fbpx

Kisah Kejatuhan Syarikat Zaitun Industries

0 2,950

Jenama Zaitun ini cukup ikonik pada tahun 90-an. Tiba-tiba jenama ini lesap hilang. Ramai yang buat spekulasi punca kejatuhan, ada yang sebut orang dengki lah, perkauman lah. Ini tulisan saya 2 tahun lepas.

 

Zaitun Industries ditubuhkan oleh pengasasnya DS Hj Mohammad Eusuff Teh dengan mengambil sempena nama anak perempuannya pada 1978. Pada awal penubuhannya memang hebat. Mereka menjadi perintis produk halal muslim dengan slogan halal gunakan tanpa was-was dlm sektor peralatan mandian dan kosmetik.

 

Advertisement

Produk mereka dieksport ke Brunei, Singapore, Indonesia dan sebagainya. Antara produk yang laris ialah ubat gigi Zaitun. Sehingga dikatakan Colgate Malaysia pun “terancam” dengan kehadiran pemain baru ini. Prospek Zaitun dianggap cerah dan mempunyai harapan yang agak tinggi untuk maju ke hadapan

 

Permulaan cerita sebenar bila mana Zaitun Berhad disenaraikan di papan kedua KLSE pada 06/1997 oleh anak pengasas Dato Mohd Kamal. Semasa penyenaraian Zaitun, dalam unjuran keuntungan yang disebut prospektus dikatakan dalam RM5.7 juta & pasca penyenaraian lebih kurang RM4.3 juta tahun 12/1997.

 

Sebaliknya selepas penyenaraian, pada tahun kewangan yang sama 1997 laporan kewangan menyebut Zaitun kerugian sebanyak RM14 juta berbanding unjuran RM4.3 juta. Ia merupakan perbezaan yang sangat besar berbanding unjuran & laporan (Forecast vs Actual). Bayangkan Untung RM4.3 juta menjadi rugi RM14 juta.

 

Zaitun mengalami kerugian semenjak tahun pertama penyenaraian. Ekuiti pemegang saham yang bermula RM41 juta pada 1997 menjadi defisit -RM29 juta pada tahun 2001. Kejatuhan Zaitun bukanlah sesuatu yang pantas tetapi ia adalah penderitaan kesakitan yang berpanjangan.

 

Bayangkan bila disenaraikan pada Jun 1997, Zaitun telah memeterai penjanjian pembelian tanah RM36 juta dengan Benua Rezeki Sdn Bhd di mana Pengarah Zaitun sendiri juga adalah pengarah dalam Benua Rezeki (iaitu Mohd Kamal Mohd Eusuff dan Aisha Mohd Eusuff – adik beradik).

 

31.12.97, 50% deposit telah dibayar. Tetapi perjanjian jual beli dibatalkan & deposit sepatutnya dipulangkan sebulan dalam tempoh 6 bulan tetapi setakat Ogos 1998, hanya RM345,000 sahaja dipulangkan. Ini adalah dikategorikan sebagai RPT (Related Party Transaction) & tidak mendapat kebenaran (approval).

 

Dalam tahun yang sama, pihak pengurusan syarikat telah melibatkan diri dalam perdagangan saham (share trading) menggunakan pembiayaan margin (share margin financing) sebanyak RM20 juta (ini kira baru tahun pertama penyenaraian) pada tahun 1997.

 

Tiada pendedahan (Disclosure requirement) ke atas aktiviti perdagangan saham atas sebab apa transaksi ini dilakukan dan tidak mendapat persetujuan dari pemegang saham. Setiap material aktiviti dalam syarikat disenarai awam mesti ada ketelusan sebab ia melibatkan duit pemegang saham.

 

Tiada pendedahan, maka pemegang saham tidak sedar dengan transaksi ini. Setelah dapat diketahui, pendedahan dibuat bahawa pada September hingga November 1997, pembelian saham dibuat ke atas 13.7% Hai Ming sebanyak RM13.7 juta dan 1.48% (RM3 juta) dalam Grand Central Enterprise

 

Kedua-dua saham ini kemudiannya dijual pada RM6.5 juta menyebabkan kerugian (realized net loss) RM10.2 juta. Sekali lagi, Dato Mohd Kamal dikatakan mempunyai pegangan 6% dalam GCE paid up capital. Zaitun didenda ke atas RPT (related party transaction) yang dilakukan.

 

Zaitun telah dinyahsenarai dari KLSE pada 16 Jun 2003 kerana gagal mematuhi langkah penstrukturaan semula untuk status PN4 (sekarang dikenali GN3 untuk ACE market untuk syarikat yang mengalami masalah kewangan).

 

Skandal Zaitun ini jelas menunjukkan:

1. Pelanggaran yang serius dalam prinsip corporate disclosure and ketelusan dalam menjalankan transaksi yang tidak mendapat mandat dari pemegang saham.

 

2. Kegagalan pengarah menjalankan tanggungjawab fidusiari – pengarah eksekutif & pengarah bukan eksekutif (Executive Directors dan Non-Executive directors) yang sepatutnya menjadi penjaga ketelusan, akauntabiliti & tadbir urus korporat (guardian of transparency, accountability & CG)

 

Era 1997, banyaknya berlaku tadbir urus korporat yang teruk. Ketidakfahaman lembaga pengarah dalam tanggungjawab mereka. sebab itu, kita tengok banyak kejatuhan syarikat disenarai awam selepas krisis kewangan 98.

 

Timbalan Pengerusi zaitun ketika itu adalah Mutiara Rokiah yang mana beliau adalah isteri dan ibu kepada Pengarah dalam Zaitun sendiri.

 

Masalah zaitun bukan terhenti pada tadbir urus korporat sahaja tetapi ia termasuk masalah pengurusan & model perniagaan zaitun sendiri seperti isu pengedar & cuba menceburi bidang MLM untuk pengedaran produk mereka.

 

Antara punca utama kerugian ialah pengedaran produk mereka. Antara pengedar mereka seperti Boustead trading, Harrison, Harpers dan Sime Darby Marketing. Asyik tamatkan pengedar mereka yang berakhir dalam mahkamah.

 

Zaitun juga dikatakan memberi jualan kredit yang agak longgar, hutang pelanggan (credit sales) adalah 95% jumlah jualan. Dan Zaitun membuat pinjaman hutang yang melebihi dari jualan syarikat. Begitulah ceritanya.

 

Artikel ini ditulis oleh Zayed Zulkifli

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.