
Macam Mana Penguin Menjadi Adikuasa Buku?
Musibah pandemik tidak menjadi penghalang buat industri perbukuan, terutamanya penerbit gergasi Penguin Random House. Saban minggu ada saja berita baru melibatkan mereka, seperti keluaran buku baru misalnya.
Macam-macam tajuk keluar menjadi sajian minda orang ramai. Dan seperti biasa, ada buku laris dan mendapat anugerah status best seller; ada yang gagal dan lingkup habis.
Advertisement
Itu memang lumrah yang sudah lama Penguin Random House kenal setiap tahun menerbit 15,000 buku melalui 250 buah cawangan dagang dibawah naungannya.
Jujurnya, COVID-19 adalah dugaan kecil sahaja untuk dibandingkan dengan pengalaman silamnya.
Random House diasaskan pada tahun 1927 di Amerika Syarikat. Penguin Books pula muncul terkemudian iaitu tahun 1935 tetapi di United Kingdom.
Kira kedua-dua syarikat ini mengharungi Perang Dunia Kedua yang keadaan ekonomi tidak menentu. Kalau Perang Dunia Kedua tidak menjadi penghalang, takkan mungkin COVID-19 boleh mengapa-apakan gergasi ini.
Sekitar tahun 1930-an, Penguin mengukuhkan kedudukannya sebagai penerbit fiksyen berkualiti tinggi.

Harga buku mereka pun sangat marhaen, iaitu syiling sixpence yang bernilai £0.025 (nilai sekarang: £1.18) bertujuan untuk mencari pasaran dulu (Waters, 2010).
Selepas menyelesaikan masalah kewangan, Penguin bergabung (merger) dengan Viking Press dan mula beraksi sampai menjadi antara penerbit paling penting dunia.
Perjalanan Random House pun sama marhaen. Strategi penerbitan mereka menjadi secara konsisten sampai syarikat tersebut didagangkan dalam pasaran terbuka.
Dan bermula tahun 1960, Random House membeli syarikat penerbitan lain seperti Alfred A. Knopf, Inc., Beginner Books dan Pantheon Books. Malah Ballantine Books pun menjadi hak milik Random House. Tetapi pada tahun 1998, Random House dibeli syarikat Jerman iaitu Bertelsmann AG.
Dua Gergasi Yang Bersatu
Selepas keluar daripada belenggu Kemelesetan Besar 2008 (the Great Recession of 2008), pihak Penguin Books dan Random House membuat rundingan untuk bergabung.
Usaha ini akhirnya berjaya pada tahun 2013, yang mana Random House menguasai 53 peratus… selebihnya adalah milik Penguin Books (The Telegraph, 2013). Dan gabungan mereka mengasaskan sebuah syarikat baru iaitu Penguin Random House.
Semua anak syarikat dan cawangan dagang masing-masing menjadi milik Penguin Random House, dibawah pengurusan CEO Markus Dohle.

Penggabungan Penguin Books dan Random House mengakhiri dominasi “Big Six” iaitu dalam kalangan enam penerbit terbesar dunia. Sekarang “Big Six” adalah “Big Five”, iaitu Penguin Random House, Holtzbrinck/MacMillan, Hachette Book, HarperCollins dan Simon & Schuster.
Campurtangan Pihak Berkuasa
Penubuhan Penguin Random House benar-benar mengganggu pasaran buku. Secara jelas, ia adalah sebuah usaha ke arah monopoli kerana dua gergasi yang menyatukan kepentingan masing-masing.
Walau bagaimanapun, situasi ini hanya betul-betul monopoli andai kata sudah tiada persaingan langsung. Big Five adalah sebuah medan persaingan yang dahsyat. Tetapi apabila Penguin Random House ingin membeli Simon & Schuster, dunia penerbitan terus bergegar. Tambah pula selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan. Terus kerajaan Amerika Syarikat ambil tindakan.
Jika urus niaga ini dibenarkan, Amerika Syarikat berdepan dengan satu masalah besar. Penguin Random House bersama Simon & Schuster akan mengganggu pasaran kerana 1) boleh menetapkan jumlah royalti penulis dan 2) menentukan buku mana masuk mesin cetak (Harris, 2021).
Jadi Jabatan Undang-Undang Amerika Syarikat mengemukakan saman anti-monopoli (antitrust lawsuit) terhadap kedua-dua pihak.
Selagi perkara ini tidak selesai, Penguin Random House dan Simon & Schuster tidak dapat bergabung.
RUJUKAN:
Harris, E. (2021, Februari 25). What happens when a publisher becomes a megapublisher? The New York Times.
The Telegraph. (2013, Julai 1). Penguin and Random House complete merger.
Water, F. (2010, Ogos 26). Penguin’s Pioneering Publisher – who never read books. The Daily Telegraph.