fbpx

Kos Sebenar Sukan Olimpik

0 3,781

Sukan Olimpik sememangnya kemuncak untuk penganjuran temasya sukan berprestij. Disebabkan statusnya itu, kos penganjuran sukan berkenaan amat tinggi terutama dari segi infrastruktur, lokasi pertandingan, sumber manusia dan hiburan.

Atas sebab itulah, ramai merasakan peluang menjadi tuan rumah Sukan Olimpik sebagai tidak berbaloi lebih-lebih lagi dengan memikirkan kos yang perlu ditanggung untuk jangka masa panjang.

Advertisement

Bagi tuan rumah Olimpik 2020 iaitu Tokyo, mereka memang bersorak gembira apabila terpilih sebagai tuan rumah pada 2013. Bagi kepimpinan Jepun ketika itu termasuk Perdana Menteri Shinzo Abe, Olimpik Tokyo 2020 merupakan peluang untuk memberitahu dunia bahawa Jepun sudah kembali. Beliau mahu mereplika semula kejayaan temasya Tokyo 1964 sebagai pemangkin pemulihan dan kebangkitan ekonomi Jepun buat kali kedua.

Rajah 1: Apabila Jepun mmenangi bidaan Sukan Olimpik 2020, ia diharap sebagai pemangkin kebangkitan ekonomi Jepun buat kali kedua oleh Shinzo Abe.

Tetapi pada tahun 2020, dunia dikejutkan dengan pandemik Covid-19. Akibat pandemik penyakit berkenaan, ia membawa kepada krisis ekonomi yang teruk terutama dari segi pelancongan sekaligus memaksa Sukan Olimpik ditangguhkan ke tahun ini.

Isu kesihatan dan ekonomi turut memberi tekanan kepada Abe sehingga memaksanya meletak jawatan pada tahun sama. Kini, usaha merealisasikan penganjuran temasya itu kini disandang oleh penggantinya Yoshihide Suga walaupun ia mendapat reaksi negatif majoriti rakyat Jepun.

Ketika ini, belanjawan Sukan Olimpik Jepun kini mencecah AS$15.4 bilion – dua kali ganda daripada nilai bidaan yang dibuat Tokyo berjumlah AS$7.5 bilion pada 2013. Tetapi jangan terkejut kos tersebut boleh melambung lagi kepada AS$25 bilion, satu beban besar yang akan ditanggung pembayar cukai Jepun untuk masa yang lama.

Daripada AS$15.4 bilion, 55% ditanggung oleh pembayar cukai. Manakala bakinya diisi menerusi penjualan tiket, tajaan syarikat-syarikat besar dan sumbangan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC). Dengan Suga menetapkan penonton hanya boleh menonton temasya ini dari rumah, pulangan jualan tiket sudah pasti  merugikan.

Jepun juga turut menanggung kos kerugian sebanyak AS$2.8 bilion selepas memutuskan untuk menangguhkan Sukan Olimpik pada tahun lepas. Tetapi sejak 2017 lagi, Jepun sudah bergelut menangani kenaikan kos penganjuran disebabkan tekanan IOC.

IOC ada sebab baik mengapa isu ini harus ditangani segera ketika itu – tidak mahu mana-mana negara yang berminat menjadi tuan rumah kecut perut dengan kos penganjuran.

Dari segi infrastruktur sahaja, separuh daripada AS$7.5 bilion diperuntukkan untuk aspek berkenaan. Ini termasuk pembinaan Stadium Negara untuk upacara pembukaan dan penutup Sukan Olimpik yang menelan belanja AS$1.4 bilion dan Pusat Akuatik Olimpik dengan kos AS$542 juta. Tapi di sinilah realiti menghantui negara-negara selepas Sukan Olimpik selesai, kebanyakan infrastruktur ini kemudiannya bertukar menjadi projek gajah putih.

Tanyalah kepada mana-mana bandaraya yang pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik sebelum ini, semua pernah mengalaminya. Bagi Montreal yang pernah bergelar tuan rumah Sukan Olimpik 1976, mereka bukan saja perlu menanggung hutang penganjuran selama 30 tahun.

Malah, kebanyakan infrastruktur pertandingan yang kini berstatus gajah putih menyakitkan pemandangan bandaraya yang turut merupakan tuan rumah perlumbaan Formula Satu itu.

Rajah 2: Stadium Olimpik Montreal merupakan contoh projek gajah putih pasca-Olimpik 1976

Perkara sama turut menimpa Athens (2004) dan Rio de Janeiro (2016). Bagi Athens, kos infrastruktur Olimpik 2004 mengakibatkan setiap isi rumah Greece ketika itu kekurangan €50,000 dan terus ditanggung oleh pembayar cukai sehingga hari ini.

Sementara Rio de Janeiro pula menyaksikan akibat kos pembinaan dan pengubahsuaian infrastruktur sebanyak AS$8.2 bilion, bandaraya itu lewat membayar gaji pekerja dan pencen serta berdepan kenaikan kes je.na.yah.

Bagi Profesor Victor Matheson dari College of the Holy Cross, Massachusetts, ini menunjukkan pelaburan infrastruktur Olimpik tidak membawa pulangan ekonomi seperti diharapkan.

Dan beliau percaya sekiranya mana-mana tuan rumah mahu menjimatkan kos perbelanjaan, maka infrastruktur sedia ada harus dimanfaatkan untuk pelbagai acara sukan seperti yang dilakukan oleh Los Angeles untuk temasya 2028.

Dari segi penajaan, Tokyo dianggap berjaya dalam hal ini. Ini kerana mereka berjaya mendapatkan sejumlah besar penajaan berjumlah AS$3.3 bilion yang kemudiannya disalurkan kepada belanjawan yang dibiayai pihak swasta.

Semua 68 syarikat tempatan turut diminta mengeluarkan kos bagi menampung kos penangguhan temasya yang dibuat pada 2020. Tetapi menurut Profesor Matheson, jumlah pendapatan yang diterima tidak seberapa jika dibandingkan dengan kos penajaan yang dikeluarkan.

Sementara IOC pula mempunyai 14 rakan penaja yang membiayai satu perlima daripada belanjawan tahunannya. Mereka merupakan sebahagian daripada Program Rakan Kongsi Olimpik (TOP) dan antara yang terlibat ialah Alibaba, Toyota dan Coca Cola. Syarikat-syarikat ini membayar AS$2 bilion untuk penajaan Tokyo 2020 dari 2017 hingga 2020 dengan AS$500 juta disalurkan untuk pembiayaan penganjuran Tokyo 2020.

Di sebalik semua ini, ia masih tidak memadamkan hakikat kos penganjuran Sukan Olimpik sebenarnya sudah melampaui belanjawan asal sejak tahun 1960. Satu kajian yang dibuat Universiti Oxford mendedahkan tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas dan Musim Sejuk mempunyai purata terlebih belanjawan sebanyak 172%.

Walaupun kajian ini dibantah sekeras-kerasnya oleh IOC, hakikatnya ia sudah lama diketahui oleh komuniti ekonomi dan kewangan dunia. Dan buktinya menurut Profesor Andrew Zimbalist dari Smith College, Massachusetts ialah dengan melihat proses bidaan tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, Sukan Olimpik Musim Panas 2024 dan Sukan Olimpik Musim Panas 2028.

Apabila China dianugerahkan hak sebagai tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, empat negara memilih menarik diri. Begitu juga dengan Paris yang diumumkan sebagai pemenang setelah tiga bandaraya memilih mengibarkan bendera putih. Sementara Los Angeles dianugerahkan penganjuran edisi 2028 kerana satu-satunya bandaraya yang bersedia berbuat demikian.

Ini menunjukkan banyak negara sedar kos penganjuran Sukan Olimpik lebih menyusahkan daripada faedah yang diterima mereka sebagai tuan rumah. Bagi IOC pula, proses bidaan sebelum ini yang menyaksikan negara-negara berlumba membuat bidaan terganggu sama sekali. Profesor Zimbalist percaya bidaan sebegini turut menyumbang kepada pertambahan kos penganjuran Olimpik sesebuah negara.

Bagi mengelak perkara ini daripada terus berlarutan, beberapa solusi diperkenalkan termasuk tiada keperluan untuk membina infrastruktur baru. Negara tuan rumah hanya perlu menyediakan lokasi pertandingan sesuai atau sementara untuk sesebuah acara sukan walaupun ia terletak di luar bandaraya yang bergelar tuan rumah, wilayah atau di luar negara.

Dijangkakan kos penganjuran Sukan Olimpik Musim Panas dapat dikurangkan sebanyak AS$1 bilion dan Sukan Olimpik Musim Sejuk (AS$500 juta). Los Angeles tidak berdepan masalah infrastruktur kerana sudah mempunyai semua infrastruktur diperlukan untuk edisi 2028.

Sementara bagi Paris 2024 dan Milano Cortina 2026, majoriti infrastruktur mereka terdiri daripada infrastruktur sukan sedia ada. Beijing 2022 turut menyaksikan semua infrastruktur sedia ada digunakan untuk edisi Olimpik Musim Sejuk itu.

Begitupun, satu perkara disedari Profesor Matheson ialah aktiviti penganjuran tidak lagi ditanggung sepenuhnya oleh tuan rumah. Sebaliknya, ia sebagai satu bentuk perkongsian antara tuan rumah dengan IOC menerusi pemilihan Brisbane sebagai tuan rumah edisi 2032.

Beliau percaya Brisbane mahu digunakan sebagai bukti konsep penjimatan kos yang diperkenalkan IOC dapat dijayakan tanpa mengundang kos kewangan tambahan kepada Australia.

Rajah 3: Perdana Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk mengangkat placard yang menandakan pemilihan Brisbane sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2032.

Tetapi bagi Zimbalist, satu-satunya peluang Sukan Olimpik dianggap munasabah dari segi ekonomi ialah dengan memilih tuan rumah tetap untuk edisi musim panas dan edisi musim sejuk. Dan itu saja peluang terbaik untuk mengelak kesalahan sama berulang. Persoalannya, bersediakah IOC berbuat demikian? Hanya masa yang menentukan pendirian mereka.

RUJUKAN:

Heng, Cheryl. (2021). Tokyo 2020: what is the price to pay for hosting an Olympic Games?. South China Morning Post. Diambil dari https://www.scmp.com/sport/article/3141899/tokyo-2020-what-price-pay-hosting-olympic-games

Wills, Jennifer. (2021). The Economic Impact of Hosting the Olympics. Investopedia. Diambil dari https://www.investopedia.com/articles/markets-economy/092416/what-economic-impact-hosting-olympics.asp

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.