fbpx

Kos Haji Dijangka Akan Meningkat?

0 191

Sejak kebelakangan ini, banyak negara global sedang berusaha mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 untuk rakyat masing-masing.

Dengan akses vaksin dijangka ada pada tahun hadapan, ramai mengharapkan pelbagai aktiviti kembali rancak termasuk ibadat haji dan umrah. Begitupun, bersedia sajalah dengan pertambahan kos sekiranya ingin menjadi tetamu Baitullah.

Advertisement

Hal ini dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Al Bakri dalam satu sidang media yang diadakan beberapa hari lepas.

haji

Walaupun melihat siuasi itu sebagai satu kemungkinan, kerajaan harus bersedia dengan perancangan Arab Saudi dalam hal ini. Justeru, beliau menyarankan para pendeposit Tabung Haji agar menambah simpanan dalam akaun mereka.

Pertambahan kos dijangka berlaku dengan mengambil kira persediaan Arab Saudi menyediakan panduan operasi standard (SOP) ketat bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan jemaah haji.

Ianya dapat dilihat pada musim haji 2020 yang menyaksikan hanya 10,000 jemaah saja berpeluang mengerjakan rukun Islam kelima itu berbanding dua juta orang pada tahun-tahun sebelumnya.

Jemaah yang disahkan bebas daripada Covid-19 perlu menjalani kuarantin kendiri sama ada di kediaman mereka (ini bagi penduduk Makkah) atau bilik hotel mereka seminggu sebelum mengerjakan haji.

Bila berada di Masjidil Haram, jemaah harus mematuhi arahan penjarakan fizikal dan dipisahkan mengikut satu kumpulan seramai 20 orang. Kumpulan ini akan ditemani oleh seorang mutawif sehingga ibadat haji dan umrah mereka tamat.

Selain perlu mengharungi tempoh kuarantin di Arab Saudi, jemaah haji negara juga harus memikirkan soal kuarantin bila kembali ke tanah air.

Walaupun tempoh kuarantin ketika ini sudah dipendekkan daripada 14 hari kepada 10 hari, jemaah masih perlu menjalani kuarantin di pusat-pusat yang ditetapkan.

Bukan itu saja, jemaah juga perlu bersedia membayar sejumlah wang kuaratin selepas tempoh kuarantin mereka tamat.

Oleh sebab itulah, kerajaan akan melakukan pelbagai rundingan untuk mengetahui kos yang akan terkait termasuk memperincikan beberapa perkara mengenai ibadat haji dalam masa terdekat.

Jika benar kemungkinan pertambahan kos mengerjakan haji dan umrah pada tahun hadapan, caj kos akan dimuktamadkan selepas proses rundingan serta perbincangan termasuk mesyuarat di peringkat Kabinet.

Ketika ini, kos jemaah haji muassasah yang diuruskan Tabung Haji ialah sebanyak RM9,980 berbanding jumlah sebenar bernilai RM22,900.

Walaupun ini sekadar kemungkinan, lebih elok bagi bakal tetamu Allah agar menyediakan payung sebelum hujan.

Ianya bagi memastikan kemampuan kewangan yang dimiliki dapat menyerap apa saja kos tambahan yang akan timbul semasa berada di Baitullah.

Di samping itu, ini membolehkan para jemaah dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap ibadat semasa musim haji.

Apabila jemaah haji sudah bersedia dari semua aspek termasuk kewangan, dengan izin-Nya jemaah dapat meraih haji mabrur dan menjadi insan yang lebih baik apabila pulang ke tanah air.

Pada masa sama, kerajaan juga harus memastikan sekiranya wujud pertambahan kos sekalipun, biarlah tidak membebankan para jemaah. Ya, rundingan dan proses mendapatkan maklumat tentang hal ini sedang berjalan.

Namun dalam situasi pandemik Covid-19, bebanan kewangan tidak harus diletakkan pada bahu para pendeposit. Mereka juga terkesan dengan isu ini sehingga sesetengah daripadanya terpaksa mengeluarkan simpanan mereka untuk meneruskan hidup.

Oleh itu, kos mengerjakan haji dan umrah pada tahun hadapan biarlah munasabah mengikut kemampuan kewangan para pendeposit.

Pada masa sama, firma-firma swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh saja bersikap proaktif dalam isu ini dengan melaksanakan tanggungjawab sosial mereka.

Hal itu termasuk menaja jemaah haji mengikut kategori tertentu tetapi tidak berkemampuan seperti golongan agamawan atau golongan B40.

Sekurang-kurangnya, tindakan ini menunjukkan keprihatinan semua pihak dalam meringankan beban kewangan yang akan ditanggung jemaah haji.

Ramai terlupa, jemaah haji negara juga merupakan duta kecil Malaysia semasa berada di Baitullah. Bukan sedikit yang memuji tingkah laku rombongan jemaah haji dan umrah negara semasa di sana termasuk kerajaan Arab Saudi sendiri.

Baca juga: Impak Jika Arab Saudi Batalkan Musim Haji

Justeru, apa saja bentuk bantuan atau subsidi tambahan kepada mereka semasa mengerjakan rukun Islam kelima itu amat membantu.

Selain itu, bantuan sebegini merupakan satu pengiktirafan kepada mereka sebagai duta kecil negara serta mengharumkan nama Malaysia di bumi yang dicintai Allah dan Rasul-Nya itu.

Source Aziz, I.H. (2020). Kos haji dijangka meningkat, pendeposit disaran. Berita Harian.
You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.