fbpx

Macam Mana KDNK Sebuah Negara Dikira?

0 205

Selalu sangat dengar pasal Gross Domestic Product (GDP). Penjelasan paling mudah: GDP adalah unit ukuran digunakan untuk menilai semua produk dan perkhidmatan dalam sebuah negara mengikut sesuatu tempoh.

Setiap tahun badan ekonomi akan mencatatkan nilai ini untuk tujuan perbandingan dengan tahun sebelumnya (dan tahun seterusnya). Jadi GDP memang sesuai untuk mengenal pasti kelangsungan sebuah ekonomi kerana ciri-cirinya sebagai kayu pengukur yang boleh diharap.

Advertisement

Konsep GDP sudah lama diamalkan. Tetapi definisinya dicadangkan pada tahun 1937 sebagai tindak balas terhadap krisis ekonomi The Great Depression.

Pelopornya adalah Simon Kuznets, seorang pakar ekonomi dalam Biro Penyelidikan Ekonomi Kebangsaan.

Simon Kuznets

Dalam pandangan Kuznets, GDP lebih sesuai untuk dibandingkan dengan GNP. Sifat GNP sama macam GDP. Tetapi GNP mengira nilai produk dan perkhidmatan dalam dan luar sempadan negara.

Cadangan Kuznets mendapat sokongan banyak negara pada tahun 1944, apabila banyak negara menggunakan GDP sebagai kayu pengukur. Amerika Syarikat hanya menggunakan GDP bermula tahun 1991.

Cara Pengiraan GDP

Walaupun bunyinya kedengaran rumit, GDP ada dua cara pengiraan: 1) menilai kadar perbelanjaan domestik atau 2) mengira kadar pendapatan domestik. Kira ia menghitungkan semua wang dibelanja semua peserta ekonomi – pengguna, perniagaan dan kerajaan. Setiap kos ada tempat dalam jumlah GDP itu sendiri. Formulanya pun mudah difahami:

  • Pengguna (C)
  • Perniagaan (I)
  • Kerajaan (G)
  • Perdagangan [jumlah eksport (X) tolak jumlah import (M)].

GDP (mengikut perbelanjaan) = C + I + G + (X-M).

Lumrah sebuah ekonomi adalah perbelanjaan. Tiada perbelanjaan, maka tiadalah pendapatan. Jadi GDP boleh dihitung menggunakan statistik pendapatan, yang mengambil kira semua sektor dalam pengeluaran negara.

Malah pecahan-pecahan sektor pun masuk sekali. Gaji dibayar kepada pekerja. Sewa dibayar untuk kedai atau kilang. Pulangan modal diserahkan kepada pelabur. Semua ini adalah pendapatan.

Tetapi cara ini tiada formula khusus kerana kekurangan data yang lengkap. Malah nilai pendapatan juga boleh susut (depreciation). Jadi cara perbelanjaan adalah jalan lebih mudah.

Nilai GDP Sebenar

Memandangkan penilaiannya bergantung pada kadar perbelanjaan, perhitungan GDP perlu dibetulkan dengan kadar inflasi. Nak faham inflasi senang saja. Setiap tahun, harga barangan akan naik. Inflasi adalah “angka wakil” pada kenaikan harga.

Tanpa pembetulan inflasi, sebuah GDP akan dianggap sentiasa naik setiap tahun. Padahal bukan GDP meningkat. Harga barang yang naik. Jadi selepas tolak dengan kadar inflasi, barulah boleh tengok jika GDP benar-benar naik.

Kelemahan GDP

Ekonomi adalah sebuah ekosistem yang sangat rumit. Dalam menilai ekonomi, tidak boleh anggap GDP saja sudah cukup. Kerana ekonomi adalah seperti tubuh badan juga. Kalau setakat jantung berdenyut tetapi hati remuk sebab kena tinggal sampai berlubang usus kerana tidak lalu makan, apa gunanya? Semua benda kena seimbang. GDP kena sihat. Inflasi kena stabil. Pengagihan harta negara pun mesti saksama. Ini rakyat marhaen berusaha macam lembu, tetapi dapat gaji tidak setimpal dengan kerja – tiada guna juga.

GDP hanya mengira data rasmi sahaja. Jadi tahap ketelusannya boleh dipersoal. Dalam sebuah ekonomi, ada tiga aras pekerjaan – employed, underemployed dan unemployed. GDP melihat employed dan unemployed saja.

Bab underemployment tidak begitu jelas, apatah lagi aktiviti yang tidak berbayar secara tunai bercatat. Jadi GDP hanya menekankan pengeluaran sahaja tanpa mengambil kira faktor kesihatan ekonomi secara menyeluruh.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.