fbpx

Memahami Bagaimana Algoritma Facebook Berfungsi 2021

0 186

Dinamika algoritma Facebook sebenarnya agak mengelirukan, lebih-lebih lagi melibatkan seorang penulis picisan seperti saya; setelah memilih untuk memvariasikan topik penulisan tanpa adanya sebarang pengkhususan.

Advertisement

Atas faktor itu, tidak semua penulisan saya akan memperoleh capaian (reach) yang besar; memandangkan capaian itu bergantung harap pada ketetapan algoritma setiap pengguna Facebook yang dipantau oleh teknologi Kepintaran Buatan (A.I).

Setelah saya meneliti beberapa buah artikel berkaitan, setiap suapan berita (news feed) pengguna Facebook memiliki ketetapan algoritma yang berbeza dan perbezaan itu disandarkan pada kecenderungan para pemilik akaun Facebook itu sendiri.

Kecenderungan yang saya maksudkan di sini ialah – Facebook akan memberi keutamaan kepada mana-mana halaman (portal / pempengaruh) dan profail peribadi (rakan / keluarga) yang kita sering berikan reaksi; dalam bentuk ‘like’, ‘comment’, ‘share’ dan ‘tag’.

Semakin kerap kita berikan reaksi pada apa-apa hantaran (posting) – sama ada hantaran yang dibuat oleh rakan, halaman (page) ataupun kumpulan (group), AI Facebook akan mengukur kecenderungan tersebut dan menyusun aliran ‘News Feed’ mengikut kaedah ‘predictive score’.

Bukan sekadar Facebook, hampir setiap platform media sosial menggunapakai modus operandi sama – yang bertujuan untuk meningkatkan tempoh masa kepenggunaan setiap pemilik akaun; sekali gus dapat menjana pendapatan menerusi segmen pengiklanan (ads).

Semakin rajin kita ‘scroll’ suapan berita, kebarangkalian untuk tempoh masa melayari Facebook meningkat adalah tinggi; kerana Facebook akan menyuap para penggunanya dengan informasi, berita, kisah, gambar, video atau hantaran yang bertepatan dengan kecenderungan.

Teknologi seperti ini tidak datang secara percuma, apatah lagi 100 peratus bebas prejudis; bila mana terdapat beberapa pertikaian serius tentang isu penyebaran berita palsu (fake news), maklumat salah (disinformation), propaganda politik, kebencian dan sebagainya.

Kesemua isu tersebut telah membelenggu Facebook dan rangkaian platform media sosial yang lain. Situasi itu kemudiannya diburukkan lagi dengan pendedahan yang dibuat oleh ‘whistleblower’, menerusi ribuan dokumen laporan kajian dalaman berkait impak negatif platform berkenaan.

Menurut laporan beberapa media antarabangsa, pendedahan terbaharu itu telah mengaitkan syarikat Facebook Inc sebagai sebuah entiti yang bersifat ‘profit-driven’ semata; tanpa mengambil kira kepentingan atau impak terhadap fabrik sosial para penggunanya.

Selaku pengguna media sosial, kita seharusnya cakna tentang cara kepenggunaan yang betul agar tidak sesekali menjadi penyumbang ke arah kebinasaan. Platform ini harus diperkasakan lagi dengan penyebaran elemen-elemen positif, khususnya ilmu bermanfaat.

Berbalik pada isu algoritma, tanggungjawab besar harus dipikul oleh para ibu bapa atau penjaga anak-anak kecil dan remaja yang memiliki akaun media sosial; tidak kira Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, TikTok dan sebagainya.

Mereka harus segera mengambil langkah proaktif dan kekal konsisten – demi memastikan sebarang bentuk aktiviti sosial di alam maya yang melibatkan anak-anak muda terpelihara dengan baik. Perasaan ‘skepticism’ sihat amat diperlukan.

Dengan adanya usaha-usaha sistemik ke arah pengnormalisasian dan pendoktrinasian dakyah, amalan serta budaya songsang yang mampu menganggu-gugat keselamatan akidah anak-anak Islam; maka golongan ini perlu sentiasa dilindungi dan diperhatikan.

Justeru itu, pemahaman tentang bagaimana algoritma Facebook berfungsi walaupun sekadar asas; ia sedikit sebanyak dapat membantu kita untuk memahami kaedah kepenggunaan platform media sosial yang betul.

Sifir mudahnya adalah; jikalau kita semua mahukan ‘news feed’ yang diiisi dengan rantaian konten bermanfaat, mohon diwujudkan ‘engagement’ dengan perkara-perkara yang bermanfaat secara konsisten

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.