korea Selatan membabitkan perkhidmatan Samsung Pay.

Sebelum Samsung, Kakao merupakan pelopor pembayaran mudah alih menerusi Kakao Pay pada 2014. Menerusi Kakao Pay, pengguna boleh membuat pembayaran mudah alih dan transaksi dalam talian menerusi teknologi NFC dan kod QR. Sejak itu, firma teknologi Korea Selatan itu melebarkan lagi sayapnya dalam bidang kewangan menerusi pembukaan bank (Kakao Bank), pelaburan (Kakao Investment) dan kereta debit.

Kakao kini mempunyai lebih 10 juta orang pengguna dengan transaksi kini melebihi ₩2.3 trilion (RM8.1 bilion) setakat Oktober 2018. Berikutan pertambahan bilangan pelanggan dan servis yang digunakan, Kakao mendapat suntikan pelabur luar menerusi Ant Financial yang dimiliki Alibaba dengan nilai pelaburan AS$200 juta (RM 828.7 juta).

Pada tahun sama Kakao Pay dilancarkan, Naver turut melancarkan Naver Pay di mana ia mirip kepada aplikasi pembayaran mudah alih PayPal. Setakat Oktober 2018, bilangan penggunanya kini mencecah 26 juta orang dengan nilai purata transaksi bulanan sekitar ₩900 bilion (RM3.1 bilion).

Pembayaran kod QR mungkin masih baru di Korea Selatan. Tetapi itu tidak menghalang perkhidmatan seperti Kakao QR Pay bertapak dan mendapat tempat di hati pengguna. Setakat Disember 2018, mereka merekodkan transaksi sebanyak ₩3 trilion (RM10.6 bilion) dan mempunyai 190,000 premis yang bertindak sebagai rakan syarikat yang menawarkan perkhidmatan itu.

Sementara tiga buah syarikat kad kredit iaitu BC Card, Shinhan Card dan Lotte Card pula menawarkan solusi komersial yang dikenali sebagai Joint QR Pay. Bezanya di sini ialah setiap permintaan pembayaran akan dikumpul dan bayaran dibuat pada akhir bulan sama seperti kad kredit.

Kerajaan Korea Selatan menerusi Kementerian Industri Kecil dan Sederhana (KIKS) dan bandaraya Seoul turut melancarkan sistem pembayaran mudah alih dikenali sebagai Zero Pay. Sistem ini dijayakan dengan kerjasama institusi kewangan dan bank-bank. Ia digunakan dengan cara mengimbas kod QR sesebuah vendor perniagaan. Zero Pay boleh diakses menerusi pelbagai aplikasi bank-bank utama Korea Selatan dan Bank Pay.

Dan dijangkakan lebih banyak pemain bukan perbankan menyertai perkhidmatan pembayaran mudah alih dan e-dompet Korea Selatan. Ini disebabkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kewangan (FSC) telah membuka ruang seluas-luasnya kepada pemain-pemain industri perbankan menyertai perkhidmatan itu.

Ini sudah pasti mendorong pemain-pemain sektor perbankan dan teknologi kewangan bekerjasama dan berinovasi dalam membangunkan produk mereka. FSC turut merancang membangunkan sistem perbankan terbuka pada akhir tahun 2019. Ini termasuk meminda Akta Transaksi Kewangan Elektronik Korea Selatan.

RUJUKAN:

Fintech News Hong Kong. (2019). A Look into South Korea’s Booming E-Wallet Scene.

Sumber gambar: Shutterstock

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.