fbpx

Media Deepfake Ialah Masa Depan Media Elektronik?

0 205

Beberapa bulan lepas, menjadi kebiasaan bagi warga Korea menonton rancangan berita pilihan masing-masing. Bagi penonton saluran MBN, mereka tahu pada ketika itu, pembaca berita Kim Joo-ha bertugas sebagai pembaca berita.

Tidak ramai tahu, itu bukan Joo-ha tetapi media sintetik yang berupaya meniru suara, isyarat dan ekspresi muka personaliti televisyen itu.

Advertisement

Sejak ia didedahkan kepada umum, media sintetik atau nama lainnya deepfake mendapat reaksi bercampur-campur.

deepfake
Kredit: Toward Data Science

Sesetengah melihat imej beliau sebagai realistik tetapi ada juga yang bimbang media sintetik bakal mengakibatkan Joo-ha kehilangan kerjanya sebagai pembaca berita.

Bagi MBN, mereka tidak melihat ini sebagai satu isu. Malah, mereka melihat ia boleh digunakan sebagai medium penyampai berita terkini kepada penonton mereka.

Manakala firma di sebalik imej sintetik Joo-ha iaitu Moneybrain pula sedang mengintai peluang dalam pasaran media China dan Amerika Syarikat untuk produk mereka.

Jika anda boleh tertipu dengan imej sintetik Joo-ha, peminat Mission Impossible pula pasti terkesima dengan video TikTok yang didakwa milik Tom Cruise.

Hakikatnya, akaun TikTok tersebut bukan milik Cruise dan itu sebenarnya media sintetik yang dihasilkan oleh pakar kesan khas dari Belgium, Chris Ume.

Media sintetik atau video yang dihasilkan kecerdasan buatan (AI) mungkin dianggap bahan jenaka semata-mata. Namun bagi ramai pakar, media sintetik ialah masa hadapan bagi penghasilan isi kandungan media.

Bagi CEO dan pengasas bersama Synthesia, Victor Riparbelli, media sintetik boleh diubah mengikut keperluan klien. Misalnya, media sintetik boleh diubah menggunakan bahasa berbeza sebagai medium pengajaran pekerja-pekerja asing.

Begitupun, agak sukar melihat pelabur berlumba-lumba melaburkan modal dalam medium sebegini. Sebabnya mudah, isu keselamatan dan reputasi buruk yang menyelubungi media sintetik.

Media sintetik boleh saja dipergunakan untuk matlamat buruk seperti kempen penyebaran berita palsu atau sebagai medium penipuan.

Mike Papas dari firma AI Modulate memahami kebimbangan yang dibangkitkan. Walau bagaimanapun beliau mengingatkan firma-firma yang mengangkat medium ini amat menjaga etika mereka.

Ianya termasuklah menggubal polisi etika syarikat dan mendapatkan maklum balas orang ramai terhadap produk mereka.

Selain isu keselamatan, isu hak milik juga dijangka menjadi isu terutama membabitkan individu yang telah tiada.

Menurut Profesor Lilian Edwards dari Sekolah Undang-Undang Newcastle, isu ini bukan setakat berkisar siapa yang mempunyai hak milik video. Malah, ia membawa persoalan sama ada video sebegini boleh dikomersialkan atau tidak.

Apa yang pasti, Profesor Sandra Wachter merasakan teknologi video yang dihasilkan AI semakin ke hadapan. Suka atau tidak, orang ramai harus beradaptasi dengan kewujudan media sebegini.

Prof Wachter melihat isu keselamatan boleh ditangani menerusi kaedah penguatkuasaan undang-undang bagi melindungi masyarakat daripada pencipta media sintetik yang tidak bertanggungjawab.

Pada masa sama, kebebasan bersuara harus dihormati tanpa mengetepikan nilai komersial yang ada pada media ini.

Tambahnya, media sintetik boleh saja dipelbagaikan kegunaannya termasuk sebagai video pendidikan atau menghasilkan filem pelbagai bahasa yang memenuhi selera orang ramai.

Satu contoh media sintetik sebagai medium pendidikan ialah video mangsa-mangsa Holocaust yang terselamat semasa Perang Dunia Kedua.

Video-video keterangan mereka direkodkan oleh Yayasan Shoah yang berpangkalan di University of Southern California untuk projek Its Dimensions In Testimony.

Sebarang pertanyaan pelawat akan dijawab oleh media sintetik ini menerusi video yang telah direkod terlebih dahulu. Terdapat 55,000 video temubual mangsa Holocaust yang terselamat yang disimpan oleh yayasan berkenaan.

Baca juga Revolusi Media Ke Arah Digital

Source Debusmann Jr, B. (2021). 'Deepfake is the future of content creation'. BBC News.
You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.