fbpx

Mahukah Anda Masuk Pelaburan Yang Rugi?

0 135

Jumpa dengan ejen unit trust, katanya unit trust terbaik untuk jangka masa panjang. Jumpa dengan pengedar emas, katanya emas kalis inflasi. Jumpa dengan REN, katanya harga rumah sentiasa naik siap boleh dapat aliran tunai positif setiap bulan. Jumpa dengan trader-trader saham, katanya boleh jana paling busuk 10% setiap bulan. Kena cara boleh dapat setiap hari!

Jumpa dengan orang yang promosikan pelaburan menggunakan teknologi AI, katanya tak perlu pening-pening tapi tetap untung.

Advertisement

Begitulah keadaannya, setiap hari kita akan berjumpa dengan segelintir manusia yang bias atau berat sebelah pada pelaburan yang mereka ceburi. Tidak salah, semua pelaburan yang ikut undang-undang ditetapkan adalah bagus.

Ironinya, semua pelaburan yang diceritakan itu untung-untung belaka. Bukan nak kata pelaburan yang menguntungkan itu tak bagus. Cuma, pelaburan yang bagus itu tidak semestinya kena dengan jiwa dan selera risiko kita.

Cuba kita ceritakan risiko kerugian setiap instrumen tu pula. Cuba tanya mereka yang sedang untung, berapa pernah rugi? On paper, berapa tengah rugi sekarang ni? 20%? 30%?

Mampukah kita bertahan dengan kerugian yang sampai 20%? Padahal kita dah setuju untuk labur dalam tempoh yang tertentu tapi masih tak sampai tempoh yang kita setuju tu lagi?

Jika anda ada perasaan goyang sebegini, anda kena semak semula risk tolerance anda dan padankan dengan instrument pelaburan yang sesuai dengan selera risiko anda.

Sebelum itu, apa kata kita fahamkan hubungkait antara risiko dan keuntungan.

 

Risiko Tinggi, Keuntungan Pun Tinggi?

risk-reward
Sumber : Mahersaham.com

Gambar rajah diatas menunjukkan hubungan antara potensi pelaburan dengan risiko. Sudah semestinya pelaburan yang memberi pulangan tinggi itu mempunyai risiko yang tinggi juga.

Tetapi, tidak semestinya anda akan dapat pulangan yang tinggi walaupun anda sudah ambil risiko yang tinggi. Tanpa ilmu yang betul, pelaburan yang tinggi risikonya juga boleh buatkan anda terciduk, tersungkur dan tersembam.

Bolehlah kita ganti pepatah high risk high return kepada high skill high return.

Dah kenal risiko setiap pelaburan, bolehlah padankan instrumen mana satu yang sesuai dengan anda. Jadi, boleh baca bawah ni untuk tahu tahap risiko anda.

 

Kenalpasti Selera Risiko Anda

Ada tiga faktor utama yang boleh mempengaruhi selera risiko anda atau dikenali risk tolerance.

Pertama, objektif pelaburan, Kedua, umur anda. Ketiga, tahap kewangan anda.

 

1. Objektif Pelaburan

Setiap matlamat kewangan ada tempoh masanya. Contohnya, matlamat pelaburan untuk persaraan. Jika anda berumur 30 tahun dan hendak bersara pada umur 55, jadi tempoh pelaburan anda adalah 25 tahun. Ini boleh dikategorikan sebagai pelaburan jangka masa panjang.

Tempoh pelaburan yang lama tidak memerlukan kadar keuntungan yang tinggi dan risiko yang tinggi. Mudah kata, anda tidak perlu jadi agresif.

Baca : Berapa Perlu Simpan Kalau Mahu Bersara RM1 Juta ?

Anda boleh kategorikan matlamat atau objektif pelaburan anda kepada tiga iaitu :

  1. Jangka masa pendek (< 3 tahun)
  2. Jangka masa sederhana (3-5 tahun)
  3. Jangka masa panjang (> 5 tahun)

Semakin pendek tempoh masa objektif pelaburan anda, semakin agresif portfolio pelaburan anda.

 

2. Umur

Kebiasaannya, mereka yang dah berumur tidak mahu ambil risiko yang tinggi kerana kekangan masa yang tinggal dan bebanan tanggungjawab yang tinggi. Silap langkah, akan memberikan implikasi bukan sahaja pada diri sendiri malah pada keluarga contohnya.

Berbeza dengan mereka yang masih muda. Tempoh masa masih panjang dan orang kata masih berdarah panas. Walaupun tersilap langkah dengan risiko tinggi yang diambil tu, masih ada masa untuk perbaiki dan bangkit semula.

Namun, tak semudah itu untuk kita klasifikasikan risiko individu berdasarkan umur. Kita kena lengkapkan dengan faktor seterusnya, iaitu tahap kewangan peribadi.

 

3. Tahap Kewangan

Sebelum anda berjinak dalam bidang pelaburan, ada beberapa fasa yang perlu anda lulus terlebih dahulu. Terutamanya dana kecemasan.

Inilah kelemahan yang ada pada mereka yang masih muda. Tidak mempunyai tahap simpanan yang mencukupi.

Ingat, untuk melabur anda perlu peruntukkan duit lebihan daripada simpanan anda. Jika anda hendak laburkan RM5,000 , ini bermakna anda sudah bersedia 100% jika modal pelaburan itu hangus dan tidak menjejaskan emosi anda sedikitpun.

Jika tidak, ini bermakna anda masih belum bersedia untuk masuk dalam instrumen pelaburan yang berisiko tinggi. Anda perlu prioritikan pada simpanan anda dan usahakan lebihan simpanan untuk pelaburan.

Sekaligus ini merumuskan bahawa yang berumur pun tidak semestinya tak boleh masuk pelaburan berisiko tinggi. Asalkan anda ada lebihan simpanan untuk dilaburkan dan ilmu yang betul, apa salahnya untuk garap peluang yang ada.

Atau mungkin anda boleh gunakan beberapa rule-of-thumb untuk optimikan risiko anda. Kita ambil contoh anda ada lebihan RM10,000 untuk dilaburkan, berikut pecahan yang boleh anda amalkan :

20 : 80 (Pareto Law)
Jika anda mempunya selera risiko yang tinggi, RM8,000 anda laburkan. Selebihnya letak dalam instrumen pelaburan risiko rendah.

Jika anda mempunyai selera risiko yang rendah, RM2,000 dilaburkan. Selebihnya letak dalam instrumen pe

Nisbah 30 : 70

Sama juga seperti diatas, cuma ubah nisbahnya sahaja.

Ikut umur

Kalau anda berumur 30 tahu sekarang, 30% anda letak dalam instrumen pelaburan berisiko rendah. Selebihnya dilaburkan dalam instrumen pelaburan berisiko tinggi.

Kalau anda berumur 50 tahun sekarang ni, 50% risiko tinggi, 50% lagi risiko rendah. Begitulah seterusnya.

 

Ini hanya panduan sahaja. Untuk kiraan yang lebih tepat berapa sebenarnya anda perlu bahagikan portfolio anda berdasarkan tahap risiko anda, kenalah jumpa dengan perunding kewangan berlesen dibawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Jika anda rasa bermanfaat, sila kongsikan artikel ini untuk kami kenalpasti feedback pembaca. Terima kasih.

You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.