fbpx

Konsep Invisible Hand Zaman Sekarang

0 1,054

Adam Smith tidak sempat melihat dunia bersetuju dengan model ekonominya. Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah sudah lama mengikuti teori Smith. Selepas pemergian Mao Zedong, China secara berperingkat akur dengan cadangan Smith.

Mana-mana negara yang ingin beralih ke kapitalisme perlu renung balik apa yang Smith cakap, terutamanya pasal pembahagian buruh. Zaman dulu, semua pemerintah tengok emas sebagai kekayaan negara.

Advertisement

Smith membawa pendapat berbeza: harta kekayaan sebenar adalah kuasa dan kemahiran buruh. Kerana tanpa buruh, tiadalah pasaran.

Mana yang bernilai? Emas atau tangan yang mengeluarkan emas?

Bercakap tentang pasaran, Smith membayangkan sebuah ekonomi yang mengamalkan sistem terbuka. Zaman dulu memang terlalu utopia. Tetapi hari ini, “free market” adalah sebutan biasa. Konsep “free market” pula terbahagi kepada dua fikrah – konservatif dan liberal.

Ramai dalam kalangan konservatif berpendapat yang pasaran terbuka perlu dipantau kerajaan. Golongan liberal pula melihat pasaran terbuka sebagai kuasa mutlak – perlu ada campurtangan kerajaan bila perlu saja.

Ambil contoh Donald J. Trump dan Joe Biden pasal Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Trump merencanakan “America First” yang bercanggahan dengan TPPA (Gracie, 2016). Bagi Trump, perdagangan wajib ada tariff.

Jenis tariff untuk mengimbangi pasaran.
Jenis tariff untuk melindungi industri tempatan.

Namun pentadbiran Biden pula berpendapat perdagangan patut bebas tanpa tariff kerana syarikat pengimport membayar cukai. Jadi antara dua pemimpin ini, Biden paling cenderung ke arah pasaran bebas selaras dengan cadangan Smith: “kerajaan tidak perlu masuk campur mengawal aktiviti pasaran” (Hayes, 2021).

Walau bagaimanapun, tanpa sebarang kawalan, macam mana pasaran akan berfungsi? Memperkenalkan konsep Invisible Hand (Tangan Bebas). Smith berpendapat yang pasaran ekonomi mempunyai kuasa sendiri, mengikut kehendak konsensus (Majaski, 2020).

Kalau majoriti mahu sesuatu, itulah dia. Setiap individu mempunyai tempat sendiri dalam arus pasaran. Dan arus ini perlu dibiar mengalir.

Cadangan Smith ada asas juga. Kalau ada “benteng” atau “empangan”, itulah punca ketidakadilan dalam sosioekonomi. Ada rakyat mendapat lebih; ada rakyat mendapat kurang. Kaedah Tangan Bebas senang cakap macam pemikiran Biden.

Dua-dua Adam Smith… tetapi siapa paling pekat?

Ekonomi harus dibiar, cukup dengan dasar kerajaan sahaja. Hanya masuk campur jika ada masalah (seperti krisis ekonomi akibat COVID-19). Melalui Tangan Bebas, sebuah pasaran akan ditentukan peserta-peserta dalam pasaran (rakyat).

Penyertaan ini akan mempengaruhi nilai ambang sesuatu barangan atau perkhidmatan. Pengaruh ini akan menentukan harga akhir. Dan pengeluar pula akan bersaingan antara satu sama lain, menggunakan modal dan teknologi untuk menawarkan harga serendah mungkin.

Ada pihak sengaja rugi dulu untuk menguasai pasaran (kalahkan pesaing). Ada pihak yang enggan guna cara ini.

Kepentingan Konsep Tangan Bebas

Sejujurnya tiada dasar ekonomi yang serba serbi sempurna. Mesti ada timbal balas dan tempias. Cadangan Adam Smith pula dibuat pada ketika dunia termanggu dengan ekonomi merkantilisme (eksport, eksport, eksport, baik jajah daripada import).

Jadi Tangan Bebas adalah pendekatan pro-marhaen untuk mengimbangi pasaran tanpa campurtangan kerajaan. Rakyat ingin berniaga? Biarkan. Rakyat ingin bekerja? Biarkan. Ada pelabur ingin mulakan industri? Jangan ambil kesempatan.

Tangan Bebas boleh memastikan bekalan dan permintaan kekal stabil. Tiada lebih. Tiada kurang. Sebab pengguna adalah penentu. Kemahuan mereka yang dipenuhi. Jadi macam mana boleh lebih atau kurang?

Kalau zaman sekarang, halangan pertama adalah tariff. Kembali kepada pentadbiran Trump. Beliau membawa idea yang agak menarik untuk pengurusan domestik, macam pengurangan cukai individu dan perniagaan untuk merangsangkan ekonomi tempatan.

Ini kiranya prinsip John Maynard Keynes (reduced tax = stimulated demand).

Tetapi pentadbiran Trump melindungi pasaran dan perdagangan dengan tariff, katanya boleh mengurangkan defisit perdagangan. Masalahnya, negara-negara yang menjadi mangsa tariff membalas dengan tariff terhadap produk “Made in America”. Dan “gangguan” ini melebarkan lagi defisit perdagangan Amerika Syarikat (Crutsinger, 2020).

RUJUKAN:

Crutsinger, M. (2020, September 3). US trade deficit surges in July to highest in 12 years. AP News.

Gracie, C. (2016, November 22). US leaving TPP: A great news day for China. BBC.

Hayes, A. (2021, April 28). Adam Smith and “The Wealth of Nations”. Investopedia.

Majaski, C. (2020, September 28). Invisible Hand. Investopedia.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.