fbpx

Mengenali Presiden Amerika Syarikat Ke-46

0 80

Joe Biden atau nama penuhnya Joseph Robinette Biden Jr, di jangka mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-46 pada hari Pertabalan Presiden (United States Presidential Inauguration Day) yang dijadualkan pada 20 Januari 2021.

 

Untuk rekod, Biden yang bakal mencecah usia 78 tahun menjelang 20 November nanti adalah merupakan Presiden US yang paling tua pernah dilantik untuk menjawat jawatan itu. Sebelum Biden, rekod tersebut di sandang oleh Donald Trump yang dilantik pada umur 70 tahun 220 hari ketika ‘Inauguration Day’ tahun 2017.

Advertisement

debat presiden
Trump VS Biden. Kredit: AP News

Atas faktor ini, rata-rata penyokong Donald Trump menyindir Joe Biden dengan ayat-ayat sinikal seperti ‘orang tua nyanyuk’ dan ‘sleepy Joe’ di sepanjang tempoh berkempen pilihanraya. Namun begitu, waktu kempen sudah pun tamat dengan hakikat Trump tertewas.

 

Bagi sesiapa yang belum mengenali Biden, beliau adalah bekas Naib Presiden US yang ke-47 ketika era kepimpinan Presiden Barack Obama pada tahun 2009 hingga 2017.

 

Sebelum menjadi Naib Presiden selama 8 tahun, beliau pernah menjawat jawatan Senator yang mewakili Negeri Delaware selama 6 penggal atau 36 tahun (1973 hingga 2009). Biden juga sempat menjadi Ahli Majlis Daerah New Castle yang terletak di negeri Delaware selama 2 tahun.

 

Secara kumulatifnya, Biden menjadi Presiden setelah terlibat selama lebih 46 tahun di dalam gelanggang politik negara US. Terdahulu, beliau pernah mencuba nasib untuk menjadi Calon Presiden bagi tiket Parti Demokrat pada Pilihanraya tahun 1988, yang mana Pilihanraya itu di menangi oleh George H.W. Bush dari Parti Republikan.

 

Sebagai anggota masyarakat dunia, semestinya Dasar Luar US (US foreign policy) khususnya berkaitan polisi ekonomi dan ketenteraan akan menjadi perhatian. Ramai penganalisis menjangkakan Dasar Luar US akan berubah berbanding era Trump.

 

Segila-gila Trump, kita tak ada dengar sangat US terlibat dengan mana-mana pertempuran berskala besar (peperangan) selain daripada kes pembunuhan Mejar Jeneral Qassem Soleimani dari Iran pada 3 Januari 2020 dan Abu Bakr al-Baghdadi dari Iraq (Pemimpin ISIS) pada 26 Oktober 2019.

 

Dalam perkembangan lain, Joe Biden perlu membuat beberapa langkah ‘damage control’ bagi memperbaiki semula hubungan US dengan Eropah. Selain mengungkit perihal ‘sumbangan’ US yang lebih ke atas kelangsungan NATO, Trump juga melakukan beberapa tindakan provokatif seperti menarik US keluar dari ‘Paris Agreement 2015’ yang berkuatkuasa pada 4 hari sebelum Pilihanraya US (4 November 2020).

 

Tindakan Trump itu telah memberikan sedikit impak terhadap pengaruh US di Eropah. Mujur, Eropah tak ada tempat lain untuk mereka ‘bergantung harap’ jika Russia pimpinan Presiden Vladimir Putin bertindak ‘ganas’.

 

Bagaimana pula dengan kawasan Laut China Selatan (LCS)? Ini yang seharusnya kita ambil berat. Hal ini dikatakan demikian kerana, Joe Biden kelihatan ‘berlembut’ sedikit dengan China berbanding Trump sepertimana yang Trump suka gembar gemburkan. Jika perkara ini benar, sudah pasti senario di wilayah LCS akan berubah.

 

Namun begitu, terdapat laporan dari portal reuters.com yang menyatakan sebaliknya. Biden dikatakan telah memberikan isyarat bahawa pentadbiran US di bawah beliau akan mengambil pendekatan yang lebih tegas ke atas China pimpinan Presiden Xi Jinping.

 

Apa-apa hal sekalipun, hakikatnya dalam politik, kita boleh saja dengar segala macam bentuk retorikal politik yang diperkatakan oleh sang politikus. Namun, nak percaya itu jangan sesekali.

 

Selain itu, dijangka hubungan diplomatik antara US dan Turki kembali kritikal. Sebelum ini, Joe Biden berulang kali menyatakan ‘ketidakpuasan’ hati beliau ke atas corak pentadbiran Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

 

Dengan hubungan antara Greece dan Turki yang sedang ‘kritikal’ khususnya di kawasan Timur Laut Mediterranean, rata-rata pengkaji geopolitik antarabangsa meramalkan akan ada perubahan yang agak signifikan setelah Biden menyuarakan komitmen beliau dalam ‘melindungi’ kepentingan Greece dari dasar ‘expantionist’ Erdogan.

 

Walaubagaimanapun, jika Joe Biden seorang pemimpin yang realistik, semestinya beliau tidak mahu menjauhkan Erdogan dan Turki dari US.

 

Hal ini demikian kerana, keberadaan Turki di kedudukan strategik yang menjadi penghubung antara benua barat dan timur akan terus dijadikan sebagai medan yang ampuh untuk US menekan Russia dan China. Maka, perancangan Joe Biden nak ‘endorse’ pemimpin pembangkang Turki adalah jauh dari relevan di tambah dengan populariti Erdogan yang agak tinggi di Turki.

 

Dalam pada itu, saya berpandangan bahawa tidak ada perubahan signifikan berkaitan dasar Luar US di Timur Tengah. Arab Saudi dan sekutunya di ‘Gulf Cooperation Council’ (GCC) semestinya kekal sebagai ‘penjilat’ tegar US atas alasan mengimbangi pengaruh Iran di sana.

 

Begitu juga dengan Israel Laknatullah, yang mana hampir ke semua Dasar Luar US sebelum ini berpihak kepadanya. Nasib Rakyat Palestin tidak pernah berubah, bahkan semakin kronik. Diburukkan senario semasa negara-negara Arab yang mula meng-normalisasi-kan hubungan diplomatik dengan negara haram Israel, seperti yang dilakukan UAE pada 13 Ogos 2020.

 

Walaupun Joe Biden dikatakan menggunakan hadith Baginda Nabi SAW semasa berkempen tempoh hari, stigma US ke atas Islam akan kekal sama memandangkan mereka adalah dari kalangan negara republik sekular persis Perancis.

 

Realitinya, label ‘terrorist’ ke atas sesetengah kelompok umat Islam adalah cara terbaik mereka untuk memperoleh ‘keabsahan’ dalam mengembangkan lagi ‘military business’ yang lumayan. Bahasa mudahnya, ‘jika tak ada alasan untuk berperang, maka ciptakan satu’.

You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.