
Kos Khidmat Kesihatan Tolak Lebih 500 Juta Orang Ke Kancah Kemiskinan
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bank Dunia mendedahkan lebih separuh daripada satu bilion penduduk dunia berada di kancah kemiskinan ekstrem pada tahun lepas. Ini selepas mereka terpaksa menyelesaikan isu kos kesihatan dengan wang mereka sendiri semasa jangkitan pandemik Covid-19 berada di kemuncak. Pendedahan ini dibuat dalam satu kenyataan bersama kedua-dua organisasi itu pada 12 Disember lepas.
Pandemik Covid-19 bukan sekadar membawa cabaran hebat kepada perkhidmatan kesihatan di seluruh dunia. Malah, ia menjadi pencetus krisis ekonomi global terburuk pernah disaksikan dunia sejak tahun 1930-an. Dua sebab ini sudah menyukarkan orang ramai menyelesaikan bil perubatan mereka.
Advertisement
Situasi ini nyata menggusarkan Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus. Ini kerana sekiranya orang ramai tidak mempunyai sokongan kewangan diperlukan untuk mengakses khidmat kesihatan, ia bakal memberi kesan besar kepada kesihatan populasi sesebuah negara.
Justeru, Dr Tedros menggesa semua negara dunia agar kekal melaksanakan liputan kesihatan sejagat yang amat diperlukan ketika ini. Liputan kesihatan sejagat bermaksud semua orang dapat menikmati perkhidmatan kesihatan tanpa perlu bimbang berdepan masalah kewangan.
Isu ini merupakan topik politik hangat di Amerika Syarikat – antara beberapa negara perindustrian yang tidak menyediakan liputsan kesihatan sejagat untuk rakyatnya. Covid-19 juga mengakibatkan usaha membasmi penyakit lain seperti malaria dan tuberkulosis terjejas sama sekali. Disebabkan usaha vaksinasi untuk dua penyakit ini berkurangan, kadar kematian membabitkan dua penyakit ini bertambah pada tahun lepas.
Bagi pengarah kesihatan, nutrisi dan populasi Bank Dunia Juan Pablo Uribe, ia merupakan sesuatu yang menyedihkan. Tambahnya, dengan ruang fiskal yang terhad, kerajaan-kerajaan terpaksa membuat pilihan sukar iaitu melindungi populasi mereka daripada Covid-19 atau meningkatkan belanjawan kesihatan mereka.
RUJUKAN
Mishra, M. (2021, 14 Disember). Health costs during pandemic pushed over half a billion people into poverty. Reuters.
Sumber gambar: AFP