fbpx

Macam Mana Pfizer Buat Duit?

0 1,051

COVID-19 membuka jendela baru untuk Pfizer, yang menimba populariti sangat tinggi sebagai pengeluar vaksin pertama dalam dunia. Teknologi mRNA benar-benar menyelamatkan jutaan nyawa daripada kecelakaan pandemik.

Berapa ramai terkena jangkitan tetapi sembuh dengan cepat kerana vaksin Comirnaty. Inilah kehebatan sains, yang tanpa henti menyelesaikan masalah duniawi. Dan sekarang Pfizer sedang memantau varian-varian baru, sambil memastikan Comirnaty kekal mampu mencegah dan mengurangkan impak.

Advertisement

Sambil itu, Pfizer sedang kembali menumpukan perhatian pada industrinya yang paling menguntungkan. Jujurnya, vaksin tidak begitu menguntungkan pun. Kerana Pfizer banyak menggalas tanggungjawab sosial jual vaksin pada harga sangat murah.

Amerika Syarikat contohnya membayar AS$19.50 untuk setiap dos, sedangkan Israel dicaj AS$30 (Robbins & Goodman, 2021).

Bermakna Pfizer mampu memaksimumkan untung dengan vaksin… tetapi enggan atas dasar kemanusiaan. Industri yang Pfizer benar-benar mencekau untung bukannya vaksin, tetapi bidang onkologi iaitu kajian rawatan kanser.

Menggunakan Teknologi mRNA Dalam Onkologi

Pfizer mempunyai cita-cita tinggi dalam bidang onkologi. Selepas berjaya mematahkan serangan COVID-19, mereka beralih pandangan untuk menewaskan serangan kanser pula. Dan mereka ingin menggunakan teknologi mRNA seperti yang digunakan pada COVID-19 (Jordans, 2021).

Menurut pasangan pengkaji beragama Islam dalam Pfizer, mereka sedang cuba mencari jalan untuk menggunakan sistem imunisasi badan supaya dapat mengekang pertumbuhan kanser.

Ini yang golongan penolak vaksin tidak faham. Apa yang mereka nampak, vaksin COVID-19 terlalu cepat dan tidak siap. Sebenar-benarnya, mereka mengkaji teknologi mRNA selama 20 tahun lamanya.

Apabila mereka mendapat tahu tentang COVID-19, mereka cuba “convert” teknologi ini untuk tujuan vaksinasi. Itu saja. Tiada konspirasi apa pun, cuma ada kegigihan dua dekad dalam makmal.

Jadi sekarang mereka mahu menggunakan teknologi sama untuk kanser. Cuma banyak juga cabarannya. Mereka perlu mengenal pasti cara untuk menguji secara klinikal. Bukan mudah untuk kaji “vaksin kanser” secara besar-besaran agar dapat memenuhi permintaan global.

Kenapa Onkologi Menguntungkan Pfizer

Ada beza antara doktor di hospital dan pengkaji dalam kalangan Pfizer. Golongan pengkaji Pfizer senantiasa mencari jalan untuk mengenal pasti cara berinovasi untuk merawat semua jenis kanser, seperti prostat, paru-paru dan ovari misalnya.

Benar, kajian rawatan ini menelan kos perbelanjaan sangat tinggi. Walau bagaimanapun, pulangannya amat menguntungkan pihak Pfizer yang berjaya menjual produk seperti Braftovi, Lorbrena dan Xtandi.

Ramai orang perlu rawatan kanser. Sebab itulah onkologi menjadi sumber pendapatan utama dan paling besar untuk Pfizer. Braftovi adalah terapi untuk pesakit menghidap kanser kulit (melanoma) secara metastatik.

Lorbrena pula adalah ubat untuk rawatan kanser paru-paru. Manakala Xtandi pula bertujuan untuk merawat kanser prostat serius.

Semua ubat ini menjadi tonggak utama Pfizer. Bayangkan bekalan kapsul Braftovi sebanyak 120 tablet saja berharga AS$13,244 (AS$110 satu tablet). Lorbrena dalam 30 tablet sudah mencecah AS$6,170, walhal 25 miligram sahaja.

Memang harganya mahal – hasil daripada kajian penyelidikan yang sangat mahal. Cuma Pfizer membayar sekali saja untuk penyelidikan dan mengaut keuntungan berterusan sampai hari ini.

Angka-angka ini wajar dijadikan petunjuk kepada pembaca tentang kos dalam industri farmaseutikal. Saban hari, harga ini semakin meningkat sekali gus meletakkan bebanan tinggi pada bahu kerajaan.

Malaysia mengamalkan sistem penjagaan kesihatan universal. Bermakna tanggungjawab penjagaan kesihatan berada dalam kancah pembayar cukai. Tidak pelik jika satu hari, nilai ambang cukai dinaikkan lagi untuk menampung kos menggunung seperti rawatan kanser ini.

RUJUKAN:

Jordans, F. (2021, Mac 19). Scientist behind Pfizer vaccine: mRNA shots for cancer coming ‘in couple years’. Times of Israel.

Robbins, R., & Goodman, P. (2021, Mei 4). Pfizer Reaps Hundreds of Millions in Profits From Covid Vaccine. The New York Times.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.