
Mcdonald’s Jepun Kekurangan Kentang Goreng!
Semua sedia maklum akibat pandemik Covid-19, ia mencetuskan krisis rantaian bekalan dunia melibatkan hampir semua sektor ekonomi dari peruncitan hinggalah pertanian. Dan ramai pakar menjangkakan isu ini hanya dapat diselesaikan menjelang 2023. Salah satu pihak yang terkesan dengan krisis ini ialah McDonald’s dan ia berkenaan kentang goreng!
Situasi ini berlaku di Jepun di mana syarikat melaporkan penghantaran bekalan kentang – bahan utama hidangan sampingan McDonald’s akan tiba lewat. Ini memaksa rangkaian makanan segera itu akan menjual kentang goreng mereka dalam kuantiti kecil dari Jumaat ini sehingga 30 Disember. Kentang McDonald’s diimport dari Kanada dan dihantar dari sebuah pelabuhan berhampiran Vancouver.
Advertisement
Bagaimanapun, situasi banjir yang melanda negara itu dan krisis rantaian bekalan mengakibatkan kelewatan dari segi penghantaran. Ini bukan kali pertama McDonald’s Jepun terpaksa mengurangkan kuantiti makanan mereka untuk dihidangkan kepada pelanggan.
Pada 2014, wujud pertelingkahan antara pemain industri dengan 20,000 pekerja dok, operator terminal dan perkapalan di 29 buah pelabuhan di pantai barat Amerika Syarikat. Disebabkan kedua-dua pihak gagal menoktahkan pertelingkahan yang timbul, ia mengakibatkan bekalan kentang untuk kentang goreng berkurangan. Akibatnya, McDonald’s Jepun mengambil langkah mengurangkan kuantiti kentang goreng mereka dan menerbangkan seribu tan kentang ke Jepun.
Krisis rantaian bekalan turut menjejaskan operasi McDonald’s di United Kingdom. Pada Ogos lepas, syarikat memberitahu mereka berdepan kekurangan botol minuman dan minuman shake akibat krisis rantaian bekalan yang dicetuskan oleh bilangan pemandu lori yang sedikit di seluruh negara. Kekurangan bilangan pemandu tercetus disebabkan oleh perubahan peraturan selepas Britain mengumumkan keluar dari Kesatuan Eropah.
RUJUKAN
BBC News. (2021, 22 Disember). McDonald’s faces a French fries shortage in Japan.